Kolum
0 comments

Nasyid sampai bila?

by on November 2, 2010
 
Nasyid sampai bila?

Nasyid sampai bila?

Jika mahu dikira bermula semasa Nasyid naik mendadak pada tahun 1996 sehingga tahun 2010 ini, usia industri nasyid adalah 14 tahun. 14 tahun merupakan satu usia yang menampakkan kematangan nasyid mengharungi asam garam di dalam dunia seni. Tidak lama lagi kita akan masuk ke tahun 2011. Maka nasyid akan menjejak usianya ke 15 tahun. Jika diimbas selama 15 tahun ini, tentu banyak sekali suka duka para penasyid mengharungi dunia seni yang penuh pancarobanya. Ada yang indah, yang manis, yang pahit dan sebagainya. Semuanya sudah tentu masih segar di ingatan para penasyid di Malaysia. Mengharungi pelayaran yang penuh dugaan dan cabaran.

Ova Production. Foto ihsan: Syukbah.blogspot.com

Ova Production. Foto ihsan: Syukbah.blogspot.com

Di dalam tempoh masa ini juga, macam macam berlaku di dalam nasyid. Banyak perubahan yang berlaku dari pelbagai aspek. Perubahan perubahan ini sudah tentu kehendak takdir, dan ada pula disebabkan isu isu ‘dalam’ yang menyebabkan ianya berubah.

Saya meletakkan garis permulaan nasyid di Malaysia ini pada zaman permulaan Revolusi Raihan. Walaupun sebelum itu nasyid sememangnya sudah wujud, tetapi lebih mudah untuk saya letakkan permulaan di situ.

Selepas kemunculan Raihan, kumpulan kumpulan nasyid lain tertubuh bagaikan cendawan. Mengikuti tindakan Raihan antara lain adalah seperti Hijjaz, Rabbani dan Brothers. Untuk rekod, Raihan, Hijjaz dan Rabbani adalah daripada rumpun yang sama iaitu syarikat rakaman OVA Production manakala Brothers pula dari rumpun yang lain. Revolusi Raihan turut membantu Brothers ‘naik’ bersama gelombang itu dan popular Raihan turut tempias padanya.

Di zaman itu, nasyid mencapai zaman kegemilangannya. Tertubuh pelbagai lagi kumpulan nasyid dan syarikat-syarikat rakaman juga berlumba-lumba menerbitkan album nasyid. Antara kumpulan nasyid tersebut seperti Mustika, Diwani, Firdaus, Saujana, In-Team dan lain-lain lagi.

Sedangkan laut ada pasang surutnya. Inikan pula nasyid. Setelah nasyid berada di puncak untuk beberapa ketika, nasyid mula menuruni anak-anak tangga kegemilangan.

Seterusnya nasyid berhadapan dengan masalah sendiri. Apabila melihat industri nasyid sudah tidak stabil di zaman kegemilangannya. Muncul cerita-cerita kurang enak dari nasyid. Ada kumpulan yang berpecah. Ada anggota nasyid menarik diri. Menukar nama kumpulan. Berpindah syarikat rakaman. Dan lain-lain lagi.

Saya tuliskan beberapa perkara yang berlaku di dalam kumpulan nasyid sebagai rentetan sejarah kita dalam mengharungi dunia nasyid. Ini termasuk qada’ dan qadar Allah seperti kematian anggota kumpulan nasyid itu sendiri.

raihan2

Raihan: Raihan merupakan tonggak utama tercetusnya fenomena nasyid. Namun Raihan tidak lepas daripada di uji. Raihan mula berpecah apabila salah seorang anggotanya Amran menarik diri. Raihan kehilangan ketua kumpulan mereka Zairey yang meninggal dunia. Amran kemudian menyertai semula Raihan. Nazrey Johani mengejutkan peminat Raihan apabila bertindak keluar dari Raihan atas alasan sendiri. Raihan  mengambil Nordin Jaafar sebagai pengganti Nazrey tetapi hanya bertahan beberapa bulan. Raihan kemudiannya menggantikan Nordin dengan Zulfadli dan mengamalkan konsep ‘tiada vokalis’ dengan menyatakan mereka semua adalah sama rata.

rabbani

Rabbani: Diketuai oleh Asri Ibrahim dan bermula dengan anggota paling ramai (jika dikira selepas revolusi Raihan) iaitu 13 orang. 7 orang penasyid dan 6 orang pemuzik. Satu demi satu anggotanya bertukar. Saya tidak ingat nama ahli awal mereka yang keluar. Yang saya ingat, tempatnya itu diganti dengan Zulkifli. Iaitu dari bahagian pemuzik ke bahagian penyanyi. Kemudian 3 orang pemuzik Rabbani juga bertindak menarik diri. Antaranya adalah Hamzah yang dikenali dengan pengalamannya bermain conga dan alat muzik lain. Tinggallah Rabbani 9 orang. Rabbani menerima tamparan paling hebat apabila kehilangan ketua kumpulan dan juga vokalis utama mereka Asri Rabbani. Kini Rabbani sedang menjenamakan semula Kumpulan mereka dengan mengetengahkan Zulkifli sebagai vokalis baru.

Hijjaz

Hijjaz: Antara kumpulan terawal ditubuhkan selepas Raihan. Diketuai oleh Isman Nadim. Menampilkan Munif Ahmad sebagai vokalis utama. Hijjaz turut tidak terlepas daripada berlakunya perubahan. Hijjaz kehilangan ahli mereka iaitu Soleh Ramli yang meninggal dunia. Tempat Soleh digantikan oleh penasyid muda Ariffin. Mereka kekal dengan perubahan itu sehingga sekarang. Cuma dari segi persembahan, kadangkala mereka berempat menyanyi solo bersama-sama berbeza dahulu yang hanya mengharapkan Munif Ahmad sahaja.

Brothers

Brothers: Saya tidak tahu apa sudah jadi pada kumpulan ini. Saya juga tidak tahu sama ada masih wujud lagi atau tidak. Seingat saya, kali terakhir kemunculan mereka adalah hanya tinggal berdua sahaja. Salah seorangnya Salleh. Pengasas kumpulan ini, Yasin Sulaiman bertindak menarik diri untuk bergerak secara solo. Diikuti oleh ahli ahli lain seperti Akbar Azmi.

Inteam

In-Team: Kumpulan yang dilahirkan oleh Hijjaz ini turut mengalami perubahan yang banyak. Hanya selepas melahirkan 2 album, anggota mereka sudah bertukar. Hisyam Ahmad keluar dari Inteam dan menubuhkan kumpulan baru bernama Dehearty. (rasanya kumpulan Dehearty sudah berkubur sekarang). Tempat Hisyam diganti oleh Rahim Osman. In-team tamat kontrak bersama Hijjaz dan menubuhkan syarikat sendiri. Suhaimi Saad tidak mengikut jejak rakan rakan In-team yang lain apabila kekal bersama Hijjaz dan sempat menerbitkan 1 buah album solo bersama Hijjaz. Dengan menjenamakan semula kumpulan dengan nama Inteam, (tiada sengkang) mereka kini terus kekal bertiga.

Saujana

Saujana: Antara kumpulan yang diminati ramai. Lagu lagu mereka yang mudah diingati seperti Keluarga Bahagia dan Sepohon Kayu menjadi penggalak kepopularan mereka. Mula berpecah apabila masing-masing mula berkerjaya. Khabarnya menjadi doktor dan engineer. Ahli asal yang kekal hingga kini adalah Azalinor dan Suffian Amrin. Juara AF8, Shahir juga pernah menganggotai kumpulan Saujana untuk beberapa ketika.

UNIC

Unic: Anak didik Hijjaz ketiga selepas Aeman dan In-Team. Bertukar-tukar ahli untuk setiap album yang dikeluarkan. Album kedua melihat Afendi keluar dan memasukkan Hafiz Hamidun. Album ketiga menyaksikan penarikan diri Wan Shah dan diganti dengan Fazli. Album keempat pula penarikan diri Hafiz Hamidun. Mereka kekal bertiga untuk album keempat tetapi dalam versi VCD pula, ada anggota baru iaitu Alan dari kump Rast. Album kelima pula menyaksikan penambahan anggota baru iaitu Fakhrul Radhi bekas juara Akademi AlQuran. Dalam album Selawat bersama Inteam baru-baru ini, Unic tampil bertiga apabila Fitri Haris dan Alan turut menarik diri.

 

Firdaus

Firdaus: Kumpulan yang bernaung di Suria Records. Syarikat sama yang turut menerbitkan album Siti Nurhaliza. Album mereka asalnya berkonsep tradisional. Komposer terkenal Pak Ngah yang terkenal dengan lagu tradisional turut pernah menjadi penerbit untuk album mereka. Ahli kumpulan mereka juga silih berganti. Kini mereka lebih selesa dengan irama segar dan kontemporari.

Mirwana

Mirwana: Kumpulan nasyid yang asalnay bergerak secara underground dan kemudian menerbitkan album secara komersial. Salah seorang ahli mereka Faizal Tahir keluar dari kumpulan. Faizal Tahir kemudian menyertai One In A Million dan mendapat Naib Johan. Izzat kemudian bercuti dan diganti dengan Ikram. Naim (far east) kemudian menyertai mereka.

Far East: Juga silih berganti ahlinya. Bekas ahli Far East, Naim, kini menyertai Mirwana. Anas Tahir khabarnya menyertai Firdaus. Manakala Far East menerima ahli baru Nabil Ahmad dan Azwan.

Mustika: Berasal dari kumpulan Nahwan Nur,Kumpulan ini kemudiannya menyertai syarikat Telaga Biru dan menukar nama kepada Saff One.

Diwani: Bernaung di bawah syarikat Ambang Klasik bersama Brothers dan Imad. Diwani kemudian menyertai Rufaqa. Kini dikenali dengan nama Global Ikhwan. Tidak pasti Diwani masih wujud atau tidak kerana kelibat ahli kumpulan mereka dilihat berada di kumpulan lain seperti Anak Soleh dan Pemuda Harapan di bawah jenama Global Ikhwan.

Banyak lagi kumpulan nasyid yang boleh dibicarakan. Apa yang ditulis di atas adalah sebahagian dan dinyatakan secara ringkas. Jika dicerita secara terperinci, tentu panjang berjela cerita mereka.

Melihat rentetan cerita cerita di atas, jelas menampakkan bahawa ‘originality’ setiap kumpulan nasyid itu sudah tidak ada. Masing masing sudah berubah walaupun hanya sedikit sahaja perubahan itu.

15 tahun mengharungi dunia nasyid, pelbagai pancaroba sudah dilalui. Persoalan seterusnya, sampai bila nasyid boleh bertahan lagi?. Akan adakah nasyid yang akan berkubur apabila ahli kumpulan mereka semakin berusia dan mahu beralih ke bidang yang lain. Sejauh mana golongan pelapis mampu menjadi penasyid sejati? Seumpama Asri Ibrahim, Zairey Ahmad dan Soleh Ramli yang bernasyid sepanjang hidupnya sehinggalah nafas yang terakhir.


Leave comment | Tinggalkan komen

Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response 

Loading Facebook Comments ...