0 comments

Salleh Brothers Meninggal Dunia

by on October 6, 2016
 

Khabar duka menyelubungi industri nasyid hari ini selepas menerima berita pemergian salah seorang anggota kumpulan nasyid Brothers petang tadi. Mohd Salleh Mohamed Deril, 40 tahun, telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Menurut maklumat yang kami terima, Salleh telah dimasukkan ke Hospital Klang semenjak Ahad lalu selepas mengalami komplikasi pada jantung sebelum dipindahkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya. Berikutan tekanan darah yang tinggi, beliau telah direhatkan oleh doktor yang merawat untuk memastikan keadaannya kembali stabil.

Salleh merupakan salah seorang anggota kumpulan nasyid popular Brothers yang turut sama dianggotai oleh Yasin, Syah dan Faiz. Bersama kumpulan Brothers, beliau telah berjaya merakamkan 5 buah album iaitu We Are, Satu Perjuangan, Untukmu Teman, Brothers Reunited dan Sabar. Sepanjang 21 tahun beliau berkecimpung dalam industri nasyid, Salleh juga banyak terlibat secarat aktif di belakang tabir pembikinan album artis-artis nasyid dan artis ternama tanahair yang lain termasuk album Dato’ Siti Nurhaliza sekitar awal tahun 2009. Selain aktif di studio, beliau juga pernah terlibat sebagai tenaga pengajar dalam rancangan realiti pencarian bakat baru nasyid, Akademi Nasyid musim pertama yang telah bersiaran di TV9 pada tahun 2008.

Sebelum ini Salleh bersama anggota kumpulan Brothers yang lain sedang giat menjalankan latihan sebagai persediaan untuk tampil di Konsert 3 Kejora Bersatu yang dijadualkan akan berlangsung di Istana Budaya mulai esok. Walau bagaimanapun perkembangan terbaru ini pastinya memberikan satu tamparan yang hebat buat anggota kumpulan Brothers dan juga pihak penganjur konsert.

Sesungguhnya pemergian Salleh adalah satu kehilangan yang amat besar dalam dunia seni hiburan tanah air. Semoga Allah SWT mengurniakan ganjaran yang setimpal di atas jasa dan pengorbanan beliau selama ini di dalam industri.

Bagi membantu meringankan bebanan keluarga beliau, anda boleh menyalurkan sumbangan bantuan kecemasan ke akaun bank CIMB milik balu allahyarham, Shalwiza Eza’an menerusi nombor akaun 7601567424.

Jenazah dijadualkan akan dikebumikan esok di Kampung Seri Tiram Jaya, Tanjung Karang, Selangor.

Salam takziah daripada kami warga kerja Munsyeed buat isteri, anak-anak dan juga ahli keluarga Mohd Salleh Mohamed Deril. Semoga roh allahyarham ditempatkan bersama para shuhada dan solihin.

Perkembangan lanjut akan menyusul.

– Munsyeed

APA KATA ANDA?

Loading Facebook Comments ...
Loading Disqus Comments ...
Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response