0 comments

Hafiz Juara Pencetus Ummah Musim Pertama

by on January 9, 2014
 

Setelah 8 minggu berentap di pentas Mimbar Pencetus Ummah, akhirnya undian penonton dan juga para juri berpihak kepada PU Hafiz apabila beliau telah dinobatkan secara rasminya sebagai juara Pencetus Ummah musim pertama. Keputusan tersebut telah diumumkan oleh pengacara program Pencetus Ummah, Dr. Ridhuan Tee Abdullah di penghujung Mimbar Akhir Pencetus Ummah.

Pencetus Ummah Hafiz atau nama sebenarnya Muhammad Hafiz Mohd. Haneefa tampil mempersembahkan tugasan yang diberikan oleh Ustaz Haslin Baharim bertajuk “Untung Dunia, Untung Akhirat” disusuli soalan daripada Dato’ Ramli MS berkenaan hukum menggunakan alatan muzik bertali.

Selain penyampaian tazkirah daripada para finalis, Mimbar Pencetus Ummah tampil dengan kejutan apabila pengacara program, Dr. Ridhuan Tee Abdullah buat pertama kalinya telah diberikan tugasan untuk menyampaikan tazkirah bertajuk “Ibu” disusuli soalan daripada pelakon tanahair, Adam Corrie. Bagi menyempurnakan tugasan ini, Fahrin Ahmad telah diberikan kepercayaan untuk menggantikan Dr. Ridhuan selaku pengacara bersama di malam yang penuh fenomena ini. Turut menyerikan lagi program Pencetus Ummah di minggu terakhir adalah persembahan daripada artis nasyid tanahair yang menggabungkan Nazrey Johani, Hijjaz dan juga Far East sambil diiringi muzik akustik serta iringan gendang daripada Art on Beat Drum Circle.

Juara Pencetus Ummah, Hafiz membawa pulang hadiah berupa sebuah trofi, wang tunai bernilai RM 50,000 dan sebuah kereta Toyota Prius C Hybrid manakala naib juara, Pencetus Ummah Shahul membawa pulang trofi dan wang tunai berjumlah RM 30,000. Pencetus Ummah Yeop dan Rahmat pula masing-masing membawa pulang hadiah saguhati berupa wang tunai berjumlah RM 10,000 dan juga trofi.

Bertempat di Dewan Konvensyen, Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Bandar Seri Putra, Kajang, Selangor, program realiti Pencetus Ummah akhirnya melabuhkan tirai selepas 8 minggu ke udara menerusi saluran Astro Oasis dan Maya HD. Kemaskini Mimbar Akhir juga bersiaran secara langsung melalui paltform Live Blogging di laman Munsyeed Dot Com dan FB Munsyeed Corner malam tadi.

Syabas & tahniah diucapkan kepada semua finalis Pencetus Ummah. Semoga segala pengalaman dan ilmu yang telah dipelajari.

Tahniah juga diucapkan kepada seluruh warga kerja Astro dan kru produksi Pencetus Ummah yang telah berjaya mencipta fenomena baru selepas fenomena TSUMAWI di AF3. Terbukti bahawa kesungguhan di dalam melakukan kebaikan membuahkan hasil yang luar biasa.

– Munsyeed Dot Com

Gambar: FB Pencetus Ummah

APA KATA ANDA?

Loading Facebook Comments ...
Loading Disqus Comments ...
Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response