23 comments

Siti Nordiana Tunaikan Hasrat Hafiz Hamidun

by on June 17, 2015
 

Siti Nordiana buat album nasyid?

Itu persoalan pertama yang terbit di dalam fikiran ketika mula mendapat jemputan ke sesi pra-dengar album terbaru Siti Nordiana. Setelah sekian lama tidak muncul dengan sebarang album, penyanyi yang terkenal dengan lagu-lagu pop dan tradisional ini kini tampil dengan sebuah album baru bercorak kerohanian berjudul “Anakku Sayang”.

Berbeza dengan album-album terdahulu, Anakku Sayang menampilkan lagu-lagu berbentuk positif dan kekeluargaan menerusi 8 buah track lagu. Antara lagu yang terkandung di dalam album ini ialah Asmaul Husna, Anakku Sayang, Hati Ibu dan Tidurlah. Selain itu, Siti Nordiana juga turut menyanyikan semula sebuah lagu klasik yang pernah dipopularkan oleh Allahyarhamah Rafeah Buang yang bertajuk Dodoi Si Dodoi.

Walaupun ini merupakan percubaan pertama bagi beliau untuk mengetengahkan karya-karya sebegini di dalam album, penyanyi yang mesra dengan panggilan Nana ini tetap optimis dengan penerimaan peminat tempatan terhadap buah tangan terbaru beliau.

Siti Nordiana

Mengulas mengenai proses penerbitan Anakku Sayang, Hafiz Hamidun selaku penerbit menjelaskan proses rakaman album ini hanya memakan masa selama 3 bulan sahaja untuk disiapkan.

“Secara peribadi saya sangat gembira dan berpuas hati dengan album ini”, ujar Hafiz lagi.

Tambah Hafiz lagi, beliau sudah lama memendam hasrat untuk melahirkan sebuah album berunsur kekeluargaan memandangkan pasaran muzik tempatan hari ini masih kekurangan karya kekeluargaan seperti ini dalam bentuk yang lebih moden.

Biarpun sebelum ini Nana lebih dikenali dengan gandingan bersama Allahyarham Achik Spin, album Anakku Sayang tampil unik dengan memperlihatkan gandingan vokal yang dinamik dan serasi antara Nana bersama Hafiz Hamidun sebagai penyanyi latar di dalam setiap lagu. Selain itu, Hafiz juga turut terlibat di dalam susunan muzik bagi keseluruhan album ini, menjadikan ia sebuah album yang lebih segar dan matang.

Menelusuri perjalanan seni Siti Nordiana binti Alias, penyanyi bersusuk tubuh kecil ini memulakan karier seawal tahun 1999 ketika berumur 15 tahun. Sepanjang 15 tahun itu, beliau telah muncul dengan 5 buah album solo yang mana beliau dikenali dengan lagu-lagu pop Melayu dan tradisional. Gandingan duo beliau bersama Allahyarham Achik dari kumpulan Spin juga banyak mengangkat nama beliau di persada industri muzik Malaysia dengan lagu-lagu seperti Paling Comel dan Adat Berkasih.

Antara album yang pernah dihasilkan adalah Gurindam Rindu Berkasih (1999), Luahan Hati Kekasih (2000), Bingkisan Kasih (2001), Pelangi (2004) & Semakin Jelas (2011) juga album duet Firus bersama Syura (2001), Istimewa Untukmu & Benang Emas bersama Allahyarham Achik.

Album ini merupakan terbitan Arteffect International dan diedarkan bersama Sony Music Malaysia pada harga RM19.90. Anakku Sayang boleh didapati secara digital menerusi iTunes, Amazon, Spotify, KKBOX dan Deezer tidak lama lagi. Album ini juga boleh didapati di kedai online CDNASYID.COM dengan harga promosi.

– Munsyeed Dot Com

 

APA KATA ANDA?

Loading Facebook Comments ...
Loading Disqus Comments ...
comments
 
Leave a reply »

 

Leave a Response