0 comments

Farid Sanullah Tidak Kisah Dibanding Dengan Maher Zain

by on June 11, 2014
 

Bukan mudah untuk mencipta nama sebagai anak seni di Malaysia. Bukan sedikit pengorbanan yang perlu dilakukan untuk berjaya. Namun, bagi jejaka kacak dari Australia ini, penantian dan pengorbanannya selama ini sudah mula menampakkan hasil apabila lagu-lagunya berjaya menarik perhatian peminat industri muzik Malaysia.

Farid Sanullah, 23 tahun, merupakan penyanyi lagu hits Don’t Forget Allah yang acapkali berkumandang di radio-radio tempatan. Sebagai artis baru, langkah Farid dilihat begitu tersusun setelah dilamar oleh Inteam Records yang bertanggungjawab menyusun plan promosi album sulung Farid di Malaysia.

5,000 Unit Sudah Terjual Sejak Hujung April 2014

Ketika di majlis pelancaran album sulung Farid Sanullah berjudul Don’t Forget Allah, pihak pengurusan Inteam Records telah mengumumkan sebanyak 5,000 unit CD Farid telah berjaya dijual semenjak ia mula berada di pasaran penghujung April 2014. Ini merupakan satu pencapaian yang cukup memberangsangkan bagi seorang artis baru seperti farid. Namun, kejayaan itu tidak sedikit pun membuatkan Farid lupa diri malah Farid mesra menyantuni para media dan hadirin yang hadir di majlis pelancaran album sulungnya itu.

Tidak Kisah Dibandingkan Dengan Maher Zain

Pada majlis tersebut, Farid telah ditanya mengenai kecenderungan peminat untuk membandingkan beliau dengan penyanyi antarabangsa dari Sweeden, Maher Zain.

Sambil tersenyum, Farid bercerita, “Sewaktu kali pertama lagu Don’t Forget Allah disiarkan di radio, saya mendapat respon yang bertanya adakah lagu ini dinyanyikan oleh Maher Zain? Pada waktu itu, saya tidak tahu untuk menggambarkan perasaan saya kerana ia satu penghormatan buat saya apabila lagu saya dikaitkan dengan penyanyi hebat seperti Maher Zain.”

Tambah Farid lagi, beliau tidak ada masalah jika ada peminat yang membanding-bandingkan beliau dengan Maher Zain kerana bagi Farid, setiap orang mempunyai pendapat yang tersendiri dan beliau menghormati setiap pendapat tersebut.

“Saya ok. Saya tidak rasa saya terlalu bagus dan saya juga tidak rasa saya teruk. Saya serahkan kepada pendengar untuk menilai album saya. Setiap orang ada pendapat mereka. Ada yang suka, ada yang sebaliknya. Saya tidak ada masalah jika ada orang mahu bandingkan saya (dengan Maher Zain). Sebenarnya, saya ok dan saya agak terbuka tentang itu.”

Tidak Terbeban Dengan Imej Penyanyi Lagu Ketuhanan

Ketika ditanya adakah beliau bersedia menjaga imej sebagai penyanyi lagu ketuhanan, Farid menjelaskan yang beliau seorang yang bersederhana dan tidak mudah terpengaruh dengan perkara negatif.

“Saya rasa (imej penyanyi lagu ketuhanan) tidak terlalu berat. Saya seorang yang simple. Saya tidak mudah terpengaruh dengan perkara yang negatif. Saya tidak nampak ia sesuatu yang berat sebenarnya.”

“Sebagai contoh, saya mempunyai ramai kawan. Ada di antara mereka yang pernah mengajak saya kearah keburukan tetapi saya tidak mudah terpengaruh. Saya ada pendirian saya sendiri. InshaAllah, mudah-mudahan.” ulas beliau.

Bercakap mengenai album sulungnya, Farid kelihatan agak teruja dengan respon pendengar yang rata-rata memberi respon positif terhadap album sulungnya.

Farid menjelaskan, beliau mengambil masa yang agak lama untuk tampil dengan album pertamanya kerana ingin menjaga kualiti dan memastikan segalanya yang terbaik untuk album pertamanya ini.

“Banyak perkara berlaku. Tetapi ayah saya selalu kata ia perkara normal dan tidak perlu terburu-buru. Kalau album saya siap awal, belum tentu saya akan bertemu dengan Inteam Records. Mungkin saya dengan syarikat lain. Alhamdulillah, ia terbit pada masa yang tepat dan Inteam Records banyak membantu saya merealisasikannya.” Ujar Farid.

Don’t Forget Allah Versi Melayu

Pihak kami difahamkan, selepas kejayaan single sulung Farid berjudul Don’t Forget Allah, Farid akan muncul dengan lagu tersebut untuk versi Bahasa Melayu.

Farid akui cabaran untuk membawa lagu ini di dalam Bahasa Melayu agak mencabar tetapi beliau dapat hadapinya dengan baik.

“Saya tiada masalah untuk hafal lagu dalam Bahasa Melayu. Sebelum ini saya ada belajar beberapa bahasa. Untuk Bahasa Melayu sedikit mencabar tetapi saya dapat belajar dan hafal dengan baik.”

“Lirik Bahasa Melayu Don’t Forget Allah telah dihasilkan oleh Frizdan. Beliau juga yang bertanggungjawab menterjemah lagu Maher Zain, Insha Allah ke Bahasa Melayu.” Kata beliau lagi.

Ingin dengar lagu Don’t Forget Allah versi Bahasa Melayu? Nantikan kemunculannya tidak lama lagi.

– Munsyeed Dot Com

APA KATA ANDA?

Loading Facebook Comments ...
Loading Disqus Comments ...
Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response