Connect with us

Dari Pembaca

Lagu Ketuhanan Bukan Dakwah? Ulasan Pembaca

Diterbitkan

pada

Dari Harian Metro (27 Jun 2011)

 

KUALA LUMPUR: “Tidak pernah wujud dakwah menerusi lagu. Kalau kita boleh berdakwah dengan hanya menyanyi, sudah tentu Rasulullah s.a.w melaksanakannya terlebih dulu,” kata vokalis kumpulan E.Y.E, Izam mengenai segelintir penyanyi nasyid yang sering menggunakan kenyataan mereka berdakwah menerusi lagu ketuhanan.

Izam atau nama sebenar, Mohd Izam Mohd Arshad, 43, berkata ada dua hak yang perlu dilakukan pendakwah iaitu berjumpa orang ramai dari rumah ke rumah mengajak melakukan ibadat dan kebaikan serta berdoa kebaikan pada sepertiga malam menerusi solat tahajud.

“Kemudian ia menjadi hak Allah untuk memberi hidayah, itu usaha dakwah tetapi saya dapati ada penyanyi yang mengatakan dia berdakwah melalui lagu dan ada yang mengeluarkan kenyataan menghina selepas meninggalkan dunia hiburan.

“Saya tidak pernah tinggal dunia hiburan dan masih menyanyi tetapi bukan lagi lagu bertemakan percintaan sesama manusia sebaliknya cinta hamba kepada Allah bagaimanapun ia bukan dakwah. Saya membuat album sebab saya seorang penyanyi dan saya berdakwah mengikut apa yang dilaksanakan Rasulullah iaitu berjumpa orang ramai,” katanya yang menyertai tabligh sejak enam tahun lalu.

Menurutnya, untuk menarik orang kepada kebaikan memerlukan seorang pendakwah menggunakan pendekatan berlembut dengan menceritakan ganjaran Allah kepada hamba mengikut semua perintah dan meninggalkan larangan-Nya.

“Tapi saya lihat ada artis yang sekarang ini menjadi pendakwah terus mengeluarkan kenyataan keras dan menghentam, perkara ini menyebabkan orang semakin jauh. Berdakwah kepada orang dilahirkan Islam tetapi tidak menurut ajarannya sangat sukar kerana mereka mempunyai ilmu tetapi lemah iman.

“Kita tidak boleh terus menghukum dengan menceritakan ancaman dan balasan buruk daripada Allah sebaliknya yakinkan orang Allah Maha Pengampun serta Maha Pengasih. Bila iman mereka meningkat baru kita ceritakan sedikit demi sedikit ancaman jika melakukan perkara mungkar.

“Selepas menyertai tabligh, jika saya berjumpa dan mengajak orang ramai melakukan kebaikan bukan untuk orang itu saja tapi menasihatkan diri sendiri supaya melaksanakan perkara sama,” katanya. Izam berkata, walaupun menyertai gerakan dakwah namun kumpulan E.Y.E menerbitkan album terbaru berjudul Nama Mu berkonsepkan ketuhanan yang dijual menerusi laman sosial Facebook.

 

Ulasan oleh Saudara Deen dari kumpulan AlHusna Mauled Ensembe:

‘Ilmu sebelum Amal’

Pentingnya kita mencari Ilmu,,,,

Kecenderungan masyarakat pada hari ini yang gemarkan kepada hiburan perlu dipandu dengan pengisian yang betul dan tepat dalam mengharungi arus hedonism yang terus berleluasa.

Meneliti perkara ini, nasyid dilihat amat signifikan berperanan sebagai hiburan alternatif yang juga boleh mengajak manusia kepada kebaikan. Prof Dr Ismail al-Faruqi mengatakan, tidak ramai umat Islam yang menyedari akan betapa pentingnya seni suara dan muzik sebagai suatu bentuk seni yang mengungkapkan pandangan alam (world view) Islam dan tentang kemesraan yang terdapat diantara seni tampak dan seni dengar (visual and aural arts) di dalam kebudayaan Islam. Begitu juga tidak ramai yang sedar tentang pentingnya seni dengar digunakan untuk tujuan-tujuan sosial dan dakwah.

Sehubungan dengan itu nasyid yang merupakan salah satu cabang ilmu handasat al-Aswat (seni suara) dan seni dengar yang telah berkembang dengan pesatnya di Nusantara telah menjadi medium dakwah khususnya dalam penghasilan lirik lagu yang mengandungi nilai dalam mendidik masyarakat agar memperteguhkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah, ketaatan kepada Rasulullah S.A.W, menginsafi kebesaran Allah, mengajak manusia menjadikan Sunnah sebagai panduan dan meletakkan kebenaran sebagai pedoman serta kebaikan dan keindahan wasilah dalam mencapai matlamat keredhaan Allah S.W.T.

Nasyid juga telah menjadi medium melestarikan dakwah secara berhikmah, ini selaras dengan maksud Firman Allah dalam Surah an-Nahl ayat 135:

 

“ Serulah kepada jalan Tuhan-Mu dengan penuh hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah dengan cara yang baik.”

 

Hikmah boleh ditafsirkan dengan kata-kata yang lembut, tidak dilakukan secara paksaan dan tidak terkecuali daripada menggunakan kata-kata berseni dan lagu yang meruntun jiwa, yang boleh memberikan kesan mendalam kepada jiwa manusia. Malahan, bantahan dan kritikan sekalipun boleh disampaikan dalam bentuk seni, ini amat sinonim dengan kehidupan masyarakat Melayu yang turut menghasilkan syair dan pantun bagi tujuan kritikan tajam.

Nasyid juga turut mengajak manusia untuk berzikir kepada Allah S.W.T di mana unsur-unsur zikir dan doa turut menghiasi seni nasyid, disamping dijadikan sebagai kaedah yang boleh membantu memudahkan hafalan Asmaul Husna, nama-nama nabi, sifat-sifat Allah dan Rasul-Nya, dan nama-nama surah yang terdapat dalam Al-Quran. Seni ini juga telah dijadikan sebagai alat bantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Nasyid dan Marhaban, telah menjadi aktiviti alternatif sebahagian remaja Islam masa kini, khususnya dalam mengimarahkan masjid dan surau serta mengisi pelbagai aktiviti hidup dengan perkara yang bermanfaat. Ini dapatkan mengelakkan remaja dari terjebak ke dalam aktiviti gejala sosial yang kian berleluasa.

Nasyid juga telah menjadi medium penyebaran dakwah dalam dunia penyiaran, di mana lagu nasyid telah menjadi salah satu bentuk seni hiburan yang disiarkan di kaca televisyen dan radio, Rancangan Nasyid Minggu (NMI) ini yang diterbitkan oleh Bahagian Media Elektronik dan Penyiaran JAKIM sejak Mac 2004 menjadi satu pendekatan kepada muda-mudi untuk memilih hiburan yang lebih baik dan bermanfaat. Selain daripada hiburan, rancangan ini juga banyak memaparkan petikan ayat-ayat al-Quran dan Hadith sesuai dengan tema siaran.

Carta Nasyid Radio IKIM juga turut menjadi siaran hiburan pilihan sebahagian remaja Islam masakini.

Konsert yang berintikan seni Islam seperti Nasyid juga telah dijadikan sebagai ruang kerja amal dan dakwah secara terbuka kepada semua golongan lapisan masyarakat, usaha yang dilakukan oleh Persatuan Penggiat Seni Nasyid Malaysia (PNI) menerusi konsert “ Thousand Faces One Faith” yang membawa maksud “ Seribu Wajah Satu Aqidah” akan menceritakan kehidupan warga Islam yang tergolong dari pelbagai keturunan, bangsa dan budaya.

Konsert yang telah diadakan pada 12 Ogos 2006 itu mempunyai tentatif yang amat menarik sebagai medium dakwah. Konsert itu  dimulakan dengan acara solat maghrib secara berjemaah oleh semua penonton dan  diteruskan dengan Nasyid Asmaul Husna secara koir bersama penonton disamping itu turut disajikan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan persembahan video yang menerapkan nilai akidah dan diiringi persembahan nasyid yang menyentuh jiwa.

Perjalanan seni nasyid nusantara tidak terlepas dari tuntutan dan tanggungjawab berdakwah pada jalan Allah . Adalah menjadi tanggungjawab ahli seni untuk terus mengajak manusia kepada kebaikan dengan tidak melupakan etika dan akhlak Islam yang perlu menjadi pakaian diri sepanjang masa agar nasyid mampu menjadi agen yang mengajak manusia kepada amar ma’ruf dan nahi mungkar.

Sekian.

[signoff icon=”icon-flag”]ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang pengarang Munsyeed{dot}com. Saudara Deen merupakan salah seorang ahli kumpulan AlHusna Mauled Ensembe.[/signoff]

 

 

Iklan
1 Komen

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Dari Pembaca

Selepas GGV, what’s next?

Diterbitkan

pada

Ditulis oleh Abdullah 

Saya kira belum terlambat untuk saya mengucapkan tahniah kepada UNIC, Hijjaz dan Mirwana atas kejayaan yang cukup membanggakan di Konsert Akhir Gema Gegar Vaganza musim pertama baru-baru ini. Tidak dilupakan kepada semua peserta yang turut bertanding dari minggu pertama hinggalah minggu terakhir konsert Gema Gegar Vaganza musim pertama. Ternyata program ini berjaya mendapat tempat di hati para penonton terutama peminat nasyid.

Gema Gegar Vaganza musim pertama telah pun melabuhkan tirai. Kini masanya untuk para peserta melakukan gerak kerja bagi menguruskan kemenangan yang telah diperolehi. Di sini saya ingin mengesyorkan 3 perkara yang perlu dilakukan oleh para peserta Gema Gegar Vaganza musim pertama!

Aktifkan Media Sosial Rasmi

Facebook, Twitter dan Instagram; antara medium terbaik media sosial yang menghubungkan antara artis dan para peminat. GGV berjaya menarik ramai peminat baru ke arah artis. Justeru, jangan dibiarkan peminat ini hilang (dan anda juga kembali tenggelam). Aktifkan media sosial rasmi masing-masing.

Tidak semestinya media sosial tersebut perlu dipenuhi dengan gambar selfie 24/7. Artis boleh pertimbangkan untuk berkongsi untaian kata-kata, rangkap-rangkap lagu yang bermakna atau sebarang pengisian yang bermanfaat. Di samping itu, segala perkembangan terkini dan jadual persembahan dan konsert boleh dikongsikan bersama peminat.

Gambar Komersil Satu Pliss…

Gambar Komersial memainkan peranan yang besar kepada seseorang artis. (Baca Artikel: Artis Nasyid dan Gambar Komersial). Pastikan masing-masing mempunyai gambar komersial baharu yang boleh digunakan oleh para penganjur konsert dalam poster-poster atau bunting-bunting konsert. Gambar komersial memberi nilai tambah kepada artis terutama selepas populariti kembali melonjak pasca GGV.

Single Yang Kababoom

What next? Lancarkan single terbaru! Takkan mahu bergantung pada lagu-lagu hits yang sudah lama sahaja? Inilah peluang terbaik untuk para artis mencari bahan terbaik dan menghasilkan single yang meletup! Single ini juga merupakan kemunculan semula (comeback) artis tersebut yang pastinya ditunggu-tunggu oleh para peminat. Single ya, bukan full album baru tau!

Akhir kata, saya menunggu single terbaru korang ya! Terima kasih, wassalam!

Penafian: Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Munsyeed Dot Com

Continue Reading

Dari Pembaca

Subhanallah: Pencarian Farid Sanullah Yang Majestik & Magis!

Diterbitkan

pada

[youtube url=”http://www.youtube.com/watch?v=FDkK4XCwfmk”]

Ibarat mimpikan zam-zam di kala dahagakan air. Ya! Begitulah yang dirasakan, bila menonton-dengar MV Farid Sanullah ini. Dalam keletihan bergelumang lumpur di tengah kota, terhidang pula sebuah karya pendendang yang membangunkan, mendorong bangkit bersihkan tanah liat yang masih liat di badan.

Klise. Seorang pemuda lalai yang bertaubat, kembali ke pangkal jalan.

Namun, apa salahnya kalau berkarya dengan elemen klise? Jika yang dipersembahkan itu mampu mendorong magik yang tersendiri? Jalan cerita yang ringkas tetapi dipupuk…oh maaf, saya minta izin mengggunakan perkataan ‘disumbat-sumbat’ dengan bahasa visual.

Lidah MV ini bukan sahaja pada alunan lagu super-duper melecun dari tim Edrie Hashim. Juga bukan sahaja dari susunan lirik. Bahkan, pada visual. Ya! Sudah pernah saya bicarakan kepentingan visual dalam persembahan video bermesej.

Mungkin ada yang tidak memahami betapa pentingnya bahasa visual. Ibarat membaca novel. Seninya pada menganyam bahasa sehingga mampu menyinggah kotak imaginasi pembaca. Membaca buku bukan kerja orang yang malas. Membaca buku perlukan pemerhatian dan ilmu. Ilmu membaca.

Membaca karya visual. Itu suatu yang tidak pernah kurang hebatnya. Sebelum membaca karya visual, harus mahir ilmunya. Kalau belum mahir, mulakan tapak pertama.

Ada beza bahasa visual dan keindahan cinematic visual. Pertama, perlukan hati dan akal. Yang kedua, hanya fantasi mata. Kedua-duanya kalau digabungkan mampu mencetuskan kehangatan bercinta kepada visual yang dihidangkan. Dan itulah yang dipakejkan dalam MV ini.

Baik.

Saya hampir melompat terhibur apabila menonton Farid yang berjaya membawa karakter dalam cerita. Wajahnya, solekannya, peluh dan kesungguhan beliau yang ditampilkan bersahaja itu menjadi tonggak kekuatan perjalanan naratif cerita ini.

Farid masih tercari-cari hala tuju di awalnya. Masih bergelumang dengan dosa. Masih melakukan kesilapan. Namun, di akhirnya beliau didorong mencari dan menemukan sesuatu di bawah cahaya.

Jom, kita ‘baca’ satu-persatu.

Bahasa Visual Klip Video Subhanallah – Farid Sanullah

MV dibuka dengan tiupan seruling di atas bukit (rujuk bukit di akhir MV) yang awal-awal sudah mewakili panggilan akhir daripada Allah.

Seruling di bukit. Kenapa bukit? Nanti di hujung MV, kita sama-sama perhatikan Farid berlari mendaki bukit. Teringat saya bagaimana Musa A.S memanjat bukit bagi bertemu Allah. Lihat bagaimana ia dibuka dan ditutup, tidakkah bijak sang pembikin MV ini? Beliau tidak sewenangnya menulis lokasi di situ-di sini. Bahkan, semuanya dirancang dan diberi makna.

Farid Sanullah

Shots daripada langit sentiasa membawa makna yang jelas bahawa warga langit sedang melihat. Ketika Farid berlari, kita dibelanja satu shot dari langit yang begitu cinematic. Juga, ketika di pelantar tepi pantai. Lihat bagaimana Farid mendepa tangan bercakap dengan warga langit. Interaksi di antara Farid dan Allah dikisahkan dengan pertukaran shots yang begitu kemas. Bahkan, disusun seiring muzik yang mendorong kejayaan mesej disampaikan.

Menyebut shot dari langit ketika Farid sedang berlari. Ada sekuen di mana Farid berjalan bertukar-tukar latar, menyusulinya. Cuba anda gabungkan dan carikan maknanya. Ya! Tepat. Allah melihat walau di mana-mana Farid berada. Bukankah itu bijak?

Saya tersenyum lebar kepuasan. Ini menghiburkan. Kerana segalanya memberi makna.

Matahari. Cahaya. Elemen ini juga memperkuatkan naratif. Tak perlu saya hurai panjang. Perasan atau tidak? Apakah yang menyebabkan air muka Farid berubah ketika dia bersama kawannya melintasi seorang gelandangan (ketika flashback)?

Benar. Cahaya matahari yang menyelit-nyelit di celah daun pokok. Lihat bagaimana sengaja shots matahari di langit dibelanja dari low-angle. Sudut mendongak, mewakili hamba di dunia yang mendongak ke ‘cahaya di langit’. Semua shots matahari dipupuk begitu dalam MV ini.

Farid sanullah

Oh ya! Sebut berkenaan pokok. Bukankah pokok itu lambang fitrah. Simbol kontemplasi. Simbol hikmah, juga. Ketika mana Farid mengambil masa berfikir, beliau memilih tempat bersandar di pokok besar yang rending. Teringat saya kepada ayat Quran berkenaan Kalimah Tayyibah. Bahawa perkataan-perkataan baik (dakwah) itu ibarat pohon yang akarnya kejap di bumi, dan dahannya menjulang ke langit. Merimbun menaungi hamba-hamba Tuhan.

Gelandangan yang menjadi pemangkin perubahan Farid juga letaknya di bawah pokok.

Dalam meneruskan pencarian perubahan, kita dimaklumkan bahawa Farid sebenarnya melalui jalan yang lurus. Di mana, sebengkok mana pun landasan tersebut, ia tetap menuju suatu destinasi yang tertentu. Bila pula kita dimaklum sebegitu? Ketika mana Farid berjalan bersebelahan landasan keretapi.

Tidak lama selepas itu, Farid berlari benar-benar laju mendaki menuju Allah. Ketika itu, shots dari langit yang sentiasa memerhatikannya itu, sedikit merendah, mendekati Farid. Dan, fade out. Bermulalah cerita baharu….

Dari mencari-cari, sehinggalah didorong mencari di bawah cahaya. Sehinggalah nekad mencari menuju Tuhan Yang Esa.

Bagaimana? Tidakkah anda tersenyum lebar kepuasan, apabila dapat membaca karya visual sebegini? Inilah MV yang mempertaruhkan mesej visual Majestik lagi Magis!

Jika ditanya apakah maksud hiburan? Apabila hati dan akal anda memahami jauh dari sekadar apa yang di hadapan, itulah hiburan yang sebenarnya. Jika sekadar lapisan permukaan, ia adalah fantasi.

Ya. Hiburan. Atas dasar itu, saya mengundi 4.9 dari 5 bintang untuk hasil cun-melecun ini. Dari muzik sehingga visual, ia memuaskan. Kurang 0.1 hanya pada klise dan peranan Ayah Farid yang sangat tidak signifikan.

Sekian.

[signoff icon=”icon-flag”]Ditulis oleh Thaaqhib Mohammed. Beliau merupakan salah seorang pengkritik filem tempatan dan antarabangsa di www.wayang.my. Artikel ini dihantar kepada Munsyeed Dot Com untuk dikongsikan bersama para peminat hiburan Islam di sini. Kepada mereka yang berminat untuk menghantar artikel kepada kami, sila emailkan ke [email protected].[/signoff]

Continue Reading

Dari Pembaca

Robocop – Hollywood Masih Dibelenggu Islamophobia

Diterbitkan

pada

Oleh: Azri Shamsuddin

Minggu lepas, saya dan rakan-rakan pergi ke TGV One Utama untuk menonton filem Robocop. Saya merupakan penggemar filem adiwira (superhero) sejak kecil terutama filem adiwira yang diterbitkan oleh Marvel Comic seperti Captain America, Thorr, Iron Man dan lain-lain. Walaupun Robocop bukan dibawah Marvel, tetapi gabungan dua syarikat perfileman gergasi; Metro Goldwyn Mayer dan Columbus membuatkan filem ini kelihatan besar.

Trailer Yang Mengujakan

Seingat saya, saya mula melihat trailer filem Robocop ini sejak penghujung tahun 2013. Dibarisi dengan pelakon-pelakon baru, saya menjangkakan filem Robocop versi 2014 ini akan menjadi sehebat filem The Dark Knight (Batman), Thor ataupun The Avengers. Masakan tidak, dengan teknologi baru yang dipaparkan dan kemasan sut Robocop yang lebih style, ia mengujakan saya dan rakan-rakan untuk menonton adiwira yang pernah popular satu ketika dahulu.

Babak Muslim Sebagai Pengganas Dalam Robocop

Tetapi, 20 minit pertama filem ini membuatkan saya dan rakan-rakan kecewa dan menurunkan paras ‘excitement’ kami. Isu Islamophobia yang tidak bernoktah masih disajikan sebagai salah satu paparan dalam filem ini.

Ya, memaparkan watak antagonis yang berkopiah dan bertudung telah melukakan hati kami. Sebagai penggemar seni filem, saya berpendapat tindakan Hollywood menyiarkan babak orang Islam sebagai terroris dalam minit-minit awal filem Robocop ini merupakan satu tindakan lapuk dan ketinggalan zaman yang masih dibuat Hollywood pada awal tahun 2014!

Sindrom Islamophobia Satu Isu Lapuk

Tindakan ini dilihat sebagai satu usaha berterusan Hollywood dalam mendoktrinkan sindrom Islamophobia dalam pemikiran masyarakat dunia. Tindakan ini juga jelas membuktikan yang pengkarya-pengkarya Hollywood tidak sensitif terhadap penonton-penonton di kalangan masyarakat Islam dunia.

Islam Itu Indah dan Cintakan Kedamaian

Mungkin sudah tiba masanya untuk kita turut belajar dan terlibat dalam bidang perfileman dan media agar satu usaha penambahbaikan dan pemurniaan dapat dilakukan kepada industri perfileman dan media. Kalau Hollywood boleh menggunakan filem dan media untuk mendoktrinkan masyarakat dunia dengan isu-isu tidak masuk akal seperti mengaitkan Islam dan terrorisme, mungkin satu hari nanti kita boleh tampil dengan filem pendek atau video pendek yang menceritakan keindahan Islam dan betapa Islam itu sangat cintakan keamanan dan kedamaian.

Satu hari nanti, insya Allah.

[signoff predefined=”Movie Review Signoff” icon=”icon-pencil”]Ditulis oleh Azri Shamsuddin. Artikel ini dihantar kepada Munsyeed{Dot}Com untuk dikongsikan bersama para peminat hiburan Islam di sini. Kepada mereka yang berminat untuk menghantar artikel kepada kami, sila emailkan ke admin@localhost.[/signoff]

 

Continue Reading

Trending