0 comments

7 Vokalis Bakal Muncul Solo

by on August 18, 2012
 

Sekurang-kurangnya, ada 7 vokalis kumpulan nasyid terkenal bakal membuat penampilan solo melalui lagu single ataupun album. Kemunculan mereka sebagai penyanyi solo dilihat satu usaha positif yang bakal merancakkan lagi industri nasyid Malaysia.

Sebelum ini Nazrey Johani (Ex-Raihan) dan Hafiz Hamidun (Ex-UNIC) telah muncul dengan album solo masing-masing dan selesa bergelar artis solo berbanding berkumpulan. Untuk entri kali ini, kita akan lihat 7  vokalis kumpulan nasyid yang bakal muncul dengan lagu/album solo.

Ada artis nasyid yang bakal kekal menjadi artis solo dan ada yang masih berkumpulan cuma ingin tampil dengan sebuah lagu/album solo.

Azwan Ibrahim (Far East)

Azwan Ibrahim (Far East)
Penampilan solo Azwan Far East melalui album solo Munajat Kasih merupakan satu percubaan yang cukup menjadi. Album yang menggabungkan lagu, zikir dan qasidah ini benar-benar menyerlahkan kemantapan vokal Azwan. Azwan bagaimanapun masih kekal dengan kumpulan Far East dan beliau tidak berhajat untuk menjadi artis solo sebagai karier utama.

Halim Ahmad

Halim Ahmad (Devotees)
Beliau seorang artis yang sangat berbakat. Memulakan karier sebagai artis undangan UNIC, Halim kemudiannya menyertai kumpulan Devotees dan masih kekal hingga ke hari ini. Selain menyanyi, Halim juga terlibat dalam komposisi lagu, rakaman lagu dan urusan penerbitan album melalui syarikatnya, Neurotic Studio. Halim bakal muncul dengan album solonya yang berjudul Seumur Hidup.

Sebagai sebahagian daripada plan promosi, Halim telah memperdengarkan beberapa track lagu dari album solonya yang bakal terbit. Respon peminat? Cukup memberangsangkan! Sementara menantikan album solonya, Halim menerbitkan sebuah album Zikir Para Perindu Syurga yang sedang meletup di pasaran sekarang. Halim menegaskan, beliau masih ahli kumpulan Devotees dan dalam masa yang sama beliau juga adalah artis solo dengan nama komersial Halim Ahmad.

Zaidi Rustam

Zaidi Rustam (Wildan)
Zaidi Rustam merupakan ahli kumpulan Wildan paling lama dalam kumpulan tersebut. Beliau bersama Wildan sejak kumpulan ini ditubuhkan sehingga sekarang. Pernah menyertai kumpulan Salaam untuk projek lagu nasyid berbahasa India, kesetiaan Zaidi kepada Wildan tidak dapat dipersoalkan. Terbaru, beliau bakal muncul dengan sebuah lagu solo berjudul Penawar Hati. Lagu ciptaan Dak Mie, lirik oleh Zaidi sendiri. Mungkin ada sesuatu yang ingin disampaikan oleh Zaidi melalui lagu ini. Untuk baca lebih lanjut mengenai lagu solo Zaidi, boleh ke link ini: Zaidi Wildan Muncul Solo

Masriezan Varianz

Masriezan Masri (Varianz)
Vokalis Varianz ini memang mempunyai vokal yang mantap. Beliau sering menjuarai pertandingan nasyid dan lagu-lagu ketuhanan yang dianjurkan di universtinya, UIAM sewaktu beliau belajar disana. Melalui Varianz, Masriezan melangkah lebih jauh dengan menerbitkan sebuah album berjudul Dunia Baru. Diakui, lagu-lagu di dalam album tersebut sangat sedap ditambah dengan vokal harmoni anak didik Mirwana ini yang cukup mantap. Album ini masih dijual dan lagu-lagu dalam album tersebut masih dimainkan di corong radio tempatan. Terbaru, Masriezan tampil dengan sebuah lagu single berjudul Allah, Aku MencintaiMu. Lagu single tersebut mendapat respon yang cukup positif daripada para peminat. Untuk mendengar lagu tersebut, sila klik disini: Masriezan – ALLAH, Aku MencintaiMu.

Asyraf Yaacob

Asyraf Yaacob (Nur One)
Vokalis kumpulan Nur One ini juga dikatakan bakal tampil dengan lagu solo selepas Syawal tahun ini. Lagu demo telah diperdengarkan di laman Facebook baru-baru ini namun pihak kami gagal mengesan lagu demo tersebut di laman Facebook. Mungkin sudah dipadam. Apa pun, nantikan lagu solo Asyraf Nur One tidak lama lagi.

Fitri Haris – Album Zikir Terapi Munajat

Fitri Haris (Ex-UNIC)
Lama Fitri Haris menyepi. Khabarnya, beliau baru pulang setelah tamat pengajian beliau di luar negara. Bekas ahli kumpulan UNIC ini sedang sibuk mempromosikan album Zikir Terapi Munajat yang diterbitkan oleh Arteffects International milik Hafiz Hamidun. Difahamkan, akan datang Fitri akan muncul dengan sebuah album solo dibawah label Arteffects International atau mungkin dibawah label syarikatnya sendiri. Nantikan pengumuman lanjut daripada Fitri sendiri.

Izzat Mahadi

Izzat Mahadi (Ex-Mirwana)
Seorang lagi vokalis kumpulan yang memiliki vokal yang cukup merdu. Izzat Mahadi merupakan bekas vokalis kumpulan Mirwana. Beliau yang kini bergelar usahawan berjaya bakal tampil dengan sebuah album baru dibawah label Arteffects International. Meletakkan harapan pada single GarisanMu dan Aku Tanpa CintaMu (Versi Izzat Mahadi 2012), album Izzat Mahadi dijangka bakal mendapat tempat dikalangan para peminat industri nasyid tanahair. Nantikan kemunculan album Izzat hujung tahun ini.

-Munsyeed{Dot}Com

 

APA KATA ANDA?

Loading Facebook Comments ...
Loading Disqus Comments ...
Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response