0 comments

UNIC Juara Gema Gegar Vaganza Musim Pertama

by on May 22, 2017
 

Selepas mengharungi 7 konsert mingguan, program realiti nyanyian Gema Gegar Vaganza akhirnya melabuhkan tirai dengan menobatkan kumpulan nasyid UNIC sebagai juara musim pertama.

Trio UNIC yang membawakan lagu hits mereka berjudul Ainul Mardhiah dan Kalah Dalam Menang pada segmen battle bersama kumpulan SAUJANA nyata berjaya memberikan persembahan yang memukau para penonton serta juri profesional. Dengan kemenangan ini UNIC membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000 dan juga trofi sumbangan Astro.

Aksi hebat Hijjaz di konsert akhir menerusi lagu Fatamorgana dan Alhamdulillah di segmen kedua bersama Mirwana berjaya meletakkan mereka pada kedudukan naib juara bagi musim ini sekaligus menerima hadiah wang tunai RM30,000 dan trofi daripada Astro.

Selain mendapat tempat kedua, Hijjaz juga turut menerima Anugerah Persembahan Pilihan Penonton yang telah dipilih menerusi undian secara atas talian sepanjang konsert akhir Gema Gegar Vaganza berlangsung. Pemenang menerima wang tunai sebanyak RM5,000 sumbangan Serai Mas.

Tempat ketiga disandang oleh kumpulan Mirwana yang tampil dengan persembahan lagu Ya Rasulullah nyanyian asal oleh Raihan. Aksi bertenaga Mirwana pada pusingan kedua mempersembahkan lagu Alhamdulillah nyanyian asal Too Phat dan Yasin memberikan saingan yang cukup hebat kepada Hijjaz.

Mirwana pulang membawa wang tunai RM20,000 dan juga trofi daripada Astro.

Azmi Saat pula berjaya menduduki tempat keempat sekaligus menerima hadiah berupa wang tunai sebanyak RM15,000 berserta trofi sumbangan Astro. Persembahan Azmi yang membawakan lagu Damai Yang Hilang nyanyian asal kumpulan NOWSEEHEART berjaya memberikan persaingan hebat di konsert akhir GGV.

Gandingan bersama Hafiz Hamidun menyampaikan lagu Aku Maafkan Kamu dalam pusingan battle menyerlahkan lagi kehebatan vokal Azmi yang jarang diperlihatkan kepada para penonton dalam persembahan-persembahannya yang lalu. Ini sekaligus memberikan kemenangan kepada Azmi untuk Anugerah Gema Terindah kategori Gempak Gempur dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM15,000 tajaan Kopi Pak Belalang.

Konsert akhir Gema gegar Vaganza telah bersiaran secara langsung di Astro Oasis dan Maya HD pada hari Ahad jam 9 malam. Acara gilang-gemilang ini dihoskan oleh Siti Nordiana, Achey dan juga Fikri Lawak Solo. Turut hadir memeriahkan konsert akhir ialah penyanyi terkenal tanah air, Datuk Siti Nurhaliza yang hadir sebagai juri jemputan di samping Farihin Abdul Fattah dan Oki Setiana Dewi yang menggalas tugasan selaku juri profesional setiap minggu.

Konsert akhir Gema Gegar Vaganza berakhir dengan persembahan penutup daripada Datuk Siti Nurhaliza menyampaikan lagu baru bertajuk Aku Bukan Malaikat ciptaan Opick, disusuli dengan persembahan daripada kumpulan Rabbani mempersembahkan lagu Pergi Tak Kembali.

– Munsyeed

APA KATA ANDA?

Loading Facebook Comments ...
Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response