0 comments

Di Sebalik Penundaan Konsert Salaam

by on July 12, 2012
 

Konsert Salaam Ditunda

Penundaan Konsert Salaam Sami Yusuf memberi kejutan yang bukan kepalang buat ramai pihak. Ramai peminat yang melahirkan rasa terkejut dan sedih dengan penundaan konsert tersebut. Lebih menyedihkan apabila ia dimaklumkan 2 hari sebelum berlangsungnya konsert.

Hasil tinjauan kami, rata-rata peminat kecewa dengan penundaan konsert tersebut. Bagi sesetengah peminat, jika penundaan ini dimaklumkan awal, mereka rela ke Singapura untuk menonton konsert Sami Yusuf secara live disana. Namun, inilah suratan takdir yang harus diterima oleh peminat Sami Yusuf di Malaysia.

Masalah Kontrak
Jika diteliti kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Sami Yusuf, beliau menyatakan masalah kontrak yang serius antara pihak pengurusan beliau dan pihak promoter menjadi punca utama penundaan konsert beliau di Malaysia. Tiada siapa yang tahu apa masalah kontrak yang dihadapi oleh 2 pihak ini sehingga menyebabkan konsert yang bakal berlangsung kurang 36 jam ini ditunda disaat-saat akhir. Kalaupun wujud masalah tersebut, seharusnya kedua-dua belah pihak berusaha untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi demi merealisasikan konsert yang akan berlangsung 2 hari lagi. Namun, mungkin takdir sudah tertulis, menunda konsert ke satu tarikh yang lain adalah lebih bagus dan baik daripada meneruskan juga konsert pada hari yang dijanjikan.

Menuding Jari
Dalam kes ini, adalah kurang bijak untuk mana-mana pihak menuding jari kepada pihak pengurusan Sami Yusuf semata-mata. Begitu juga kepada pihak promoter. Beban kesalahan tidak sewajarnya diletakkan di bahu pihak promoter kerana masing-masing sudah melakukan yang terbaik bagi melicinkan perjalanan konsert. Selaku media yang mengikuti secara dekat persiapan konsert ini, kami merasakan pihak promoter sudah melakukan yang terbaik bagi menjayakan konsert ini. Segala penat lelah, susah payah mereka dapat dilihat dari usaha bersungguh-sungguh mereka mempromosi konsert di stesen TV, Radio dan melalui media sosial, mengadakan beberapa siri sidang media dan sebagainya.

Tidak kurang juga usaha pihak UNIC Dot My dan Air Asia Red Tix selaku agen rasmi jualan tiket serta Rabbani Production (M) Sdn Bhd selaku rakan penganjur Karnival Salaam yang bertungkus lumus memastikan segala perjalanan promosi konsert dan karnival dilakukan sehabis baik dan teratur.

Sabotaj? Khianat Orang Ketiga?
Adakah wujud unsur-unsur sabotaj atau sebarang tindakan khianat daripada pihak-pihak tertentu? Jika benar khabar angin itu, maka ia wajar disokong dengan bukti yang jelas dan kukuh agar ia bukan sekadar persepsi semata-mata.

Persepsi Dan Tanggapan Masyarakat
Apa pun, penundaan konsert Sami Yusuf ini memberi kesan yang mendalam terhadap industri nasyid Malaysia. Walaupun Sami Yusuf enggan digelar artis nasyid, namun beliau tidak boleh lari dari dilabel artis nasyid atau artis religi yang diberikan oleh masyarakat. Sedikit sebanyak, penundaan konsert ini memberi tanggapan dan persepsi yang kurang baik terhadap penganjuran konsert-konsert nasyid atau religi di masa akan datang. Bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Dato Seri Syed Arabi Idid pernah berkata, menguruskan persepsi lebih sukar berbanding menguruskan fakta.

Maafkanlah
Untuk setiap masalah yang timbul, ambillah jalan terbaik yang harmoni untuk diselesaikan. Sempena Ramadhan yang bakal menjelma, mari tinggalkan ruang sengketa, jauhi dari sifat menuding jari dan hindari sifat hasad dengki yang boleh merosakkan diri. Kita buka lembaran baru yang lebih menguntungkan Islam dan memberi kejayaan yang besar buat semua pihak.

-Munsyeed{Dot}Com

 


Leave comment | Tinggalkan komen

Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response 

Loading Facebook Comments ...