0 comments

Inteam Records Nafi Langgar Kontrak Dengan Ustaz Akhil Hayy

by on November 30, 2013
 

Inteam Records Nafi Langgar Kontrak Dengan Akhil Hayy

Lama tidak mendengar berita mengenai artis dan pendakwah terkenal, Ustaz Akhil Hayy. Figura yang pernah mencetuskan fenomena luarbiasa dalam industri hiburan Islam ini pernah menjadi tumpuan lensa media saban hari. Kini, beliau dilihat lebih selesa dengan kehidupan yang dijalaninya serta aktif menjalankan bisnes yang diusahakan bersama rakan karibnya.

Terbaru, kami ada menerima khabar yang mengatakan kontrak diantara Ustaz Akhil Hayy dan Inteam Records Sdn Bhd (IRSB) telah tamat. Tidak berhenti setakat itu, dikhabarkan kontrak tersebut tamat dalam keadaan IRSB masih ‘berhutang’ sebuah album dengan Ustaz Akhil Hayy.

Enggan mempercayai secara semberono, kami segera berjumpa dengan wakil IRSB untuk bertanyakan kesahihan khabar yang kami terima ini. Alhamdulillah, niat kami dipermudahkan apabila kami bertemu salah seorang pengarah syarikat IRSB, Mohd Syahril Ab Khalid atau lebih mesra disapa Syah Inteam.

Syah Inteam dan Irfan Makki

Syah Inteam dan Irfan Makki

Kontrak Ustaz Akhil Hayy dan Inteam Records Sudah Tamat

Dengan tenang, Syah menjelaskan yang kontrak diantara IRSB dan Ustaz Akhil sebenarnya telah tamat sejak sekitar 2010. Menurut Syah, semenjak kontrak tamat, IRSB ada menunjukkan minat untuk menyambung kontrak dengan Ustaz Akhil Hayy menerusi penghasilan album Bacaan Al-Quran atau Zikir.

“Kontrak Ustaz Akhil Hayy dengan Inteam Records (IRSB) sudah tamat sekitar 2010. Kita ada plan untuk sambung kontrak dengan beliau. Based on project macam bacaan Al-Quran atau zikir. Tetapi benda tersebut sudah lama tertangguh dan tiada follow up.” jelas Syahril yang merupakan salah seorang vokalis kumpulan Inteam.

“Faktor utama kerana Ustaz Akhil sibuk dan kita agak susah untuk menghubungi dan menjejakinya. Kita tidak tahu jadual ustaz. Tambahan pula, ustaz kerap bertukar nombor telefon.”

IRSB Tidak Melanggari Kontrak Dengan Ustaz Akhil Hayy

Mengulas mengenai isu IRSB ‘berhutang’ sebuah album dengan Ustaz Akhil hayy sehingga kontrak tamat, Syah menjelaskan pasaran album fizikal yang tidak menentu menjadi punca semua syarikat produksi lebih berhati-hati.

“Kita ada bertanya dan rujuk pihak jualan dan pemasaran tentang apa yang pasaran mahukan, produk yang macam mana, artis yang mana dan sebagainya. Dalam keadaan pasaran yang tidak menentu, agak sukar untuk kita merealisasikan hasrat semua artis untuk terbitkan album. Kita cuba sedaya yang mampu untuk membantu. Buat masa ini, IRSB lebih selesa untuk buat kerjasama mengedar album yang diterbitkan oleh artis sendiri. Sebagai contoh, kita lihat Daqmie. Beliau hasilkan karya yang bermutu. Kita buat kerjasama dari segi pengedaran. Walaubagaimanapun, album masih diterbitkan oleh Daqmie sendiri.”

Ujar Syah lagi, “Ustaz Akhil ada buat permintaan untuk buat album guna muzik string, orkestra. Benda ini bagus. Kalau content mantap, boleh memenuhi kehendak pasaran, kita tiada masalah. Cuma kami tak tahu mana silapnya, perkara tersebut terhenti dan tiada follow up. Dalam perbincangan-perbincangan selepas itu, perkara ini tidak lagi disebut.”

“Dari segi investment, kita agak berhati-hati juga. Kita juga agak memilih. Dalam masa yang sama, kita cuba membantu mana yang termampu.”

Beberapa Lagu Baru Sudah Dirakam

“Sebenarnya, untuk album baru yang dirancang sebelum ini, ada beberapa lagu yang sudah dirakamkan. Kita ada release lagu-lagu ini dalam album kompilasi dan sebagainya. Cuma ada satu lagu yang masih belum release. Lagu tersebut merupakan ciptaan isteri beliau sendiri kalau tidak silap.” kata Syah.

Ketika ditanya apakah status lagu ciptaan Waheeda yang masih belum diterbitkan lagi dan adakah Ustaz boleh terbitkan sendiri atau ianya menjadi milik IRSB?

Syah Inteam menjawab, “Lagu tersebut dirakamkan oleh IRSB. Jika payment sudah dijelaskan, ini bermakna lagu tersebut milik IRSB. Cuma, memandangkan komposer lagu tersebut ialah isteri ustaz sendiri, jadi ustaz boleh rakamkan semula lagu ini dengan susunan muzik yang berbeza. Kita tidak ada masalah. Malah kita sentiasa sokong apa sahaja usaha murni yang dibuat oleh rakan artis termasuk Ustaz Akhil sendiri.”

Tumpuan Syarikat Rakaman

Berdasarkan maklumat akhir yang kami terima, Ustaz Ahil Hayy kini sibuk dengan bisnes dan beliau juga bertindak memimpin jemaah Malaysia untuk mengerjakan Umrah di Tanah Suci.

Selepas mengetahui kedudukan Ustaz Akhil Hayy yang sudah tamat kontrak dengan IRSB, pasti ada produksi tempatan yang akan cuba melamar Ustaz Akhil Hayy untuk bernaung dibawah label mereka. Atau mungkin Ustaz Akhil kini lebih selesa menguruskan rangkaian bisnesnya dan tidak tertumpu pada karier seni? Hanya Ustaz Akhil yang mempunyai jawapannya.

APA KATA ANDA?

Loading Facebook Comments ...
Loading Disqus Comments ...
Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response