0 comments

Nasyid Kontemporari Hilang Arah – Ust Hasrizal

by on April 24, 2012
 

Artikel menarik ini disiarkan dengan keizinan Al-Fadhil Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Dipetik dari blog kepunyaan Ustaz Hasrizal, www.saifulislam.com

Usrah al-Firdaus Jordan bergabung dengan Usrah al-Wadi Mesir di dalam Konsert Antara Benua, Irbid Jordan 2000

Nasyid sudah bergerak jauh.

Teringat kepada Nadamurni yang membuat persembahan di sebuah kelab malam di Bangsar bersama Zainal Headwind.

Terkenang kepada alunan Abu Ratib bersama rintihannya terhadap kampung halaman, tatkala Syria basah dengan darah anak watan yang tumpah oleh regim Al-Asad.

Masih segar memori pada alunan Mesut Çakmak bersama lagu Ba?ba?lar menukilkan peristiwa berdarah di sebuah daerah kecil Erzincan Turki.

Perjalanan nasyid di sana-sini menempuh pelbagai perkembangan. Ada yang membanggakan. Banyak juga yang mengecamuki fikiran, juga perasaan.

Artikel ini saya nukilkan untuk siaran  majalah Dewan Masyarakat keluaran Februari 2007. Perspektif lama, namun masih boleh direnung kembali, lima tahun selepas masa berlalu.

NASYID KONTEMPORARI HILANG ARAH?

Raihan – Puji-Pujian

Lebih sedekad sudah berlalu semenjak kemunculan album pertama kumpulan nasyid Raihan “Puji-pujian” pada tahun 1996. Ia mencetuskan fenomena kerana berjaya melakukan anjakan paradigma seluruh masyarakat terhadap identiti nasyid sebagai salah satu cabang seni persembahan. Sambutan yang diterima amat menggalakkan bahkan mengatasi populariti bintang-bintang yang sedia ada, melalui penjualan album yang mencecah 650,000 unit dalam tempoh beberapa bulan, dan sehingga kini mencecah lebih 1 juta. Angka ini menjadikan album “Puji-pujian” sebagai album terbaik di sepanjang sejarah penghasilan album di negara kita daripada segi penjualan rekod.

Semenjak kemunculan Raihan, pelbagai lagi kumpulan nasyid muncul.

Hingga di suatu ketika, genre nasyid menjadi teraju utama kepada arus muzik di negara kita. Ia sama sekali telah mengubah banyak aspek yang lazimnya dikaitkan dengan album nasyid sebelumnya. Jika dahulu, album nasyid hanya dijual di gerai-gerai ceramah agama, toko buku Islam dan pasar-pasar malam, kini nasyid sudah pun berjaya menempatkan diri di premis-premis penjualan album utama, di bawah kelolaan syarikat pemasaran bertaraf antarabangsa.

Perkembangan yang dialami oleh seni nasyid di Malaysia mengalami pasang surutnya. Bukan sahaja daripada aspek penerimaan masyarakat kepada album nasyid melalui penjualan album, malah kepelbagaian bentuk nasyid juga semakin berwarna-warni hingga timbul pelbagai persoalan di sekitar hala tuju dan masa depan nasyid di negara kita.

Setengah dekad yang pertama semenjak kemunculan Raihan dan yang seangkatan dengannya, nasyid dilihat sebagai suatu bentuk ekspresi seni yang mempunyai identitinya yang tersendiri. Irama nasyid Malaysia menggabungkan elemen Arab dan Nusantara, menghasilkan kombinasi yang indah serta menepati bahasa jiwa dan perasaan pendengarnya. Sebagaimana lagu-lagu Islam di Turki, negara Arab, Pakistan dan Iran memakai pakaian budaya tempatan, begitu juga di Malaysia. Nasyid Malaysia mempunyai mempunyai identiti dan membentuk genre yang tersendiri.

Selepas menempuh perjalanan masa, unsur yang lebih ‘asing’ mula menyerap masuk ke dalam pengungkapan irama nasyid Malaysia. Jika dahulu, kebanyakan nasyid menampilkan rentak, lirik dan persembahan yang dekat dengan kemelayuan persekitarannya, kini unsur-unsur yang lazimnya dikaitkan dengan budaya Barat mengambil alih hingga akhirnya menghasilkan ‘nasyid kontemporari’ yang bernada raggae, blues, hip hop dan rock.

MENCARI KELAINAN

Perubahan yang sedemikian sedemikian rupa, berlaku atas beberapa faktor. Antaranya adalah soal desakan untuk menghasilkan kelainan.

Mencuba.

Setiap album nasyid yang mahu dipertaruhkan di pasaran, perlu berhempas pulas memikirkan elemen baru dan unik, demi untuk menggarap perhatian pendengar dan seterusnya diterjemahkan dalam pencapaian penjualan album yang memberangsangkan. Unsur stereotaip pada irama nasyid, dikhuatiri akan menyulitkan persaingan. Kelainan dan unik, adalah kunci penting untuk survival mana-mana sahaja artis di dalam penghasilan setiap album baru mereka.

MEDIUM MESEJ ISLAM

Selain faktor desakan strategi pemasaran, nasyid tidak lari daripada terus dianggap sebagai wadah untuk mesej Islam disampaikan kepada pelbagai lapisan masyarakat. Perubahan selera masyarakat di dalam cita rasa seni mereka, diambil oleh kumpulan-kumpulan nasyid kontemporari sebagai faktor yang menuntut mereka agar turut berubah dan mengejar trend masyarakat. Dengan cara itu, nasyid boleh tampil dengan imej yang lebih dekat dengan remaja. Dalam erti kata yang lain, perubahan irama nasyid hari ini, dianggap sebagai justifikasi dakwah yang berhikmah. Apa yang dimaksudkan dengan hikmah itu adalah mengungkapkan mesej Islam dalam bentuk yang menepati sasaran dakwah, iaitu pendengar nasyid. Nasyid kontemporari dengan genre hiphop dan rock ditujukan sebagai dakwah kepada generasi muda yang hiphop dan rock.

Akan tetapi, kepelbagaian irama nasyid kontemporari ini masih terus menimbulkan perbagai persoalan yang wajar diberi perhatian. Sekurang-kurangnya terdapat dua persoalan utama yang menuntut analisa secara mendalam iaitu:

  1. Sejauh manakah nasyid di Malaysia hari ini terus relevan sebagai medium dakwah Islam kepada masyarakat?
  2. Sejauh manakah nasyid di Malaysia ini boleh menjadi sebahagian daripada apa yang dinamakan sebagai seni bunyi dan muzik Islam?

NASYID SEBAGAI MEDIUM DAKWAH

Apabila nasyid diperkatakan sebagai medium dakwah, peranannya telah dimainkan dalam konteks itu seawal tahun 80?an dengan kemunculan kumpulan nasyid seperti Nadamurni yang dahulunya bernaung di bawah pergerakan kumpulan al-Arqam. Walaupun sebahagian daripada lagu nasyid yang dihasilkan merupakan mesej dan kepercayaan yang dipegang di dalam perjuangan kumpulan al-Arqam itu sendiri, secara umumnya album-album Nadamurni diterima sebagai sebahagian daripada penyumbang kepada kesedaran dan kebangkitan Islam di tahun-tahun 80?an dan 90?an. Konsert-konsert nasyid Nadamurni sentiasa ditunggu-tunggu oleh peminat. Malah di era itu, Nadamurni berupaya untuk menembusi kelab-kelab malam dan berganding dengan penyanyi popular, membawa suara Islam ke suatu tempat yang hampir mustahil untuk ditembusi oleh pendakwah biasa. Peranan Nadamurni yang berdakwah menerusi nasyid, turut sama diperkayakan oleh kemunculan album-album nasyid lain seperti album Grup Aspirasi Seni dan nasyid-nasyid Abu Ratib yang diterbitkan semula oleh Pustaka Salam. Begitu juga dengan kemunculan kumpulan nasyid dari kalangan mahasiswa tanah air dan luar negara, khususnya kumpulan Sinaran Azhar. Begitu juga Usrah Al-Wadi yang bernaung di bawah Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM)

Namun, skop pendengar dan peminat kepada nasyid di era ini terhad kepada pelajar-pelajar di sekolah agama, dan mereka yang terbabit secara langsung di dalam lapangan dakwah. Nasyid di era ini lebih berperanan sebagai hiburan alternatif bagi golongan ‘agama’ dan ‘dakwah.

Ia bukan untuk santapan massa.

Hanya dengan kemunculan album Raihan pada tahun 1996 sahajalah, dimensi ini mengalami perubahan dan nasyid buat pertama kalinya berpeluang muncul di media-media siar negara kita dan sampai kepada skop pendengar dan peminat muzik yang lebih luas tanpa sempadan. Lirik nasyid mula mengalami perubahan. Jika sebelumnya, kebanyakan nasyid memperkatakan tentang aspek-aspek perjuangan dan jihad, malah isu-isu semasa umat Islam seperti isu Palestin, Kashmir dan Bosnia, lirik nasyid pasca album ‘Puji-pujian’ mula terbuka kepada memperkatakan tentang subjek yang lebih umum dan boleh dihayati oleh ‘orang awam’.

Jika nasyid didefinisikan sebagai medium dakwah, maka ia sangat bergantung kepada faktor manusia yang membentuk nasyid itu sendiri. Rupa dan warna dakwah adalah intepretasi seorang Da’i terhadap apa yang beliau sendiri faham tentang mesej agamanya.

Jika nasyid bermaksud dakwah, maka nilai dakwah itu bukan hanya pada lirik dan lagu, tetapi ia sangat terkesan oleh apa yang ditonjolkan melalui keperibadian penyampainya.

Sama ada nasyid tradisional mahu pun yang kontemporari dengan genre hiphop dan rock, latar belakang dan syakhsiah penasyid akan tetap menjadi sebahagian daripada penilaian masyarakat tentang sejauh mana relevannya dakwaan nasyid itu sebagai medium dakwah.

Apabila nasyid menjinakkan dirinya kepada genre hip hop, rap pop malah rock, apakah perubahan itu hanya membabitkan perubahan genre lagu, atau genre kehidupan penasyid itu sendiri?

Lagu Islam yang datang daripada masyarakat hip hop, berbeza dengan lagu Islam yang datang daripada masyarakat yang mengimitasi hip hop.

Penghasilan irama hip hop bagi penasyid daripada kalangan kaum Muslimin Afro-Amerika di Amerika Syarikat, Kanada dan Britain, tidak diragui bahawa mereka telah berjaya menepati maksud hikmah di dalam dakwah. Kejayaan ini adalah dengan mengambil kira hip hop sebagai budaya masyarakat setempat. Masyarakat Afro-Amerika berfikir dan berkomunikasi dengan genre hip hop, rap dan raggae. Oleh yang demikian, menyampaikan mesej dakwah melalui lagu hip hop, rap dan raggae adalah sangat menepati maksud hikmah di dalam dakwah.

Maka, penasyid seperti Mustaqim Sahir di dalam albumnya ‘Upright Song’ telah berjaya mengungkapkan mesej Islam dengan begitu baik, menepati sasaran komuniti Afro-Amerika di Amerika Syarikat dan dunia umumnya. Tidak ketinggalan, nama-nama seperti Native Deen dan Aashiq al-Rasul (AAR).

Hip hop dalam konteks ini, tidak berbeza dengan nasyid negara Arab. Penasyid Arab seperti Abu Ratib dan Imad Rami mengekalkan genre lagu tempatan bersesuaian dengan bahasa jiwa pendengar yang disasarkan.

Mereka ‘bercakap’ di dalam nasyid dengan bahasa pendengar. Bukan hanya bahasa lisan, tetapi juga bahasa pemikiran.

Hal yang sama lebih ketara apabila kita melihat kepada penyanyi genre Ilahi, iaitu istilah yang ditujukan kepada nasyid-nasyid Islam yang klasik di Turki. Lebih 1/3 daripada penduduk Turki merupakan golongan yang dekat dengan tradisi kesufian, maka pengungkapan mesej Islam di dalam irama yang mengikut disiplin Ilahi, lebih memudahkan masyarakat untuk menjiwai mesej dakwah yang ingin disampaikan.

Nasyid yang terbit dengan genre budaya masyarakat setempat adalah lebih konsisten dan seterusnya efektif di dalam melaksanakan fungsinya sebagai medium dakwah.

Akan tetapi, apabila penasyid di Malaysia mengubah cita rasa nasyid tempatan kepada irama hip hop, R&B dan yang seumpama dengannya, sejauh manakah peralihan ini menepati maksud dakwah?

Jika ada yang mahu mendekati remaja dengan memperkenalkan nasyid hip hop, apakah genre hip hop di kalangan remaja kita, merupakan suatu budaya dan pemikiran, atau keseronokan dan selera sementara yang datang dan pergi?

Jika mereka memilih hip hop kerana minat, maka tidak mungkin mereka mahu kehidupan mereka diganggu oleh ‘pseudo hip hop’ bernama nasyid yang mencelah.Remaja kita yang meminati hip hop, mereka tidak sampai kepada tahap berbudaya dan berfikir secara hip hop. Ia hanya sebuah trend.

Mungkin kerana ini, nasyid hip hop Malaysia sukar menempatkan diri sama ada di dalam kategori nasyid, mahu pun di dalam kategori hiphop itu sendiri.

Di dalam dunia hip hop, nasyid hip hop dipersoalkan ketulennya. Apakah ia hip hop atau pseudo hip hop?

Manakala di kalangan peminat nasyid yang lebih konservatif, tentunya mereka sukar untuk menerima kehadiran nasyid sebegini. Mereka akan terus mencari nasyid sebenar!

Istilah ‘nasyid sebenar’, mengundang kita kepada persoalan kedua. Apakah maksud kepada istilah ‘nasyid sebenar’? Bagaimanakah ia didefinisikan?

Soalan ini penting kerana jawapannya akan menentukan sama ada nasyid yang kita hasilkan di Malaysia boleh diklasifikasikan sebagai cabarang SENI atau tidak?

NASYID SEBAGAI CABANG SENI ISLAM

Apabila sesuatu hasil karya mahu diangkat sebagai cabang seni, ia mestilah terbit daripada disiplin dan dasar yang tertentu. Jika suatu bentuk cara menulis diangkat sebagai seni, maka tulisan itu mestilah mematuhi garis panduan yang tertentu di dalam proses penulisan. Andai suatu bentuk rekaan binaan mahu diangkat sebagai seni, sudah pasti ia direka bina berpandukan kepada ilmu yang mendasari seni berkenaan.

Inilah yang menjadi dilema kepada nasyid di Malaysia. Apakah fondisi kepada nasyid kita?

Umumnya nasyid di Malaysia berkembang tidak dalam bentuk suatu seni yang dipelajari. Malah kemunculan kumpulan nasyid di Malaysia banyak bergantung kepada minat dan bakat menyanyi yang ada. Akan tetapi, sejauh manakah penghasilan ‘seni’ mereka disandarkan kepada ilmu dan disiplin?

Paling tidak, berapa ramai penasyid, sama ada penyanyinya, atau yang lebih utama para pencipta lagu nasyid, mempunyai pengetahuan di dalam bidang muzik Islam. Mampukah mereka membaca nota lagu?

Seni, didefinisikan oleh Brittanica Online sebagai “penggunaan skil dan imaginasi dalam penghasilan objek, persekitaran dan pengalaman estetik (indah) yang boleh dikongsi bersama orang lain”. Dalam erti kata yang lain, seni menuntut kepada penghasilan mutu kerja yang indah berasaskan kepada kemahiran dan imaginasi.

Kemahiran terhadap seni muzik Islam, adalah disiplin yang telah sedia wujud di dalam tradisi Islam. A. Shiloah di dalam artikelnya bertajuk “The Dimension of Sound” (The World of Islam; diedit oleh Bernard Lewis) membayangkan bahawa disiplin seni Islam berasal usul daripada teknik melagukan bacaan ayat-ayat suci al-Quran, laungan azan dan tradisi fazzaziyat dan mawlid itu sendiri. Irama yang dialunkan mempunyai maqam yang tertentu dan keindahan irama yang bersistem ini, dioptimumkan pula oleh pengungkapan lirik yang indah, lazimnya menerusi syair-syair yang kaya dengan nilai estetika.

Kepatuhan terhadap disiplin seni inilah kunci kepada penghasilan seni muzik Islam yang bermutu tinggi. Seni muzik Islam bukan sahaja mampu berperanan sebagai medium dakwah yang berkesan, malah turut diterima sebagai sumbangan Islam kepada kesenian dan tamadun dunia.

Malah, kehebatan seni muzik Islam diangkat lebih daripada sekadar hiburan dan santapan emosi. Ia telah dijadikan sebagai instrumen penting kepada teknik merawat pesakit psikiatri, khususnya di era Othmaniyyah Turki, malah seawal zaman Seljuk.

Selepas pembukaan kota Istanbul pada tahun 1453, Sultan Muhammad al-Fatih telah membuka pusat rawatan pesakit psikiatri yang dikenali sebagai Bimarhane-i-Ebulfeth Sultan Mehmed. Di Edirne, pusat rawatan pesakit psikiatri telah dibina sebagai sebahagian daripada kompleks Masjid Sultan Bayazid II dan terus digunakan sehingga tahun 1915. Pesakit dirawat dengan menggunakan teknik muzik Turki yang harmoni, di mana pemuzik akan memetik nota tertentu dan reaksi pesakit direkod. Nota-nota muzik yang menerima reaksi pesakit akan digunakan untuk mencipta lagu khas yang diperdengarkan kepada pesakit itu tadi dari semasa ke semasa.

Prof. Dr. Ayhan Songar yang mengkaji hal ini menegaskan bahawa, rawatan dengan menggunakan muzik Barat yang berteraskan kepada matematik yang jumud, tidak dapat menghasilkan kesan sebagaimana seni muzik Turki yang lebih fitrah. Ini menjadi bukti bagaimana, ada alunan muzik yang merawat emosi, dan ada juga yang mengundang penyakit jiwa!

Hal inilah yang sepatutnya menjadi fokus kepada penasyid yang serius mahu menyumbang kepada pembangunan seni muzik Islam. Penyanyi nasyid kontemporari seperti seperti Sami Yusuf, sangat memberikan penekanan kepada hal ini. Beliau mengungkapkan nasyid-nasyidnya dengan asas ilmu seni yang tinggi. Mungkin kerana tidak mahu dibayangi oleh imej kebanyakan nasyid semasa, beliau lebih suka dikenali sebagai “pemuzik yang berjiwa Islam dan menjadikan Islam sebagai sumber karyanya” dan bukannya sebagai penasyid.

Sebagaimana seorang pendakwah yang menulis perlu belajar selok belok teknik penulisan yang berkesan, atau pendakwah yang berpidato perlu belajar seni pidato yang baik, maka begitulah juga pendakwah yang berdakwah melalui nasyid, mestilah menempuh proses yang sama, menjadikan nasyid sebagai suatu bidang yang ada disiplin tertentu dan bukan hanya didendangkan sesedap rasa.

Jika di negara seperti Turki, seni muzik Islam menjadi subjek yang dipelajari oleh pelajar Fakulti Teologi (Ilahiyat) secara teori dan praktikal. Maka, nasyid-nasyid mereka muncul dengan kualiti seni yang tinggi kerana penasyid-penasyid utamanya sendiri, adalah terdiri daripada ilmuan di dalam seni muzik Islam seperti Mehmed Emin Ay dan Mustafa Demirci. Penasyid dan peminat nasyid, masing-masing mengangkat kualiti nasyid berasaskan kepada tradisi seni muzik Islam yang tinggi dan ‘evergreen’.

Dari situlah, nasyid akan memperolehi definisi yang konsisten sehingga istilah ‘nasyid sebenar’ akan mendapat maksud yang lebih jelas dan tepat.

NASYID SEBAGAI ‘IKLAN ISLAM’

Berbalik kepada nasyid sebagai medium dakwah, maka ia bolehlah diumpamakan sebagai iklan bagi produk yang ingin dipasarkan. Nasyid adalah iklan yang mempromosikan Islam, Allah dan Rasul, agar dekat, dikenali dan diterima oleh masyarakat. Maka, elemen yang perlu ditonjolkan di dalam nasyid itu mestilah subjek dakwah yang mahu disampaikan. Sebuah iklan komersil boleh dianggap sebagai iklan yang berjaya, jika produk yang diiklankan berjaya terjual dengan baik. Namun, sebuah iklan tetap merupakan iklan yang gagal, jika persembahannya hanya mempopularkan pelakon iklan, tetapi produk yang diiklankan tidak terjual. Nasyid yang hanya tertumpu kepada penasyid dan lemah dalam pengungkapan dakwahnya, lantas gagal membentuk trend masyarakat untuk seterusnya menerima Allah, Rasul dan Islam dalam kehidupan, adalah nasyid yang gagal mencapai maksud.

Tegasnya, nasyid mestilah berupaya bertindak sebagai pencorak, dan bukannya tenggelam oleh trend masyarakat yang berubah-ubah dari semasa ke semasa. Lantas nasyid cuba-ini-cuba-itu dan yang seumpama dengannya, mempunyai banyak ruang muhasabah yang perlu difikirkan bersama.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
Versi asal: Jan 5, 2007 @ 19:18

 

-Munsyeed{Dot}Com


Leave comment | Tinggalkan komen

Loading Facebook Comments ...
Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response