0 comments

IF-ONE: Dari SoundCloud Ke Media Arus Perdana

by on September 2, 2015
 

Sudah menjadi satu trend masa kini apabila bakat baru dicungkil menerusi perkongsian rakaman video amatur yang dimuat naik di laman perkongsian video YouTube. Tidak dapat dinafikan lagi keberkesanan medium yang terbuka seperti ini telah berjaya melahirkan ramai artis baru popular tanah air seperti Najwa Latif, Tasha Manshahar, Ainan Tasneem, Syed Syamim dan ramai lagi.

Berbeza pula ceritanya dengan 3 orang anak muda yang menjenamakan diri mereka sebagai IF-ONE. Kumpulan nasyid ini yang dianggotai oleh Abu Hurairah bin Roslan, Muhammad Firdaus bin Mokhtar dan Fakhrulradzi bin Shahrudin mula mendapat perhatian Pengurus Imaan Music, KC. Ismail selepas mendengar keunikan lagu dan muzik yang dimuat naik di akaun laman perkongsian audio SoundCloud milik anggota kumpulan itu.

“Saya telah mengenali IF-ONE dan karya mereka sejak tahun 2013 lagi. Sekitar penghujung 2014, saya terjumpa demo-demo yang mereka muat naik di platform audio Soundcloud. Susunan muzik yang segar dan suara mereka yang harmoni telah menarik perhatian saya. Mereka membawa nafas baru dalam alunan zikir dan jika didengar berulang kali pasti menjadi terapi jiwa”, ujar KC. Ismail yang juga merupakan bekas Timbalan Presiden KRU MUSIC.

“Setelah berulang kali mendengar demo ‘La Ilaha Illa Anta’ di Soundcloud, saya terpanggil untuk menghubungi mereka dan menawarkan peluang merakamkan album di bawah bendera Imaan Music”, tambahnya lagi.

if-one

Tunggak utama IF-ONE. Dari kiri: Fakhrulradzi, Firdaus dan Abu Hurairah.

Bercerita mengenai makna di sebalik nama kumpulan ini, IF-ONE yang membawa maksud “KALAU SATU” ialah satu nama unik yang mewakili hasrat dan cita-cita tiga orang ahli anggotanya. Menurut mereka, apabila kita bersatu hati dan mempunyai satu cita-cita, satu matlamat, satu tujuan dan satu ilmu, kita akan hidup dalam keserasian. Jelas mereka lagi, apa yang paling penting ialah kebenaran itu satu, tidak ada dua dan seterusnya. Jadi andai kita semua bersatu di bawah nama Islam yang sebenar, kita sebenarnya sedang berjuang menegakkan kebenaran.

Album Zikir Buat Hati

Trio IF-ONE tidak pernah menyangka akan mendapat peluang untuk melahirkan sebuah album penuh yang memuatkan pelbagai zikir dan lagu nasyid.

“Syukur kepada Allah kerana telah mengabulkan hasrat kami yang selama ini berkarya melalui muzik sambil menyampaikan dakwah. Tawaran daripada Imaan Music ibarat bulan jatuh ke riba” kata trio IF-ONE.

Album yang memulakan produksi pada awal bulan Januari 2015 ini telah mengambil masa hampir 6 bulan untuk disiapkan. Mendapat sentuhan komposer dan penerbit baru Samuel Dzul, album ini dilihat mampu mengetengahkan keunikannya yang tersendiri setaraf dengan barisan album-album zikir terbaik di pasaran. Antara zikir-zikir yang terkandung di dalam album ini adalah La Ilaha Illa Anta, Astagfirullah, Alhamdulillah, Subhanallah serta Asma Mu.

Bersesuaian dengan konsep yang ingin diketengahkan di dalam album ini, Zikir Buat Hati dipilih sebagai tajuk album sulung IF-ONE kerana setiap zikir yang dimuatkan di dalam album ini telah diadun bersama muzik yang mampu menonjolkan lagi elemen serta kesan terapeutik pada hati yang terdapat di dalam zikir itu sendiri. Justeru ia bertepatan dengan maksud surah Ar-Ra’d ayat ke 28 yang bermaksud “..hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang”.

Selain zikir-zikir yang dimuatkan di dalam album ini, Zikir Buat Hati turut memuatkan dua buah track lagu nasyid berjudul “Perjalanan Hati” dan “Ada Hikmah”. “Perjalanan Hati” merupakan lagu pertama yang dirakam oleh IF-ONE pada penghujung tahun 2013 sebelum mereka mengikat kontrak bersama Imaan Music. Lagu ini juga pernah mendapat putaran tertinggi di radio IKIM FM.

Bagi memberikan warna serta kelainan yang selari dengan moto Imaan Music, yakni berdakwah menerusi muzik, album ini turut mengundang dua pendakwah yang tidak asing lagi iaitu PU Faiz dan Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari. PU Faiz adalah Naib juara Pencetus Ummah musim pertama manakala Ustaz Iqbal Zain adalah pendakwah bebas dari Darul Mujtaba yang sering muncul di TV Al Hijrah.

Album IF-ONE Zikir Buat Hati terbitan Imaan Music akan diedarkan oleh Arteffects International bersama Sony Music Malaysia.

Facebook: Imaan Music

Instagram: https://instagram.com/imaanmusic

YouTube: Imaan Music

– Munsyeed

APA KATA ANDA?

Loading Facebook Comments ...
Loading Disqus Comments ...
Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response