0 comments

Ustaz Kazim Terima Pelawaan Rabbani

by on July 4, 2012
 

Penceramah terkenal, Al-Fadhil Ustaz Kazim Bin Elias Al-Hafiz menerima pelawaan kumpulan nasyid popular Rabbani untuk berkolaborasi dalam sebuah album. Ustaz Kazim Elias (UKE) yang merupakan Pengarah Pusat Pendidikan Al-Barakah akan bekerjasama dengan Rabbani melalui syarikat milik mereka, Rabbani Production (M) Sdn Bhd bagi sebuah album yang bakal muncul Ramadhan ini.

Berita ini disampaikan sendiri oleh Ustaz Kazim Elias sewaktu Majlis Sambutan Isra’ Mikraj Masjid Idrisiah Ipoh. Menurut Ustaz Kazim, kolaborasi ini dilihat mampu memberi manfaat kepada orang ramai disamping mempelbagaikan bentuk dakwah kepada semua.

Di majlis itu juga, Ustaz Kazim sempat menasyidkan serangkap lagu Bila Nur Melimpah Di Hati khas buat penonton yang hadir pada malam tersebut.

Pihak Munsyeed kemudiannya menghubungi Rabbani Production (M) Sdn Bhd untuk mendapatkan berita selanjutnya.

Ketua kumpulan Rabbani, Ustaz Asri Ubaidillah menjelaskan pihak Rabbani sangat berbesar hati apabila Ustaz Kazim Elias sudi bekerjasama dengan Rabbani di dalam album terbaru mereka.

“Kami menjemput Ustaz Kazim untuk bekerjasama dalam album yang akan diterbitkan tidak lama lagi. Alhamdulillah, respon ustaz cukup positif. Proses rakaman telah dilakukan di Studio Rabbani di Bandar Manjalara dan nantikan hasilnya pada bulan Ramadhan ini.” jelas Ustaz Asri Ubaidillah.

Mengulas mengenai album tersebut, Ustaz Asri memberitahu 5 lagu telah dirakamkan oleh kumpulan Rabbani untuk album tersebut.

“5 lagu lama yang evergreen telah dirakamkan semula dalam album ini. Ustaz Kazim pula akan mensyarahkan atau menghuraikan kesemua lagu-lagu ini dengan cara ustaz yang unik. Menariknya, Ustaz Kazim turut bernasyid serangkap dua semasa mensyarahkan lagu-lagu tersebut.” ulas Ustaz Asri.

Berikut adalah gambar-gambar sepanjang proses rakaman yang diadakan di Studio Rabbani, Bandar Sri Manjalara. Klik pada gambar untuk paparan lebih besar.

Ustaz Kazim Elias (UKE) sedang berbincang dengan Presiden Munsyid Malaysia, Ustaz Sohibul Fadhil Sabikin.

.

Ustaz Kazim dan isteri, Ustazah Noriza bergambar kenangan bersama staff Rabbani Production

.

Ustaz Kazim di Studio Rabbani

.

Ustaz Kazim sewaktu rakaman suara di Studio Rabbani.

Pasti ramai yang teruja dan menantikan album yang cukup istimewa ini. Tahniah diucapkan kepada Rabbani dan Ustaz Kazim Elias di atas kolaborasi mantap ini. Untuk para peminat Ustaz Kazim Elias dan Rabbani, nantikan produk berkualiti ini menjelang Ramadhan nanti.

-Munsyeed{Dot}Com

Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response