1 comment

Review: Showcase Amal Syuhada At-Taqwa

by on June 12, 2011
 

 

Menguruskan dan menganjurkan sebuah konsert nasyid berskala besar, hanya dalam tempoh dua minggu mungkin dianggap mustahil dan kerja gila bagi sesetengah pihak. Namun, Showcase Amal Syuhada At-Taqwa anjuran Munsyid Malaysia yang dilangsungkan malam Sabtu lepas mencatat sejarahnya apabila berjaya mengumpulkan lebih 50 artis nasyid tempatan, di Dataran Kemerdekaan Shah Alam. Kami di Munsyeed.Com ada ceritanya.

Suasana Dataran Kemerdekaan Shah Alam berubah sejak tengah hari sebaik sesi soundcheck bermula. Sebelah petangnya pula, dilangsungkan acara At -Taqwa : The Rhythm Of Syuhada. Vocal And Percussion Charity Show. Meriah, dan serta merta dataran tersebut bertukar menjadi dataran nasyid pula.

Rata-rata jam 8.00 malam, penonton mula membanjiri dataran. Setia menanti awal walaupun showcase hanya akan bermula jam 9.00 malam. Ramai yang sanggup duduk bersila diatas jalan menanti persembahan ulung ini.

Asmaul Husna membuka tirai persembahan dengan mengumpulkan semua penasyid di atas pentas. Bergema juga laungan nama-nama Allah menyelinap seluruh dataran. Selepas naration yang dibaca saudara Hazihin, Rabbani, Syifa’, Devotees mengambil tempat memulakan persembahan nasyid. Mereka membuka dengan penuh tenaga

Persembahan yang menggabungkan artis-artis nasyid diteruskan. Paduan vokal mantap Raihan, Nowseeheart, Saffone menerusi lagu Nabi Anak Yatim memukau penonton, terutama alunan harmoni berkumpulan mereka. Keluarga Bahagia paduan Saujana, As-Saufee dan Aidil pula bersifat easy listening. Dan penonton mula menanyi bersama. Meriah!  Dan menutup segmen pertama, Iktiraf dendangan Nazrey Johani, Hafiz Hamidun, Varianz, Nur One dan Wildan.

Susunan muzik baru daripada pengarah muzik Azmee Abdul Manap @ Dakmie banyak membantu. Tampak dia tekun seakan seorang conductor memimpin para pemuzik. Sound System tajaan Nasyeed.Com dibawah seliaan Aji dan pasukannya bertungkus lumus memberikan yang terbaik pada malam itu. Walau ada lopong, namun mereka sangat cekap menutupnya!

Celoteh Pyan Saujana dan Jeff Hazamin memulakan segmen kedua.  The Wayfarers memulakan persembahan acapella, namun susunan vokal mereka cukup mantap. Al-Farabi Band pula mendendangkan sebuah instrumental, Searching The Truth, dengan muzik live yang padu serta aksi silat vokalisnya Nasaei yang seakan-akan seorang pejuang agama.

Salaam, supergroup nasyid yang menggabungkan Zaidi, Azwan, Fadzli dan Muaz membawakan nasyid Tamil, Oli Thevelium. Ada yang terpukau melihat mereka dapat membawakan lagu Tamil dengan lenggok bahasa yang terbaik sekali. Dendang Anak, kumpulan tradisional dari Terengganu membawakan lagu Wajah. Cuma kali ini mereka tampil dengan format band, bukan seperti selalunya menggunakan gendang dan rebana serta alatan tradisional. Aisyah pula, tampil dengan lagu Anak.

Segmen ketiga bermula. Dr Ibrahim membaca sajak bertajuk Sahabat dengan penuh penghayatan membuatkan penonton terdiam seketika. Ibarat sebuah reunion, Hijjaz, Inteam, Mestica (kesemuanya bekas artis HRSB) serta All-One mendendangkan Kau Sahabat Kau Teman. Sebaik selesai, Teman Sejati mengambil tempat oleh Brotherz, Izzat Mahadi dan Mirwana (ironinya, ala-reunion team nasyid Maahad  Hamadiah Kajang!). Sekali lagi suasana kembali meriah dengan nyanyian bersama para penonton.

Momentum kemeriah berterusan dengan lagu Marilah Berkasih Sayang daripada semua vokalis utama kumpulan nasyid. Di atas pentas, semua penasyid berkumpul semula, dan menyanyikan sebuah lagu baru bertajuk Zahirkan.

Acara penyampaian sumbangan mengambil tempat. Kami difahamkan, keseluruhan kutipan pada malam itu, baik dari penonton mahupun syarikat koporat dan persatuan berjumlah hampir RM50,000! Kesemua sumbangan diserahkan terus kepada wakil Persatuan Anak Yatim  Malaysia. Menutup persembahan, sebuah selawat dialunkan bersama-sama dengan semua yang hadir.

Sedikit sebanyak konsert tersebut memberi kesan mendalam, betapa eratnya ukhwah para penasyid menjayakan showcase terbabit. Rata-rata yang ditemui menyatakan puas dapat melihat kesemua penasyid bersatu hati menjayakan sebuah persembahan amal. Penuh emosi melihat kesemua penasyid bersalaman dan berpelukan serta mengucap tahniah sesama penasyid di belakang pentas sebaik tamat.

Jauh disudut hati kami sebagai media nasyid, ingin melihat lebih banyak lagi showcase yang menggabungkan semua penasyid. Ya, momentum akan eratnya ukhwah semua penasyid ini perlu diteruskan. MUNSYEED.COM

APA KATA ANDA?

Loading Facebook Comments ...
Loading Disqus Comments ...
comments
 
Leave a reply »

 

Leave a Response