Ulasan
0 comments

Video Muzik ‘Sejati’ Boleh Pergi Lebih ‘Deep’

by on January 19, 2017
 

Baik! Baru sahaja dilancarkan pada 18 November lepas adalah video muzik rasmi bagi lagu yang telah memenangi anugerah Lagu Terbaik dan Lagu Pop Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-22, iaitu lagu yang berjudul ‘Sejati’ nyanyian artis prolifik tanah air, Faizal Tahir. Ternyata ramai yang teruja dan ternanti-nantikan pelancaran video muzik ini.

Sebab utamanya, lagu ini telah pun menjadi siulan dan diulang-main di radio dan televisyen. Tidak kira ia muncul sebagai OST drama mahupun pilihan kegemaran carta muzik, lagu ini telah pun memberi kesan yang mendalam kepada penggemar muzik tempatan terutamanya peminat-peminat karya Faizal Tahir.

Faizal Tahir merupakan salah seorang artis Malaysia yang sukses dengan karya ciptaan sendiri. Tidak ramai artis yang mampu lahir dengan kejayaan sedemikian. Walaupun beliau boleh dikira sebagai ‘orang lama’ dalam industri muzik tanah air, tetapi beliau masih memilih untuk tampil dengan buah tangan ciptaan sendiri (semestinya terkini dibawah kerjasama Faithful Music). Hasilnya, album terbaharu beliau berjudul ‘Anatomi’ telah membuktikan ketelitian dan kualiti produksi yang bukan calang-calang. Muzik beliau terlihat makin matang dan ‘world-class’ untuk dilayan.

Muzik Video ‘Sejati’

Berikut merupakan kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh syarikat label Faizal Tahir, Warner Music Malaysia berkenaan muzik video ‘Sejati’.

“Muzik video yang berkonsepkan drama realiti ini, menceritakan tentang realiti kehidupan pada masa kini yang hanya mementingkan darjat, pangkat dan paras rupa semata-mata dari agama. Sebuah muzik video yang penuh dengan nilai-nilai murni dan pengajaran yang amat bermakna untuk dijadikan contoh dan tauladan untuk kehidupan seharian. Mesej yang cuba disampaikan begitu jelas bahawa manusia zaman ini, hanya menilai seseorang dari luaran tanpa mengetahui latar belakang dan niat mereka yang sebenar.”

Saya selaku peminat ‘keras’ karya-karya Faizal Tahir sememangnya ternanti-nanti akan apa sahaja penghasilan terbaharu dari ‘rockstar Malaysia’ ini. Mungkin oleh kerana itu juga penelitian dan jangkaan saya terhadap sebarang pembikinan lagu dan video muzik beliau menjadi agak tinggi. Namun sebelum kita pergi kepada kritikan, eloklah kita raikan hal-hal yang murni tentang muzik video ini.

Mesej Ketuhanan yang Mendalam

Lagu ‘Sejati’ sejak awal diperdengarkan kepada khalayak ramai telah mencetuskan satu persepsi bahawa ia merupakan karya berkonsepkan ketuhanan. Pemilihan lirik di bahagian korus sendiri telah memberikan pandangan lurus kepada perjalanan menuju Tuhan.

“Biar mati ku mencuba demi bahagia,

Biar sakit dilukai dapat ku rasa,

Biar nadiku terhenti demi ke syurga,

Biar selamanya mencari cinta sejati.”

Kedalaman rasa abdi dan penyerahan diri yang cuba ditunjukkan di dalam bait-bait lirik lagu ‘Sejati’ sememangnya terhasil untuk berbicara tentang Tuhan. Tidak mungkin sama sekali ia disampaikan atas dasar makna cinta kepada manusia. Maka jika video muzik (andainya) cuba untuk memaparkan tentang kisah cinta manusia, pastinya akan menjadi ‘spoil’ yang amat besar kepada lagu itu sendiri. Justeru saya ucap tahniah kepada Faizal Tahir dan produksi kerana telah membawa mesej agama dan ketuhanan di dalam video muzik terbaharu ini. Saya fikir ia adalah hasil kerja yang berjaya.

Kisah berkenaan perbezaan darjat manusia telah dipaparkan secara jelas melalui babak seorang gadis yang ‘high-standard’ dan seorang pengutip tin yang sobek-sobek luar pakaiannya. Perbezaan luaran itu telah menimbulkan ego dalam hati dan mencipta jurang bahawa ada ‘yang kuat’ dan ada ‘yang lemah’. Ada yang boleh mempermainkan dan ada yang boleh dipermainkan. Namun diakhirnya, ‘yang kuat’ itu diuji – apabila wanita itu diculik dan dirogol dan kemudiannya ‘yang lemah’ itu hadir menolong sehingga teruk dibelasah lunyai oleh penjenayah.

Mesej yang cuba disampaikan agak kuat. Hal perbezaan darjat jika ingin dibawa dalam konteks masyarakat Malaysia, ia sememangnya relevan. Tidak sepatutnya lagi berlaku penindasan terhadap yang lemah dan penilaian buruk sekadar dari luarannya. Pepatah orang putih mengatakan, ‘don’t judge book by its cover.’ Luaran tidak pernah menjamin dalaman. Namun yang pasti, dalaman pasti mencerminkan luaran.

Kemudian di akhir video, ada ‘scene’ yang membongkarkan bahawa sang lelaki gelandangan pengutip tin itu rupanya mempunyai ikatan yang kuat dengan kitab suci al-Quran. Al-Quran lusuh kelihatan tersimpan kemas di dalam beg dan mahu sungguh dicapai ketika sedang terbaring dan nyawa semput menahan kesakitan.

Sehinggalah nyawa terbang dijemput Ilahi, kitab suci Al-Quran masih tetap berada erat di dalam pelukan. Simbolik yang agak mahal kerana berapa ramai manusia hari ini meninggalkan pedoman agamanya sedangkan rezeki sehari-hari datang kepadanya itu disalurkan oleh pemilik diri, penguasa langit dan bumi, Allah SWT.

Kemunculan Faizal Tahir di dalam video dipaparkan sebagai ‘transition scene’ di mana beliau menyanyi di kawasan yang gelap, di balik cahaya. Kemudian ada sedikit babak cameo beliau di bahagian keciciran wang, namun dikembalikan oleh pengutip tin kepada empunya wang (Faizal Tahir). Namun empunya wang menolak untuk menerima dan menghadiahkan wang itu kepada si pengutip tin. Simple yet meaningful.

Namun… (Maksudnya Kritikan)

Seperti yang saya katakan di awal artikel, jangkaan saya mungkin agak tinggi untuk penghasilan video muzik ini. Pertamanya, lagu ‘Sejati’ sendiri telah menangkap perhatian saya dari sudut melodi dan lirik. ‘Sejati’ telah pun memberi ‘kepuasan telinga’ kepada saya. Jujurnya, saya sudah tidak mengharapkan visual untuk mewakili lagu ‘Sejati’. Lagu ini sudah mampu berdiri sendiri.

Namun video muzik telah pun dilancarkan, dan saya tetap akan menontonnya. Saya tahu, bukan mudah untuk menangkap perhatian orang dan menjentik perasaan dalam video muzik kurang lebih empat minit. Tetapi, ruang untuk penambahbaikan masih tetap ada. Jadi saya tertarik untuk komen dari permulaan video supaya ada pembaikan yang boleh difikirkan di bahagian produksi.

Pertamanya, kereta penculik terlalu ‘sempurna’! Mungkin saya yang melebih-lebih, tetapi kereta yang berkilat dan terlalu sempurna untuk penculik tidak berapa ‘masuk’ bagi saya. Benda ini nampak kecil, tetapi bagi saya sedikit memberi kesan kepada keseluruhan penceritaan. Mungkin inilah mesej yang cuba hendak disampaikan – don’t judge ‘penculik’ by its ‘kereta’! Selain itu, saya sendiri tidak tahu apa motif gadis ini diculik dan dirogol. Jika hendak diambil wangnya, beg tangan pula tercicir sewaktu diculik. Apakah memang untuk kepuasan nafsu semata-mata? Maka saya serahkan kepada penonton untuk membuat interpretasi sendiri.

Kemudian kemunculan watak gadis ‘kurang kain’ di dalam video ini tidak perlulah saya ulas panjang. Siapalah saya sekali lagi untuk mengadili seseorang. Namun mungkin menjadi sedikit isu bagi saya ketika babak gadis ini mengeluarkan Al-Quran dari beg dan memeluknya sambal menangis. Saya fikir babak ini boleh dielakkan kerana ia hanya sebuah lakonan. Malahan lebih memberi kesan jika dipaparkan gadis itu tidak berdaya menyentuh Al-Quran dan memberi kitab suci itu kepada pengutip tin dengan cara lain kerana berasa terlalu berdosa. Bagi saya, ia lebih memupuk rasa menghormati kitab suci Al-Quran. Malahan mungkin kesannya lebih mendalam. Namun sekali lagi, siapalah saya untuk menghalang si gadis ‘kurang kain’ memegang Al-Quran. Lagipun, ia ‘lakonan’ sahaja! (baca dengan nada sarkastik).

p/s: Ternyata saya ‘judgemental’ terhadap gadis itu, bukan pada pengutip tin. LOL!

Kekurangan Pada Seni Sunting dan Emosi

Namun hal-hal itu masih ‘minor’ bagi saya. Apa yang lebih besar ialah kekurangan pada seni suntingan (editing) untuk menterjemahkan babak dan kurangnya penghayatan emosi pada watak.

Mungkin pakar editor video akan mengatakan bukan semua hal boleh diletak efek ‘slow-motion’, tetapi bagi saya keperluan itu ada untuk lagu ‘Sejati’. Ada beberapa babak seperti babak akhir ketika pengutip tin memeluk al-Quran boleh diberi efek gerak perlahan. Termasuk juga babak ketika berada di dalam masjid. Setiap babak air mata juga memerlukan kepada efek gerak perlahan kerana itu yang memberi kesan penghayatan yang lebih kepada penonton. Adakah ia terlalu cliché? Tidak. Bagi saya itu sahaja cara untuk berasa terkesan pada emosi sedih ketika itu. Jika tidak, ia akan berlalu terlalu cepat.

Penghayatan watak juga bagi saya kurang memuaskan. Saya faham, mungkin kemunculan ‘muka-muka baharu’ di dalam video ini sendiri merupakan ujikaji yang cuba dilakukan oleh produksi Faithworks, yang saya kira mungkin juga masih baharu. Namun seperti yang saya katakan, masih ada ruang penambahbaikan pada penghayatan emosi dalam watak. Jika watak pengutip tin berusaha untuk mengalirkan air mata pada mana-mana babak, contohnya seperti di babak masjid dan juga babak ketika sakaratul maut, saya fikir video ini bakal memberi impak yang berbeza. Sebabnya, emosi beliau terlalu kosong untuk diangkat sebagai watak utama. Atau mungkin itulah mesej video yang cuba disampaikan – don’t judge!

‘Sejati’ Adalah Karya Istimewa

Sejujurnya, ‘Sejati’ adalah karya yang istimewa. Ia tidak akan terlahir semula. Tidak akan ada ‘Sejati’ yang kedua. Maka visual yang mahu diberikan harus selayaknya. Saya secara peribadi menggemari video lirik rasmi ‘Sejati’ yang dihasilkan oleh Hafiz Mokhtar dari SchizoMotion. Walau hanya sekadar video lirik, tetapi gambaran yang cuba diberikan lebih mendalam. Betapa sistem badan manusia ini, hakikat setiap incinya, kita berhutang kepada yang Maha Esa. Dia pemilik segalanya. Saya lebih tertarik dengan hala panduan ke arah itu. Sesuai dengan konsep album terbaharu Faizal Tahir.

Saya juga menantikan jika ada babak-babak grafik yang kreatif untuk video muzik ‘Sejati’. Mungkin selepas ini, kolaborasi boleh diadakan bersama dengan team grafik. Sudah sampai masa karya-karya Faizal Tahir diangkat lebih kreatif dan ‘movie-standard’. Perlu diangkat lebih tinggi! Bukan sekadar one-flow sahaja. Contoh video muzik yang boleh dijadikan rujukan ialah video-video muzik dari band Inggeris, Coldplay. Malahan jika hendak dibuat videa muzik realiti, plot-twist nya perlu lebih kemas dan tidak diduga. Saya yakin, Faizal Tahir dan produksi mempunyai banyak idea untuk itu.

Kesimpulannya, ilmu ketuhanan ini luas. Banyak aspek boleh disentuh. Hakikatnya, ‘Sejati’ boleh pergi lebih ‘deep’ dari video muzik sedia ada. Bukan sekadar pegang Al-Quran, tetapi ada kisah ‘sejati’ yang boleh digali dan diambil pengajaran dari dalam Al-Quran. Bukan sekadar kembali ke masjid, tetapi ada fungsi ‘sejati’ rumah agama yang boleh digali dalam proses membangunkan rohani insan. Kita boleh pergi lebih dalam dari itu untuk sebuah karya kreatif.

Walaubagaimanapun, ‘Sejati’ sudah pun sukses pada melodi dan liriknya. Sekali lagi saya ucap tahniah kepada Faizal Tahir dan produksi kerana berjaya menghasilkan lagu dengan konsep sedemikian. Agak lari sebenarnya dari trend lagu semasa, tetapi tetap sukses. Bak kata kawan saya, ‘Sejati’ adalah lagu nasyid alaf baharu. Iyakah?

Sekian!

p/s: Kenapa bukan Faizal Tahir sahaja jadi watak utama? Ini lagu dia kan?

Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response 

Loading Facebook Comments ...