0 comments

Ekspresi Muzik Halim Devotees

by on November 2, 2011
 

Halim Ahmad (Devotees)

 

Abdul Halim Ahmad atau lebih popular dengan nama Halim Devotees bukanlah nama baharu dalam industri muzik tanahair. Figura yang manis dengan senyuman ini sudah berada dalam industri muzik sejak tahun 2004 apabila tertubuhnya kumpulan Devotees secara rasmi pada tahun tersebut. Sebelum itu, beliau aktif bergerak sebagai penasyid sementara bersama kumpulan UNIC.

Tampil dengan album pertama berjudul Devotees pada tahun 2005, Halim dan Devotees tidak henti-henti dihujani dengan pelbagai rintangan dan cabaran dari segenap sudut. Ternyata, segala ujian dan cabaran yang dihadapi adalah satu pentarbiahan daripada ALLAH swt untuk mereka melangkah lebih jauh dalam perjalanan dakwah seni ini. Devotees berjaya menyerlahkan diri mereka daripada samar kegelapan hasil kesatuan hati Adi Akmal Sehrom, Abd Halim Ahmad, Muhammad Mat Tawil dan Shauqi Kassim. Impaknya dapat dilihat dengan kemunculan album terbaik mereka- Berjalan Tanpa Henti yang berjaya tercalon dalam anugerah muzik paling berprestij Malaysia- Anugerah Industri Muzik (AIM) kali ke 18.

Neurotic Studio
Halim yang merupakan mahasiswa jurusan Kejuruteraan di UIAM, memulakan eskperimentasi muzik beliau dengan menubuhkan Neurotic Studio pada penghujung tahun 2006. Melalui Neurotic Studio, beliau dan rakan-rakan di dalam Devotees menghasilkan sebuah mini album motivasi yang diterbitkan secara underground bersama D’Voice  Entertainment pada ketika itu. Tidak ramai yang mengetahui bahawa mini album motivasi yang dihasilkan Neurotic Studio dirakamkan di bilik asrama Halim di UIAM Gombak dengan peralatan rakaman yang begitu terhad.

Album Sofieya

Tetapi, Halim bijak dalam memanipulasi. Dengan bakat dan pengetahuan yang ada dalam bidang rakaman, Halim menyuntik magis dalam mini album motivasi Devotees hingga ia kelihatan seperti dirakam di studio biasa. Album itu kemudiannya mendapat sambutan yang menggalakkan dikalangan peminat apabila ia diterbitkan pada tahun 2007. Tidak terhenti disitu, Halim meneruskan sentuhan magisnya pada album Sofieya, sebuah kumpulan nasyid wanita yang pernah menyertai Akademi Nasyid anjuran TV9. Melalui Sofieya, Halim menerbitkan mini album untuk kumpulan tersebut yang berjudul Teman Terlalu Akrab. Album mini dengan 6 track lagu baharu ini adalah hasil kerjasama Halim melalui Neurotic Studio dengan Sofieya Edutainment milik kumpulan Sofieya.

Album Nasyid Indie Vol 1

Kredibiliti Halim Melonjak Melalui Nasyid Indie
Nama Halim dan Neurotic Studio menjadi bualan ramai apabila munculnya album pertama yang menyatukan kumpulan-kumpulan nasyid underground berjudul Koleksi Nasyid Indie Vol 1 – Nasyeed Underground pada tahun 2009. Kejayaan album ini sedikit sebanyak melonjakkan nama Halim sebagai seorang komposer muda paling berbakat dan bijak memahami selera muzik remaja. Langkah pertama ini telah menyuntik semangat beberapa kumpulan nasyid underground untuk tampil dengan muzik mereka secara agresif.

Dengan kejayaan album Nasyid Indie Vol1, Halim dilihat mengambil sedikit masa untuk muncul dengan album Nasyid Indie Vol 2- Nasyid Semesta. Melalui album Nasyid Semesta, Halim melakukan beberapa penambahbaikan daripada segi mutu vokal penyanyi, susunan muzik dan pelbagai lagi. Hasilnya, album ini bukan sekadar mencuit perhatian pendengar Malaysia, malah ia berjaya memikat pendengar-pendengar dari luar negara seperti singapura, Brunei dan Indonesia.

Seumur Hidup - Halim Ahmad , bakal muncul pada 2012

Seumur Hidup
Kini, Halim dalam proses mengumpul bahan untuk album Nasyid Indie Vol 3 berjudul The Signs. Disamping itu, Halim juga sedang ‘bertapa’ di studio miliknya yang terletak di Batu Caves Centrepoint, untuk menyiapkan buah tangan terbaru beliau- Seumur Hidup – sebuah album solo pertama Halim yang bakal diterbitkan pada tahun 2012. Dalam pertemuan yang pernah diadakan sebelum ini, Halim telah memperdengarkan beberapa lagu yang bakal dimuatkan dalam album ini kepada pihak Munsyeed{dot}Com dan secara peribadi kami sangat teruja menantikan kemunculan album solo Halim ini!

Tercalon Dalam AIM 18
Tahun 2011 terus mewarnai landskap kerjaya seni Halim apabila beliau tercalon dalam Top 5 anugerah muzik paling berprestij Malaysia- Anugerah Industri Muzik (AIM) kali ke 18. Lagu dan lirik ciptaan Halim, Hadirnya Cahaya S.A.W nyanyian Devotees melalui album Berjalan Tanpa Henti berjaya disenaraikan dalam Top 5 Lagu Nasyid Terbaik AIM 18. Halim juga sebenarnya turut terlibat dalam pembikinan album Castury – Seharum Castury, Wangian Syurgawi yang mana lagu Santun Berpesan karya Muhammad Devotees dan Adi Akmal Devotees nyanyian Castury dan Ayati Tasrip turut tersenarai dalam Top 5 Lagu Etnik Kreatif Terbaik AIM18.

Menurut Halim, beliau menzahirkan rasa kesyukuran kehadrat ALLAH swt di atas pencalonan lagu Hadirnya Cahaya S.A.W nyanyian Devotees. Ia satu pengiktirafan buat dirinya dan juga kumpulan Devotees atas kerja keras yang telah disumbangkan dalam album Berjalan Tanpa Henti.

Yang pasti, Halim kini semakin optimis melihat masa depan yang lebih cemerlang, mencorak eskpresi hati dalam nota-nota muziknya dan bijak menyusun langkah untuk memberi kejutan demi kejutan buat peminatnya.

Soal Jodoh?
Jawapannya hanya ada pada Halim sendiri. Mungkinkah ‘Message masih Undelivered’? Biar Halim yang menjawabnya. -Munsyeed{Dot}Com


Leave comment | Tinggalkan komen

Loading Facebook Comments ...
Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response