0 comments

Album Baru Sami Yusuf Epik!

by on December 21, 2015
 

Ramai yang tidak menyangka penyanyi popular British, Sami Yusuf, akan menampilkan album baru seawal bulan ini selepas beliau mengumumkan kemunculan album ‘Barakah’ yang dijadualkan bakal menemui peminat pada 1 Febuari 2016 nanti. Album yang diterbitkan menerusi syarikat rakaman Andante Records ini adalah merupakan koleksi runut bunyi yang digubah khas oleh Sami Yusuf untuk sebuah filem animasi pendek bertajuk “1001 Inventions and the World of Ibn Al-Haytham” arahan Ahmed Salim.

Walaupun album runut bunyi ini merupakan percubaan pertama Sami Yusuf dalam dunia perfileman, kualiti gubahan muzik serta lagu yang dihasilkan untuk filem ini dilihat setanding dengan muzik dari filem-filem box office terkini Hollywood. Menurut Sami, proses menyiapkan keseluruhan album ini hanya mengambil masa beberapa bulan sahaja. Walau bagaimanapun Sami Yusuf menjelaskan kepada portal berita tabloid!, ianya telah mengalami kemaskini dan perubahan sebanyak 2 kali sebelum beliau mampu untuk berpuas hati sepenuhnya dengan hasil akhir skor muzik tersebut.

Filem “1001 Inventions and the World of Ibn Al-Haytham” yang diarahkan oleh Ahmed Salim mengisahkan tentang perjalanan kehidupan seorang saintis muslim terkemuka dunia yang lebih dikenali dengan nama Ibn Haytham atau AlHazen pada sekitar abad ke-11. Menerusi filem ini, para penonton bakal didedahkan kepada detik-detik penting dalam penemuan sains yang dilakukan oleh Ibn Haytham sepanjang hayatnya. Sumbangan beliau dalam dunia sains telah berjaya memberikan impak yang sangat signifikan bahkan setiap penemuan yang beliau perolehi menjadi bahan rujukan utama para ilmuwan di seluruh dunia sehingga ke hari ini.

Album runut bunyi “1001 Inventions and the World of Ibn-Haytham” mempertaruhkan 10 buah trek gubahan muzik termasuk sebuah lagu tema berjudul ‘Shine’ nyanyian Sami Yusuf sendiri dan juga sebuah trek tribute kepada Omar Sharif, salah seorang pelakon terkenal dari Mesir yang sempat memegang watak utama di dalam filem ini, sebelum beliau menghembuskan nafas yang terakhir pada Julai 2015.

Sementara menantikan filem ini ditayangkan di Malaysia, jom dengar dan tonton dahulu klip video lagu baru yang juga merupakan lagu tema filem ini berjudul ‘Shine’ daripada Sami Yusuf.

Dengar dan muat turun album baru Sami Yusuf di sini.

– Munsyeed

APA KATA ANDA?

Loading Facebook Comments ...
Loading Disqus Comments ...
Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response