0 comments

Imbasan2011: Kelab Peminat Semakin Aktif & Lantang Bersuara

by on December 28, 2011
 

Assalamualaikum wbt!

Ini adalah artikel pertama yang dibuat untuk Imbasan 2011. InshaALLAH, bermula hari ini hingga malam 31 Disember 2011, Munsyeed{Dot}Com akan dipenuhi dengan liputan Imbasan 2011 untuk kita imbas kembali perjalanan industri nasyid yang telah kita tempuhi pada tahun ini.

Kita mulakan dengan Kelab Peminat Nasyid. Alhamdulillah, 2011 mencatatkan kegemilangannya apabila kelab peminat nasyid semakin ligat menjalankan pelbagai aktiviti menarik. Mereka dilihat begitu aktif berperanan baik dari segi penganjuran aktiviti bersama artis, program amal mahupun dalam menyuarakan pendapat dan keprihatinan mereka terhadap pelbagai isu.

MZM-FC

Maher Zain Malaysian Fan Club (MZM-FC)
Kelab yang ditubuhkan pada 13 Ogos 2010 ini mula menunjukkan taringnya pada tahun ini. Bermula dengan penglibatan secara aktif dalam menjayakan Maher Zain Live In Concert pada Februari 2011, MZM-FC terus mengembangkan sayapnya, bergerak dalam platform dakwah selari dengan mesej dan peranan yang ditonjolkan oleh artis kegemaran mereka, Maher Zain yang begitu mengutamakan mesej dakwah dan kemanusiaan.

Kempen Banteras Hari Kekasih yang dijalankan oleh MZM-FC pada awal Februari mendapat perhatian ramai pihak. Tidak sekadar tertumpu pada meminati Maher Zain semata-mata, MZM-FC turut menjalankan tanggungjawab sosial mereka apabila bersatu dengan kempen- Say No to Valentine Day, Say Yes To Maulidur Rasul.

Selain mengadakan pertemuan dengan Maher Zain setiap kali artis Awakening Records itu tiba di Malaysia, MZM-FC juga menunjukkan keprihatinan mereka apabila melancarkan Tabung Mangsa Bencana Tanah Runtuh Madrasah At-Taqwa, Hulu Langat. Sewaktu kejadian tanah runtuh itu berlaku, MZM-FC telah mendahului mana-mana agensi korporat, media perdana dengan menubuhkan tabung tersebut kurang dari masa 24 jam kejadian tersebut berlaku.

Tidak terhenti disitu, MZM-FC meneruskan perjuangan Maher Zain di Malaysia yang prihatin mengenai isu selamatkan jiwa, pembuangan bayi dan masalah gadis mengandung luar nikah  dengan menganjurkan majlis Iftar MZM-FC di Raudhatus Sakinah, Sungai Buluh. Dalam program tersebut, MZM-FC telah beramah mesra dan bersama-sama dengan penghuni Raudhatus Sakinah menjalani ibadah berbuka puasa, tazkirah dan solat sunat terawikh.

MZM-FC juga tidak ketinggalan menyatakan secara lantang pendirian mereka mengenai isu lambakan filem lucah di pasaran filem Malaysia. Ketegasan yang disuarakan oleh Akhi Fairuz yang mewakili MZM-FC nyata mendapat perhatian dan liputan meluas media serta selebriti tempatan.

Keakraban MZM-FC dan Maher Zain juga dapat dilihat apabila dalam majlis Gathering Raya MZM-FC, MZM-FC berpeluang mengadakan tele-conference bersama Maher Zain live dari Sweeden. Mereka berborak santai dan Maher Zain begitu teruja melayani ahli-ahli MZM-FC yang hadir dan suasana tersebut begitu harmoni seolah-oleh seorang abang sedang melayani kerenah adik-adiknya.

MZM-FC melabuhkan tirai 2011 dengan menyambut baik kemenangan salah seorang Admin MZM-FC yang telah dinobatkan sebagai Juara Ustazah Pilihan musim pertama dan juga penglibatan mereka dalam konsert terakhir Maher Zain bagi tahun 2011 di Ipoh, Perak. Tahniah MZM-FC! Semoga istiqamah dan semakin maju ke hadapan!

Komuniti Teman Inteam (KTI)
Tahun ini, KTI membuat sedikit kelainan apabila buat pertama kali KTI menganjurkan Bengkel Asas Fotografi bersama jurukamera professional, Firdaus Mahadi. Program yang diberi nama Outing Photography Bersama Firdaus Mahadi itu telah diadakan di Putrajaya selama setengah hari. Di program tersebut, mereka telah diajar teknik fotografi secara teori dan juga praktikal. Tidak hairan, selepas bengkel tersebut diadakan, semakin ramai ahli KTI yang memiliki kamera DSLR dan beberapa ahli KTI yang lain telah menubuhkan syarikat yang menyediakan perkhidmatan fotografi! Tahniah KTI!

KTI juga mengambil peluang bersama dengan MZM-FC, berpadu tenaga menjayakan Maher Zain Live In Concert pada Februari 2011 sebagai AJK. Segala pengalaman menganjurkan program sebelum ini diterjemahkan dengan baik dalam susun atur kerja sewaktu Maher Zain Live in Concert berlangsung.

KTI, Inteam & Ust Taha

Seperti tahun-tahun sebelumnya, perjalanan KTI tidak akan lengkap tanpa menganjurkan program amal yang cukup popular- Program Amal Kau Di Hatiku. Kali ini, KTI memilih konsep beriadah bersama anak-anak yatim Permata Hatiku di Taman Botani Negara, Shah Alam. Selesai mengadakan ‘Explorace’ di taman Botani, KTI membawa anak-anak yatim Permata Hatiku melawat Pameran Pedang Rasullah di Muzium Yayasan Restu.

Disamping itu, KTI juga turut mengadakan 2 program khas mereka- Iftar Jamaie KTI pada bulan Ramadhan lalu dan Konvoi Raya KTI pada bulan Syawal. Uniknya, pada tahun ini, Majlis Iftar Jamaie KTI telah diserikan dengan majlis pengijazahan ilmu Tajwid oleh Al-Fadhil Ustaz Taha Bin Tan Sri Hassan Azhari.

Mungkin tahun ini merupakan tahun dimana kelab peminat begitu lantang menyuarakan pendapat mereka! Kalau MZM-FC menyatakan keprihatinan mereka mengenai isu lambakan filem lucah dan sambutan hari kekasih, KTI pula pada tahun ini menyatakan pendirian mereka berhubung Himpunan Aman Sejuta Ummah Selamatkan Akidah (HIMPUN) yang diadakan di Stadium Shah Alam, Selangor.

Tahun ini juga merakamkan kenangan manis buat KTI apabila ramai dikalangan ahli KTI memilih untuk melangsungkan perkahwinan bersama pilihan hati masing-masing pada tahun ini. Antara ahli KTI yang melangsungkan perkahwinan pada tahun ini adalah Presiden KTI; Mohd Safarizan, Timbalan Presiden KTI; Nadirah Azam, Bendahari KTI; Hyna Razak dan ramai lagi ahli-ahli KTI yang lain. Sepanjang musim perkahwinan ini berlangsung, KTI tidak lupa untuk menganjurkan Konvoi Walimah ke majlis-majlis perkahwinan ahli-ahli KTI.

KTI yang sepatutnya mengadakan Pilihan Raya KTI pada hujung Disember 2011 telah membuat keputusan menangguh pilihan raya tersebut bagi memberi ruang kepada ahli-ahli KTI di universiti tempatan menduduki peperiksaan di universiti masing-masing. Saf Kepimpinan KTI 2011 dibawah Presiden Safarizan dijangka akan dibubarkan pada Januari 2012 dan serentak dengan itu akan berlangsungnya Pilihan Raya KTI 2012 bagi memilih Saf Kepimpinan yang baharu.

Famili UNIC (FU)
Pada tahun ini, Famili UNIC dibawah Presiden Jamal Rafaie telah menganjurkan 2 program yang cukup istimewa- Kem UNICnya Ramadhan dan Gathering Famili UNIC. Pada bulan Ramadhan yang lalu, Famili UNIC dengan kerjasama UNIC Nasyeed & Training telah menganjurkan Kem UNICnya Ramadhan di Nur Laman Bestari, Ulu Yam. Program selama 2 hari itu telah diserikan dengan pelbagai aktiviti-aktivi menarik seperti berbuka puasa beramai-ramai, mengerjakan Solat Terawikh secara berjemaah, bengkel Surah al-Fatihah, tadarus Al-Quran, BBQ bersama UNIC dan banyak lagi.

Masih meneruskan pendekatan ‘kem motivasi santai’, FU sekali lagi mengakhiri tahun 2011 dengan menganjurkan Gathering Bersama UNIC di Nur Lembah Pangsun, Hulu Langat. Program santai selama sehari itu nyata berjaya merapatkan ukhwah antara ahli-ahli Famili UNIC dan UNIC sendiri. Paling best? Sukaneka bersama UNIC dan mandi sungai beramai-ramai!

Disamping itu, pihak kami juga difahamkan, Famili UNIC aktif bergerak bersama kumpulan UNIC dalam penganjuran program-program motivasi di sekolah-sekolah dan di kem-kem motivasi dibawah kelolaan UNIC Nasyeed & Training.

Jika ada kelab peminat nasyid yang ada menjalankan program/aktiviti dan kami terlepas pandang, boleh hubungi pihak Munsyeed{Dot}Com. Syabas diucapkan kepada semua dan semoga berjaya di tahun 2012! -Munsyeed{Dot}Com


Leave comment | Tinggalkan komen

Loading Facebook Comments ...
Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response