Kolum
0 comments

Dengki: Siapa untung, Siapa rugi?

by on December 2, 2010
 

Assalammualaikum semua. Salam Sejahtera.

Saya sejak kebelakangan ini banyak terdengar keluhan berbagai pihak yang kurang senang dengan kritikan-kritikan yang langsung tidak membantu menaikan industry nasyid. Atau dengan erti kata lain, hanya tahu ‘kondem’ sahaja.

Ada juga yang mengadu, ada pihak yang dengki-mendengki antara  satu sama lain. Apa sahaja revolusi atau transformasi yang dibuat penasyid, semuanya tidak kena. Ada juga yang menyerang peribadi, dan memburukkan sesama kumpulan.

Bahkan, ada yang berdialog ‘engkau tak usah bernasyid la, nyanyi sumbang, bakat tiada’. Malah ada juga yang bila berjumpa, tidak mahu bertegur sapa. Sikap begitukah yang kita mahukan sebagai seorang yang bergelar da’ie?

Saya secara peribadi amat kesal dengan sikap sebegini. Soalnya, kenapa kita harus berdengki sesama penasyid, sedangkan sudah maklum yang masing-masing tahu tujuannya, iaitu berdakwah melalui bait-bait lirik dalam lagu nasyid.

Tipulah kalau kita katakan ia tidak berlaku. Semuanya berpunca kerana ada sekelumit rasa di hati yang mahu menjadi yang terbaik di kalangan orang lain. Dan apabila ego itu sudah mula tinggi, mulalah tidak senang melihat kumpulannya bersaing dengan kumpulan lain. Bagaimana mahu berdakwah jika hati kita penuh dengan sifat sebegini?

Satu lagi yang mahu saya sentuh ialah, kenapa kita tidak mahu bersatu sebagai satu jemaah yang menggunakan medium hiburan sebagai satu cabang dakwah. Maksud saya disini ialah, ada sikap segelintir penasyid yang hanya tahu duduk dalam kelompok dia sahaja dan tidak mahu bercampur dengan yang lain.

Sikap berpuak-puak, dengki dan kondem sesama penasyid hanyalah tidak lebih akan menjahanamkan industry nasyid sendiri. Sudahlah kita disajikan dengan berita yang kurang menyenangkan dalam industri hiburan mainstream, apakah kita mahu mempalitkan kotoran yang sama pada industri nasyid?

Industri nasyid dibina atas dasar dakwah, dan tunjangnya adalah ukhwah sesama Islam. Bukankah molek jika kita saling membantu dan menyokong satu sama lain. Kalau ada salah dan silap, tegurlah dari hati ke hati, bukan semberono membelasah dan bercerita di blog, Facebook, dan bercakap  belakang.

Benar, kalau kita kuat, nescaya kita akan diihormati. Malah, dakwah itu akan lebih sampai kepada semua orang.

Saya amat berharap janganlah ada lagi yang cuba memperlekehkan satu sama lain. Ingatlah, semuanya atas satu niat. Dakwah, kerana Alllah.

AIZAXXX- Dengki untuk majukan diri……

Gambar: sparknotes.com


Leave comment | Tinggalkan komen

Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response 

Loading Facebook Comments ...