0 comments

Hafiz Hamidun, Opick Terajui Malam Kalimah Cinta Di Istana Budaya

by on October 27, 2015
 

Bersempena dengan Maulidur Rasul yang akan disambut oleh seluruh umat Islam di Malaysia pada Disember ini, Mask Team dan Indigital Sdn Bhd dengan kerjasama Istana Budaya akan menganjurkan sebuah persembahan pentas, Malam Kalimah Cinta yang menampilkan Hafiz Hamidun dan Opick sebagai peneraju utama. Malam Kalimah Cinta yang akan berlangsung bermula pada 23 Disember 2015 sehingga 25 Disember 2015 bertempat di Istana Budaya bakal menyajikan para penonton dengan persembahan hebat dan istimewa dari kedua penyanyi popular Nusantara itu.

Opick yang akan membuka persembahan Malam Kalimah Cinta pada 23 Disember ini bakal tampil bersama kumpulan pemuzik profesional yang diterbangkan khas dari Indonesia untuk mengiringi persembahan beliau. Berbeza dengan Hafiz Hamidun, beliau yang akan menerajui pentas Istana Budaya pada 24 dan 25 Disember ini memilih untuk tampil bersama kumpulan pemuzik handalan di bawah bimbingan pengarah muzik terkenal, Lok U.

Menurut Hafiz Hamidun, pada malam tersebut beliau akan menyajikan para penonton dengan 20 buah lagu termasuk 2 buah lagu duet bersama artis jemputan yang akan diumumkan tidak lama lagi. Hafiz juga dijangka akan membawakan beberapa buah lagu dari album terbaru beliau yang kini masih menjalani proses rakaman di beberapa buah negara.

Selain persembahan berbentuk halwa telinga, para penonton juga bakal disajikan dengan persembahan penuh multimedia berserta efek khas yang digabungkan bersama iringan nasyid, zikir dan selawat dari kedua munsyid terbabit.

Mengulas mengenai pemilihan Hafiz Hamidun dan juga Opick untuk dibawa ke Istana Budaya, Dato’ Juhari Shaarani selaku Ketua Pengarah Istana Budaya menjelaskan bahawa pemilihan yang dibuat ini adalah berdasarkan kepada potensi serta permintaan semasa masyarakat yang tinggi terhadap hiburan berunsurkan kerohanian.

“Kami mahu menawarkan kelainan di Istana Budaya bersempena sambutan Maulidur Rasul kelak. Justeru, penganjuran Malam Kalimah Cinta dilihat bertepatan dengan tema tersebut”, tambah beliau lagi.

Malam Kalimah Cinta menawarkan tiket pada harga RM85, RM105, RM155, RM185, RM205 dan RM255. Tempahan awal tiket boleh dilakukan menerusi laman web AirAsia RedTix atau di kaunter Box Office, Istana Budaya mulai 30 Oktober 2015. Jumlah tiket adalah terhad.

– Munsyeed

APA KATA ANDA?

Loading Facebook Comments ...
Loading Disqus Comments ...
Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response