Kolum
0 comments

Muzik Video Haruslah Halus, Kreatif dan Ada Magiknya!

by on December 30, 2013
 

Seni itu adalah kata hati yang subtle. Berjodoh dengan akal kreatif. Ia kadang-kadang memang sukar difahami, namun, bukan jelik untuk ditanggapi. Kalau ada rasa jelik, boleh jadi nikah seni kreatif itu harus dirujuk semula berkali-kali lalu dipersembah semula.

Apa pula asal-usul isu yang saya bebelkan ini?

Saya antara jutaan peminat muzik video samada dari penyanyi arus perdana, mahupun, pengkarya bebas. Sebagai peminat nasyid, semestinya saya tidak ketinggalan untuk segera menonton paparan yang disajikan pembikin seni kreatif dalam industri nasyid ini.
Ada satu kekecewaan. Namun, ia adalah kemurungan yang membina naluri kritis untuk menawarkan solusi.

Jika di Barat atau mana-mana negara yang serius menanggapi muzik video sebagai suatu saluran yang punyai kuasanya magiknya yang tersendiri, mereka akan mempertaruhkan nilai yang begitu hebat untuknya. Perkahwinan seni dan kreatif itu dilangsungkan begitu hebat dalam setiap muzik video.

Ya. Tidaklah semua. Ada sahaja yang seperti diperlakukan bak konyokan kertas untuk dilontar ke bakul hujung pintu. Namun, bagi pengkarya yang serius, setiap hasil muzik video mereka diangkat, diperbincang, diberi penghormatan dan dibuat kajian terhadapnya. Ia adalah magik yang menakjubkan para pendengar yang menonton. Saya mengambil contoh muzik video Kelly Clarkson – People Like Us. Lagu bergenre pop dance; membawa mesej mendokong manusia-manusia minoriti yang berbakat tetapi sering dilihat ditindas.
Lihat muzik videonya. Begitu kreatif dan subtle.

plu clip1

Video dimulakan dengan suasana sekeliling yang kekelabuan. Kelihatan para doktor psikiatri sedang menelaah pesakit mereka yang dilihat bermasalah. Kesemua watak kelihatan kekelabuan kecuali budak perempuan itu (kita namakan Maryam). Hanya beliau yang berwarna!

Pelbagai ujikaji terhadap Maryam dilakukan bagi mengubati ‘penyakitnya’. Para doktor terus-menerus melihatnya sebagai bermasalah. Walhal, dari kaca mata Maryam, merekalah sebenarnya yang membosankan dan bukan dirinya. Kerana Maryam berwarna sedangkan mereka hanya grayish dan membosankan. Dull!

plu clip2

Maryam terus-menerus murung kerana tiada siapa yang memahaminya. Sehinggalah, datang seorang doktor (kita namakan Asiah). Asiah datang dan cuba mendekati Maryam. Mengejutkan, apabila Asiah mendorong Maryam menyapu mukanya, menampakkan warna terselindung di wajah Asiah. Maryam gembira dan tersenyum mengetahui ada di sana, orang yang seperti dirinya. Unik, istimewa dan berwarna. Tidak kelabu dan bosan.

Lalu, mereka lari dari hospital tersebut meniggalkan dunia yang kelam dan membosankan. Kereta yang dinaiki mereka juga berwarna indah. Mereka diburu kerana dianggap sakit dan merbahaya. Si pemburu itu kelihatan kelam juga.
Sehingga mereka masuk ke dalam satu terowong yang tembus suatu dunia lain, yang penuh warna-warni. Di situ, ada lagi beberapa orang yang berwarna-warni juga. Mereka bersatu dan saling menyokong satu sama lain.
Ya! People like us. Semangat setiakawan membangunkan keunikan diri masing-masing serta menghargainya dari diranapkan dunia yang tidak menyenangi. Lagu tersebut dipersembah secara visual dan secara verbal dengan cemerlang.

Baik! Apa pula hala tuju ulasan saya ini?

Muzik video nasyid seharusnya mengambil ibrah dari kejayaan pembikin muzik video lain yang berhempas-pulas menghasilkan paparan visual yang subtle, kreatif dan tidak jelik. Biarpun hasilnya sukar untuk difahami. Ia akan diperbincang, dijadikan buah mulut inspirasi, dikongsikan bagi menaikkan semangat, menjadi ganti kepada syarahan bahkan ia mampu menjadi bahan bantu mengajar.

Ia adalah magik yang mentakjubkan dunia.

Bayangkan bagaimana ahli motivasi, menayangkan video ini kepada anak-anak unik yang kelihatan sering murung. Lalu, diulas dengan baik. Sehinggalah, terukir senyuman di wajah anak-anak itu. Bukankah itu membantu mereka untuk cemerlang dalam hidup? Lihat betapa berperanannya muzik video ini.

Muzik video nasyid?

Ada lagi yang kekal dengan susunan montaj. Bernasyid di atas bukit atau taman. Berjalan seiringan mendekati kamera dan muncul di tempat lain semula. Ada juga yang sudah memanjat ke paradigma seterusnya dengan mengisi adegan bermesej langsung. Suatu khidmat masyarakat yang perlu dipuji. Namun sebagai kritikan membina, adakah ia cukup subtle? Pastinya yang tersirat itu lebih enak dikupas, dari yang disuap-suapkan mesejnya. Yang merentas benua dan merentas akal.

Ada juga yang ingin mencuba sesuatu yang lebih berani. Mengisi-isi tabiat kerosakan umat dalam visual bagi mendedahkan realiti. Jujur pada realiti, katanya.
Ya. Sebagai kritikan membina, adakah aksi muqaddimah zina dalam muzik video nasyid dikira sebagai kreatif? Jika ya, apakah nanti dengan adanya video sebegitu, ia boleh di tayang semasa program keinsafan belia 4B sempena maulidurrasul? Akal seorang Muslim harus lebih kreatif dalam mencari kaedah menyampaikan kata hatinya yang halus.

Begitulah.

Ala kulli hal, muzik video itu bukan video buku teks. Ia adalah seni kreatif. Dalam dakwah, apa jua seni haruslah mad’u oriented. Siapa yang diseru dan ke manakah arah seruan itu. Dari kalangan masyarakat, pendakwah lah yang paling layak mengangkat kualiti minda manusia ke tahap yang lebih tinggi. Kuncinya?

Kita sudah ada kunci di tangan.

Ditulis oleh Thaaqhib Mohammed. Beliau merupakan salah seorang pengkritik filem tempatan dan antarabangsa di www.wayang.my. Artikel ini dihantar kepada Munsyeed{Dot}Com untuk dikongsikan bersama para peminat hiburan Islam di sini. Kepada mereka yang berminat untuk menghantar artikel kepada kami, sila emailkan ke [email protected]

APA KATA ANDA?

Loading Facebook Comments ...
Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response