0 comments

Dokumen Tersebar, Artis Awakening Records Dibayangi Penggantungan

by on February 24, 2015
 

Munsyid yang juga merupakan aktivis masyarakat, Hamza Namira, yang popular dengan lagu-lagu bermesej kritis dalam isu-isu kemasyarakatan pasca revolusi Mesir kini dibayangi dengan tindakan penggantungan keahlian oleh persatuan karyawan di Mesir.

Menerusi helaian dokumen-dokumen rasmi persatuan yang tertiris di laman media sosial Facebook minggu lalu, persatuan tersebut menjelaskan bahawa keputusan penggantungan keahlian Hamza dibuat selepas organisasi itu mendapati mesej yang cuba disampaikan oleh beliau menerusi karya lagu ciptaannya mengandungi unsur-unsur yang berbaur hasutan terhadap kerajaan termasuk badan keselamatan. Turut dijelaskan di dalam dokumen yang berasingan, penggantungan keahlian Hamza adalah selari dengan usaha kerajaan yang sedaya upaya ingin menghalang sebarang bentuk kegiatan ekstremis di negara terbabit. Hal ini termasuk penggantungan karya-karya beliau yang dikaitkan sebagai sokongan terhadap kegiatan esktrimis.

Beberapa hari sebelum dokumen-dokumen tersebut tersebar ke pengetahuan umum, pengerusi persatuan karyawan Mesir, Mostafa Kamel, terlebih dahulu telah menafikan sebarang khabar berkaitan penggantungan ini termasuk larangan membuat persembahan di negara itu yang dikenakan terhadap Hamza menerusi kenyataannya di laman Akhbarak pada Selasa minggu lalu. Walau bagaimanapun selepas pendedahan dokumen tersebut, Mostafa di dalam kenyataannya semalam mendakwa terdapat beberapa ahli persatuan telah terlibat memalsukan tandatangan beliau yang terkandung pada dokumen terbabit.

“Setiausaha persatuan telah mengeluarkan kenyataan dengan menggunakan nama saya tanpa sebarang persetujuan”, tulis Mostafa kepada wartawan Ahram. Tambahnya lagi, beliau akan menyelesaikan isu penggantungan Hamza sebaik sahaja pulih dari pembedahan mata yang dijalani baru-baru ini.

“Keadaan ini sudah dijangka dari awal”

Itu reaksi yang diberikan oleh Ketua Editor Munsyeed International, Dar-Sandur, mengenai isu ini. Melihat kepada pengaruh yang besar serta penerimaan yang positif dikalangan majoriti rakyat Mesir terhadap lagu-lagu beliau, situasi berbentuk ‘ancaman awal’ seperti ini adalah sesuatu yang sudah dijangka. Turut berkongsi pandangan yang sama ialah artis nasyid solo yang juga merupakan personaliti TV Al-Hijrah, Mu’adz Dzulkefly. Ketika dihubungi, beliau menyuarakan rasa sedih dengan situasi yang berlaku. Selaku aktivis masyarakat, cabaran serta halangan seperti ini adalah tradisi yang dilalui setiap pejuang aliran seni seperti Hamza.

Dalam kemaskini status di Facebook, Hamza kelihatan tenang dan tidak gopoh memberikan kenyataan balas setelah menerima berita ini. Ketika status tersebut ditulis, beliau masih lagi belum dipanggil atau dimaklumkan secara rasmi oleh pihak persatuan mengenai isu ini.

“Jumpa anda di konsert yang seterusnya”, tambah beliau lagi.

This slideshow requires JavaScript.

Pada penghujung tahun lalu, karya yang dihasilkan oleh Hamza Namira telah diharamkan siarannya di seluruh stesen radio tempatan. Pengumuman itu telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa 3 minggu sebelum album terbaru Hamza berjudul “Esmaani” mula memasuki pasaran Mesir. Walau bagaimanapun arahan pengharaman tersebut tidak terpakai di stesen radio swasta.

Tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Awakening Records mengenai isu berkaitan sehingga hari ini.

– Munsyeed

APA KATA ANDA?

Loading Facebook Comments ...
Loading Disqus Comments ...
Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response