0 comments

Rancangan Menarik Ramadan Ini Di TV3

by on June 27, 2013
 

Mulai 10 Julai bersamaan 1 Ramadan 1434 Hijrah, umat Islam bakal memulakan ibadah berpuasa sebagai melengkapi rukun Islam. Bukan itu sahaja, bulan Ramadan turut mencatat peristiwa penting dalam kalendar Islam di mana turunnya wahyu Allah s.w.t iaitu Al-Quran kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui malaikat Jibril dan berlakunya Perang Badar Al-Kubra yang merupakan perang paling singkat namun yang paling hebat dalam sejarah Islam. Itulah bingkisan yang menjadikan bulan Ramadan cukup istimewa buat umat Islam seluruh dunia.

Sempena menyambut kedatangan bulan Ramadan yang mulia ini, stesen televisyen ternama Malaysia, TV3 mempersembahkan tema ‘Seindah Ramadan’ menghimpunkan pelbagai program keagamaan dan kerohanian termasuklah majalah, dokumentari, variasi, drama dan telemovie buat sajian para penonton khasnya yang beragama Islam.

Menurut Sherina Nordin, Pengurus Besar Kumpulan TV3 & TV9, “Seindah Ramadan dipilih sebagai tema pada tahun ini bertujuan memberi inspirasi dan pemahaman yang lebih mendalam kepada para penonton menerusi sajian program-program TV3 sepanjang bulan ini. Ia membawa makna tiada bulan seindah bulan Ramadan kerana pada bulan baik dan mulia ini, ganjaran yang diberi berlipat kali ganda walau sekecil manapun kebaikan. Saat ini, syurga terbuka luas manakala neraka ditutup rapat agar umat Islam berlumba mendapatkan rahmat Ilahi.”

“Sebanyak 29 program menarik dari pelbagai genre bakal disajikan bersesuaian dengan citarasa penonton. Paling dinantikan pastinya program dokumentari popular, ‘Jejak Rasul’ yang kini memasuki musim ke-19, program muzikal ‘Akustika Ramadan’ yang memasuki musim ke-2, program realiti agama khas untuk kanak-kanak ‘Qari Junior’ yang juga memasuki musim ke-2, program masakan terbaru ‘Dapur Panas’ yang mempersembahkan gandingan istimewa Neelofa dan Nik Michael serta drama siri slot Samarinda ‘Ramadan Yang Hilang’ arahan sutradara Shahrulezad Mohameddin yang menampilkan dua tunggak utama Eira Syazira dan Syatilla Melvin. Seperti biasa, slot Cerekarama tidak ketinggalan untuk menyajikan drama yang sarat dengan pengajaran dan menyentuh emosi. Secara tidak langsung, penonton dapat menghayati keindahan Ramadan ini menerusi lima judul iaitu ‘Arman’, ‘Korban Kasih’, ‘Qarina’, ‘Nyamuk Tak Berdosa’ dan ‘Ooo…Tak Puasa, Ya!”, tambah Sherina.

Saban tahun, sudah menjadi tradisi buat TV3 setiap kali bulan Ramadan berkunjung, maka tidak lengkap tanpa program tanggungjawab sosial korporat. Namun, kali ini agak berbeza berbanding tahun-tahun lalu di mana TV3 bersama TV9 memperkenalkan ‘Bazaar Seindah Ramadan’. Bas Amal yang disertai oleh barisan personaliti, artis popular tanah air dan wargakerja TV3 serta TV9 akan mengembara ke dua lokasi iaitu di Johor Bahru dan Kuala Terengganu sempena jualan juadah berbuka puasa seperti Ayam Percik ‘OMG’, Bubur Lambuk ‘Ramadan Yang Hilang’, Kuih-Muih ‘Demi Dia’, Roti John ‘Rumah Kedai’, Air Katira dan Air Soya ‘Geng Kampung Pisang’. Istimewanya ‘Bazaar Seindah Ramadan’ ini, setiap menu dinamakan sempena program terbaik yang bakal bersiaran pada bulan Ramadan nanti. Hasil jualan akan disumbangkan ke rumah kebajikan di negeri-negeri tersebut.

Sementara itu berikut adalah program-program yang menjadi santapan penonton-penonton TV3 sepanjang bulan Ramadan (1434 Hijrah) ini:

MAJALAH & DOKUMENTARI

JEJAK RASUL 19: RAMADAN DI TIGA TANAH SUCI

Mulai 9 Julai, Setiap Hari, Jam 6.00 Petang

Sinopsis: Program yang paling dinantikan setiap kali menjengah bulan Ramadan dan menjadi satu kemestian sebelum berbuka puasa. Sempena musim ke-19 ini, Jejak Rasul dengan tema ‘Ramadan Di Tiga Tanah Suci’ akan membawa penonton merentasi negara Asia Barat iaitu Arab Saudi, Jordan dan Palestin. Bersama dua perantara, Mat Nasir Yusof dan Ahmad Fedtri serta kru Jejak Rasul 19 menikmati pengalaman sebelum ramadan di Makkah, ramadan di perantauan, bersahur di Tanah Haram, Makkah, menunaikan tarawih di Masjid Sahabat, Jordan, mengerjakan umrah di Makkah, berbuka puasa di halaman Badwi dan qiamullail di Gua Hira’ serta pelbagai lagi dengan mesej ramadan menyatukan ummah.

TADARUS AL-QURAN

Mulai 8 Julai, Setiap Hari, Jam 1.30 Pagi

Sinopsis: Bagi menghiasi keindahan Ramadan tahun ini, TV3 menyiarkan Tadarus Al-Quran yang diadakan di Yayasan Restu, Kuala Lumpur bersama pengacara, Anuar Hasim, Hafaz Ali, Muslim Ali dan Hanim Zaki.

KALAMULLAH

Mulai 10 Julai, Setiap Hari, Jam 8.55 Pagi & Setiap Isnin Hingga Khamis, Jam 2.55 Petang

Sinopsis: Bacaan surah berserta tafsirnya oleh peserta Qari Junior musim pertama, Fatimah Ahmad Zahid, Syakirah Shahfuddin dan Abd. Hadi Haris serta peserta Akademi Al-Quran, antaranya, Syarifah Khasif, Fakrulradhi, Tarmizi Abd Rahman, Ahmad Tirmizi Hj. Ali dan Mohd Shahriansyah yang membaca dan bertarannum. Setiap episod dengan bacaan surah terpilih membawa konsep ‘kisah dan tauladan’ yang boleh dijadikan pengajaran.

QARI JUNIOR 2

Mulai 8 Julai, Setiap Isnin hingga Khamis, Jam 6.30 Petang

Sinopsis: Buat kali kedua bersempena kehadiran Ramadan, TV3 sekali lagi tampil dengan sebuah program realiti berbentuk keagamaan untuk kanak-kanak, iaitu ‘QARI JUNIOR’. Dihoskan oleh Tajdid Hadhari, program ini akan mencungkil dan menggilap bakat kanak-kanak berusia 7-12 tahun dalam mengalunkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan sekaligus dapat menarik minat penonton untuk mendekatkan diri dengan Al-Quran.

INSAF 2

Mulai 11 Julai, Setiap Khamis, Jam 5.35 Petang

Sinopsis: INSAF, rancangan temu bual yang telus menyentuh nurani insan dengan mengangkat 4 kisah benar dari kehidupan masa lampau empat individu terpilih. Tampil penuh debaran, rancangan 30 minit, 4 episod ini diolah secara segar dengan rekaan set dan penataan cahaya menghidupkan sesi penceritaan dari temubual yang dihoskan oleh Hj. Ahmad Noor Sulaiman. Penonton akan mendengar, memahami dan mempelajari kisah hidup mereka dengan emosi yang menyentuh jiwa. Mereka mencari sesuatu yang hilang iaitu Agama dan Tuhan. Bagaimana kesemua mereka kembali INSAF? Dan menemui titik perubahan dalam kehidupan?

BERSAMAMU: PENUHI IMPIAN

Mulai 11 Julai, Setiap Khamis, Jam 9.30 Malam

Sinopsis: Bersamamu akan bertemu dengan individu yang mempunyai impian atau hajat terakhir dan mereka akan cuba untuk menjadikan hasrat tersebut realiti.

UNSUNG PLACES: ECHOES OF UMMAH

Mulai 13 Julai, Setiap Sabtu, Jam 7.30 Malam

Sinopsis: Sebuah program travelogue yang akan membawa penonton menelurusi kisar penduduk minoriti Islam di negara bukan Islam iaitu Laos, Kemboja, Vietnam dan Nepal. Rasai pengalaman untuk mengenali dan menyesuaikan diri dengan budaya dan gaya hidup masyarakat ini sebagai muslim, berhadapan dan mempejalari semua perbezaan, dari perkara yang kecil hingga perkara yang merbahaya bersama perantara, Fakrulradhi.

MADRASAH 2

Mulai 14 Julai, Setiap Ahad, Jam 7.00 Malam

Sinopsis: Madrasah kembali bagi musim kedua untuk meninjau usaha dan dakwah yang dilakukan bagi menyemarakkan budaya ilmu yang tiada penghujung. Jika pada musim pertama Madrasah meninjau sekolah pondok dan tahfiz di seluruh Malaysia, kali ini langkah lebih jauh diorak demi memberi perspektif yang pelbagai kepada penonton. Empat lokasi yang menjadi tumpuan ialah Kuala Selangor (Malaysia), Ponorogo (Indonesia), Krabi (Thailand) dan Sarajevo (Bosnia). Madrasah melihat bagaimana ada kelompok umat Islam yang tabah dan kreatif dalam menghidupkan roh sekolah agama menggunakan pelbagai pendekatan yang menarik, walaupun mengharungi dugaan yang mencabar. Madrasah 2 dihoskan oleh Ahmad Fedtri Yahya.

DRAMA SIRI

SAMARINDA: RAMADAN YANG HILANG (18 Episod)

Mulai 26 Jun, Setiap Isnin Hingga Rabu, Jam 10.00 Malam

Sinopsis: Mengisahkan konflik antara dua beradik, Zafirah dan Delisha apabila Delisha yang merupakan anak angkat kepada ibu bapa Zafirah menerima lebih perhatian dan kasih sayang sehingga Zafirah terasa disisihkan. Delisha yang sering didera secara emosi dan fizikal oleh bapa tirinya merupakan seorang kanak-kanak yang murung. Pelajarannya jauh ketinggalan kerana Delisha sering ponteng sekolah dan tidak serius dalam pembelajaran. Jauh berbeza dengan personaliti Delisha, Zafirah merupakan seorang kanak-kanak yang periang, bijak dan bahagia dengan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi oleh ibu bapanya, Zubir dan Saadiah. Hidup Zafirah berubah selepas Delisha dijadikan anak angkat oleh Zubir. Zubir sering mengingatkan Zafirah supaya melayan Delisha dengan baik dan menganggapnya sebagai adik kandung. Namun, sikap Delisha yang berlagak seperti budak sombong menyebabkan Zafirah sukar bertolak-ansur dengannya. Zafirah sering ditegur jika berlaku perselisihan faham antara Delisha dan Zafirah.

Pelakon: Eira Syazira, Syatilla Melvin, Zamarul Hisham, Zila Bakarin, Norhayati Taib, Alis Mariya, Melly Amalin, Arja Lee, Sherlie Merlis.

RUMAH KEDAI (15 Episod)

Mulai 8 Julai, Setiap Isnin Hingga Rabu, Jam 5.35 Petang

Sinopsis: Mak Wan Su dan Pak Cik Shaf merupakan pasangan yang mempunyai perwatakan yang berbeza namun saling melengkapi antara satu sama lain. Lantaran itu, mereka dapat membuka sebuah mini market yang serba lengkap dan diberikan kepercayaan pihak bank untuk mendapat bantuan perniagaan. Mak Wan Su dan Pak Cik Shaf dikurniakan tiga orang anak, Wan Sherina, Wan Shahila dan Ewan Zul yang juga mempunyai sifat bertentangan. Suatu hari, Mak Wan Su sibuk mencari orang baru untuk menyewa rumah yang kosong di bahagian atas mini marketnya. Mak Wan Su mahu orang yang sudah berkahwin menjadi penyewa supaya rumahnya tidak kotor manakala Pak Cik Shaf mempunyai pendapat berbeza, dia lebih gemar orang bujang. Ramai yang mahu menyewa tetapi semua ditolak oleh Mak Wan Su sehinggalah Mak Su mengadakan ujibakat untuk mencari penyewa. Apakah yang berlaku kemudian?

Pelakon: Didie Alias, Kaza, Nabil Ahmad, Iqram Dinzly, Miera Liyana, Nadiya Nissa, Rozita Che Wan, Talha Harith.

AKASIA: DEMI DIA (24 Episod)

Mulai 3 Julai, Setiap Isnin Hingga Khamis, Jam 7.00 Malam

Sinopsis: Zack merupakan seorang lelaki yang kaya namun tidak pandai berdikari. Perkahwinan Zack dengan Azura ditentang oleh Tan Sri Puteh (bapa Zack) kerana menganggap Zack tidak mampu menjadi khalifah dalam keluarga. Tan Sri Puteh terpaksa bersetuju namun dengan syarat Zack harus menghabiskan pelajarannya. Zack terpaksa akur. Atas arahan Tan Sri Puteh, Wanda (kakak tiri Zack) perlahan-lahan cuba memisahkan Zack dan Azura. Wanda mengupah Shiela untuk menjadi dalang perpisahan Zack dan Azura. Percintaan mereka diduga. Zack kemalangan dan memorinya bersama Azura hilang. Azura cuba mengembalikan ingatan Zack namun campur tangan Wanda dan Shiela memusnahkan segalanya. Azura kehilangan Zack. Sikap Mak Su (ibu saudara Azura) yang terlalu obses dengan wang menyebabkan Mak Su hampir menghancurkan anak saudaranya.

Pelakon: Zoey Rahman, Elfira Loy, Dynas Mokhtar, Amar Baharin, Usop Wilcha, Erma Fatima, Kishmar Johar, Niena Baharun, Leyla Krisya, Shasha Al-Khred, Geofrey Perrin William, Kamal Kamaruddin, Salleh Ahmad, Iellyas Fietrie.

AZALEA: HUJAN (20 Episod)

Mulai 8 Julai, Setiap Isnin Hingga Khamis, Jam 4.00 Petang

Sinopsis: Kehidupan Azura dan Azaril tidak seperti kanak-kanak biasa. Mereka tidak pergi ke sekolah dan mendapat wang untuk hidup dari mengumpul tin timah. Hujan yang berterusan telah menjadi rakan mereka sepanjang hayat. Ibu mereka, Maryam, tidak mampu untuk memberikan kehidupan yang baik kepada mereka berdua. Bapa mereka, Jalil, seorang kaki judi tegar dan kerap kali meminta wang dari Maryam untuk memuaskan nafsu ketagihannya. Oleh itu, kerana hutang Jalil, Azura dan Azaril dipisahkan antara satu sama lain. Pemisahan ini telah mengubah kehidupan Azura dan Azaril. Azura melarikan diri daripada Jalil dan tinggal bersama Jahara. Manakala, Azaril meneruskan hidup dengan harapan akan bertemu dengan kakaknya suatu hari nanti.

Pelakon: Shahrul Rizwan, Miera Liyana, Aidil Aziz, Azza Suaymi, Kishmar Johar, Catriona Ross, Yuss Waisar, Zila Bakarin.

DRAMA KOMEDI

OMG (OHSEM MUSIC GROUP) (4 Episod)

Mulai 13 Julai, Setiap Sabtu, Jam 9.00 Malam

Sinopsis: Mengisahkan tentang empat orang anak muda, Teng (vokalis), Bo (gitar), Kem (bass) dan Bai (drum) yang berbakat dalam muzik di Kampung London. Mereka menamakan band mereka ‘Kumpulan OMG (Ohsem Music Group)’. Kumpulan OMG popular kerana keunikan dan bakat mereka yang boleh menyampaikan lagu Inggeris dengan baik serta persembahan yang energetik tetapi sebenarnya mereka tidak reti bercakap dalam bahasa Inggeris. Mereka sering menjadi jemputan kenduri kahwin dan pernah menjuarai pertandingan ‘Battle of the Band’ di kampung mereka dua tahun berturut-turut.

Pelakon: Black, Anas Ridzuan, Amir Jahari, Arash Mohd., Amyza Aznan, Elfaeza Ul-Haq.

AYAM (4 Episod)

Mulai 14 Julai, Setiap Ahad, Jam 7.30 Malam

Sinopsis: Berkisarkan tentang dua adik-beradik, Aidil dan Fitri yang mengalami hubungan tegang setelah kehilangan ’ayam’ yang sepatutnya menjadi hidangan utama sempena Hari Raya. Saksikan bagaimana dua beradik ini kembali bersatu demi mencari ayam masing-masing.

Pelakon: Naim Daniel, Fazley Daniel Ali, Eyka Farhana, Afik Shafik, Fazlina Ahmad Daud, Ilya Buang, Sharid Kunal, Ku Haris, Haidir.

GENG KAMPUNG PISANG (4 Episod)

Mulai 14 Julai, Setiap Ahad, Jam 10.00 Malam

Sinopsis: Permusuhan di antara AG dengan Hairi bermula sejak mereka masih kecil dan berlarutan sehingga kedua-duanya dewasa. Kedua-duanya menjadi ketua bagi kumpulan masing-masing. Di sekolah, kedua-dua kumpulan ini dikenali sebagai geng buli. Kenakalan dua kanak-kanak ini memang memeningkan guru-guru. Murid-murid lain takut akan kumpulan ini terutama FBI, seorang kanak-kanak yang baik dan pendiam, tetapi kuat menangis. Kerana sifatnya ini, FBI selalu dibuli oleh kedua-duanya. Bagaimanapun, Sari Yanti selalu membela FBI dan menyelamatkannya. Bapa Sari Yanti, Cikgu Deraman, mengajar di sekolah tersebut. Disebabkan itu, Sari Yanti ada imuniti daripada diganggu geng buli tadi. Sari Yanti dan FBI menjadi sahabat baik. FBI jatuh cinta terhadap Sari Yanti dan berhasrat untuk berkahwin dengannya. Dengan berani, FBI berjumpa Cikgu Deraman untuk melamar Sari Yanti. Cikgu Deraman hanya ketawa mendengar lamaran kanak-kanak berusia sepuluh tahun. Tawa Cikgu Deraman menjadi cabaran kepada FBI untuk memiliki Sari Yanti suatu hari nanti.

Pelakon: Sari Yanti, AG, FBI, Kieran, Ikhwan, Hairi Safwan.

VARIASI

AKUSTIKA RAMADAN 2

Mulai 9 Julai, Setiap Selasa, Jam 11.00 Malam

Sinopsis: Bersama hos Zhafran Zainuldin dan Tajdid Hadhari, Akustika Ramadan 2 menyajikan hiburan santai secara akustik lagu-lagu popular tanah air serta lagu ketuhanan yang dibawakan khas oleh Azlan & The Typrewriter, Amir Jahari, Najwa Latif, Black dan RJ. Tidak lupa juga segmen ilmiah bersama dengan Ustaz Haslin, Ustaz Hanafiah Abd. Malek dan Habib Najmuddin membincangkan topik berkaitan Ramadan. Gelak ketawa bersama Kumpulan Jambu dan Nabil. Dimeriahkan lagi dengan kehadiran selebriti tanah air, Nelydia Senrose, Qi Razali, Adi Putra, Angah dan Ashraf Muslim.

KIAS RAMADAN 3

Mulai 10 Julai, Setiap Rabu, Jam 11.00 Malam

Sinopsis: Drama mini ini memaparkan lapan kisah yang berlaku dalam kehidupan seharian sepanjang bulan Ramadan untuk dijadikan pengajaran dan teladan buat para penonton. Antaranya, ‘CC…Siapa?’, ‘Penat’, ‘Resipi’, ‘OKU Iman’, ‘Rezeki Ramadan Di Parkir Jalan’, ‘Kalori’ dan ‘Jemaah’.

Pelakon: Eric Fizu, Anith Aqilah, Anne Abdullah, Shafiqah Fauzi, Nas-T, Eliza Mustafa, Azhan Rani, Khaty Fauziah, Almy Nadia, Zalif Sidek, Munir, Fifi Natasya, Datuk Tarmimi Saregar, Maria Tunku Sabri dan ramai lagi.

ZIKIR HATI

Mulai 10 Julai, Setiap Rabu, Jam 11.30 Malam

Sinopsis: Paparan kisah empat orang anak muda iaitu Adam VIP, Johan As’ari, Diana Amir dan Izzue Islam, yang mencari pengertian pelbagai jenis penyakit ‘hati’ yang sentiasa membelenggu kehidupan seharian. Mereka berkongsi pengalaman bersama para ilmuwan yang berwibawa, Ustaz Zahazan, Ustaz Ghazali Ibrahim, Ustazah Asni Mansor dan Ustaz Ahmad Dasuki.

SEMBANG SAHUR

Mulai 12 Julai, Setiap Jumaat & Sabtu, Jam 12.30 Tengah Malam (Ulangan Sabtu & Ahad, Jam 5.30 Petang)

Sinopsis: Sebuah program bual bicara terbaru yang menampilkan pengacara, Faizal Ismail, AG dan Fiza Sabjahan yang bakal membincang pelbagai topik gaya hidup sepanjang bulan Ramadan ini. Dari isu-isu moral, kisah peribadi selebriti, resipi dan tips kesihatan bersama Chef Kamarul dan Kevin Zahari, Sembang Sahur direka untuk menjadi teman ketika penonton sedang bersahur. Terdapat segmen seperti Kids On Ramadan, Dramedy, Sahur With Chef, Terawih Di Mana?, Today’s Reminder dan Singgah Sahur yang meneruskan kesinambungan dari program Singgah Sahur edisi lalu. Kali ini, segmen Singgah Sahur akan mengembara ke 8 lokasi, antaranya, Lahad Datu, Muar, Puchong dan Bangi sebagai satu lagi inisiatif tanggungjawab sosial korporat.

MASAKAN

INI CARANYA

Mulai 15 Julai, Setiap Isnin, Jam 5.00 Petang

Sinopsis: Chef Ismail akan mengajar mereka yang memerlukan bantuan dalam menyediakan juadah berbuka puasa, tidak kira sama ada bersama keluarga atau sahabat hadai. Chef Ismail akan membawa mereka ke pasaraya untuk membeli barangan yang diperlukan atau menggunakan apa sahaja yang ada di dapur seterusnya berbuka puasa bersama mereka.

SELERA

Mulai 13 Julai, Setiap Sabtu, Jam 9.00 Pagi

Sinopsis: Rancangan masakan yang menampilkan Lya Uzir sebagai pengacara di mana beliau bakal berkongsi pelbagai resipi khas sempena Ramadan, antaranya, manisan dan juga biskut. Selain itu, Lya Uzir turut berkongsi tips dalam menyediakan juadah tersebut.

SARAPAN

Mulai 14 Julai, Setiap Ahad, Jam 9.00 Pagi

Sinopsis: Bersama hos Hisham Hamzah melihat demo makanan dan gaya hidup pada bulan puasa.

MOREH

Mulai 14 Julai, Setiap Ahad, Jam 5.00 Petang

Sinopsis: Melihat kembali aktiviti-aktiviti tradisional dan keunikan masyarakat yang hanya boleh didapati pada bulan Ramadan bersama hos, Danny Anwa.

DAPUR PANAS

Mulai 14 Julai, Setiap Ahad, Jam 6.30 Petang

Sinopsis: Bersama pengacara popular, Neelofa dan Chef Nik Michael di mana mereka akan menyediakan masakan untuk berbuka puasa kepada parajurit-parajurit tanah air seperti Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di bulan Ramadan.

TELEMOVIE

CEREKARAMA: ARMAN

13 Julai (Sabtu), Jam 10.00 Malam

Sinopsis: Arman pergi ke bandar untuk mencari pekerjaan bagi menampung perbelanjaan ubatan buat ibunya yang sedang sakit. Dia bekerja di pasaraya dan berjaya mengumpul sebanyak RM2,000 untuk perbelanjaan ibunya. Bagaimanapun, dia dirompak dan keadaan menjadikan lebih buruk apabila geng Hamdan mencarinya. Bukan itu sahaja, Arman juga diuji selepas kekasihnya, Siti, meninggal dunia kerana kemalangan. Apakah yang bakal berlaku seterusnya?

Pelakon: Beto Kusyairi, Uqasha Senrose, Sofi Jikan, Azhan Rani, Kaza, Fadhilah Mansor.

CEREKARAMA: KORBAN KASIH

20 Julai (Sabtu), Jam 10.00 Malam

Sinopsis: Aisah dan Yana merupakan sahabat karib sejak kanak-kanak, namun, mereka terputus hubungan apabila ibu bapa Yana meninggal dunia. 5 tahun kemudian, Aisah berkahwin dengan Zaki dan tinggal bersama keluarga Zaki. Aisah terkejut apabila melihat kelibat Yana di rumah tersebut sebagai orang gaji. Adik Zaki iaitu Hakim telah merogol Yana ketika dia mabuk. Aisah membuat laporan polis. Disebabkan itu, ibu Zaki memaksa Zaki untuk menceraikan Aisah. Akhirnya, setelah menerima begitu banyak tekanan daripada ibunya, Zaki membuat keputusan untuk menceraikan Aisah dengan ‘Talak Tiga’. Bagaimanapun, Zaki dan Aisah masih mencintai antara satu sama lain dan merancang untuk merujuk. Zaki memperkenalkan rakannya, Afendi kepada Aisah sebagai ‘Cina Buta’. Keadaan menjadi tidak seperti dirancang apabila secara perlahan-lahan, Afendi dan Aisah saling jatuh cinta. Apakah pengakhiran kisah Zaki, Aisah dan Afendi ini?

Pelakon: Aiman Hakim Ridza, Intan Ladyana, Puteri Chichi, Normah Damanhuri, Omar Mokhtar.

QARINA

26 Julai (Jumaat), Jam 10.00 Malam

Sinopsis: Qarina, anak perempuan Azimal dan Rozita yang berusia 11 tahun. Beliau merupakan anak bongsu daripada tiga beradik, Daniel dan Elfira. Ibu bapanya terlalu materialistik dan gemar menunjuk-nunjuk apa yang dimiliki mereka supaya orang ramai mengetahui mereka kaya. Satu hari, Qarina bertemu dengan Ustaz Adib, seorang yang pakar dalam seni khat Bahasa Arab. Dia mula mempunyai minat ke arah menulis dalam Jawi dan membaca Al-Quran. Walau bagaimanapun, ibu bapanya yang tidak mengamalkan ajaran Islam menentang sekeras-kerasnya minat terbaru Qarina ini.

Pelakon: Ashraf Muslim, Adik Farah Nadia, Emelda Rosmila, Faizal Hussain, Erynne Erynna, Airil Fesol.

CEREKARAMA: NYAMUK TAK BERDOSA

27 Julai (Sabtu), Jam 10.00 Malam

Sinopsis: Sarimah dan Bahrin telah berkahwin sejak 16 tahun yang lalu dan dikurniakan dua cahaya mata, Atiqah dan Afiq. Sarimah bekerja sebagai tukang cuci manakala suaminya, Bahrin, bekerja sebagai pengawal keselamatan. Sikap Bahrin mula berubah ketika Sarimah mula bekerja. Dia telah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai suami dan bapa anak-anak mereka. Dia menjadi seorang yang panas baran, seringkali memukul dan mengugut Sarimah. Sebaliknya, Sarimah terus setia terhadap suaminya dan tidak pernah sedetik pun terfikir untuk bercerai demi masa depan anak-anaknya.

Pelakon: Kamal Adli, Zarina Zainoordin, Puteri Balqish, Adik Danish Zaqwan, Raja Azmi, Dian P. Ramlee.

CEREKARAMA: OOO…TAK PUASA, YA!

3 Ogos (Sabtu), Jam 10.00 Malam

Sinopsis: Imad, Naim dan Harris merupakan adik-beradik yang tinggal di kampung dan menjadikan menangkap burung sebagai hobi. Tiga beradik ini sangat nakal dan sering menimbulkan masalah terhadap penduduk kampung. Imad mempunyai kakak bernama Yati. Cikgu Kamal menghukum Imad kerana tidak menyiapkan kerja rumah. Satu hari, Imad ternampak kakaknya bersama Cikgu Kamal seterusnya membuatkan Imad menjadi marah. Imad masih menyimpan dendam terhadap Cikgu Kamal, dia nekad mahu memalukan Cikgu Kamal di hadapan semua orang di sekolah. Apakah yang akan berlaku apabila Imad dewasa nanti?

Pelakon: Nad Zainal, Adik Danish Zaqwan, Che Kem, Fezrul Khan, Ezany, Marisa Yasmin.

– Munsyeed Dot Com

APA KATA ANDA?

Loading Facebook Comments ...
Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response