0 comments

Dakwah LIVE dan Mai Ngaji isi ruang dakwah TV ALHIJRAH Februari ini

by on February 8, 2018
 

Khas untuk penonton setianya, TV AlHijrah membawakan barisan rancangan-rancangan menarik yang telah disusun sepanjang Februari 2018.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Dato’ Hj. Izelan Basar,” pemilihan siaran ini adalah bagi memenuhi permintaan penonton yang mahukan rancangan inklusif meliputi semua genre, santapan setiap lapisan masyarakat.
Menurut beliau, “peratusan peningkatan penonton yang mengikuti rancangan-rancangan menarik yang penuh dengan bimbingan agama, kerohanian dan motivasi seperti Mimbar, Kalam Hikmah, Alam Barzakh dan zikir zikir munajat sepanjang hari menunjukkan TV AlHijrah berjaya menerbitkan program-program yang memberi fokus kepada ‘lifestyle’ dan mempunyai ruang rasa yang tersendiri”.
Antara rancangan istimewa sepanjang bulan Februari ini adalah rancangan Dakwah Live dan Mai Ngaji.

DAKWAH LIVE

Dakwah Live adalah sebuah program bual bicara yang disiarkan secara langsung pada setiap Isnin hingga Rabu tepat jam 9 malam hingga 10 malam. Siaran ulangan pula pada setiap Selasa, Rabu dan Khamis jam 6.30 pagi.

Dakwah Live adalah program terbitan dalaman TV AlHijrah yang akan disiarkan selama 33 episod siaran. Rancangan ini muncul berikutan respon penonton yang mahukan program tv seumpama Labaikallah yang diterbitkan Musim Haji yang lalu. Dakwah Live boleh dikategorikan sebagai kemuncak dan pelengkap kepada program bual biacara sedia ada di TV AlHijrah.
Ini kerana, selain menepati citarasa kontemporari, Dakwah Live menggunapakai konsep dakwah separa-realiti yang luarbiasa bercirikan penglibatan dan interaksi santai antara penonton di studio bersama pendakwah terkemuka yang bertindak sebagai hos rancangan.

Antaranya adalah seperti Datuk Dr. Izhar Arif, Datuk Nurhafiza Musa, Dr. Nik Salida Nik Salleh dan Dr. Syarifah Hayati. Selain itu, ramai personaliti terkemuka akan turut muncul sebagai tetamu khas.
Selain itu, perkongsian ilmu menyentuh topik gaya hidup masa kini dilihat mampu untuk memecah blok tontonan konvensional seluruh saluran nasional yang menjadikan waktu puncak dipenuhi dengan kandungan berbentuk hiburan
Lebih menarik setiap episod siaran langsung ini turut menawarkan hadiah-hadiah menarik secara spontan kepada penonton di studio.

MAI NGAJI

Umat Islam maklum bahawa Ramadan merupakan bulan turunnya kitab suci Al-Quran sebagai panduan hingga ke akhir zaman. Namun begitu, ini tidak bermaksud Al Quran hanya perlu dibaca dan djadikan amalan pada bulan Ramadan sahaja. Umat Islam dituntut dan digalakkan untuk mendampingi Al Quran setiap hari kerana manfaatnya yang pelbagai dalam membentuk nurani dan peribadi.

Atas kesedaran inilah juga, TV AlHijrah buat pertama kalinya tampil dengan sebuah program yang menyediakan platform buat umat Islam untuk mempelajari, menyemak, mengkaji serta memperdengarkan bacaan Al Quran secara beramai-ramai.

Rancangan baru yang dikenali dengan nama Mai Ngaji disiarkan pada setiap hari Selasa, jam 7.30 malam. Siaran ulangan pula pada hari yang sama jam 10.30 malam.

Mempertaruhkan wajah baru selaku pengacara rancangan, kredibiliti dan keupayaan Ustazah Nadhrah Mohamed Yunos telah terbukti berjaya dengan jumlah peratusan tontonan yang tinggi sewaktu beliau buat pertama kalinya muncul di kaca televisyen selaku hos jemputan di dalam rancangan bual bicara Assalamualaikum untuk mengajar mengaji secara langsung.

Oleh yang demikian, menerusi Mai Ngaji, Ustazah Nadhrah Mohamed Yunos diberi kepercayaan untuk bersama-sama 150 orang pelajar yang terdiri daripada kaum wanita sahaja. Mereka akan bertalaqqi, saling semak menyemak serta menatijahkan penghayatan dan amalan mengikut hak al-Quran diturunkan.
Selain Dakwah Live dan Mai Ngaji TV AlHijrah turut memaparkan program menarik seperti Assalamualaikum (setiap hari 7.30 pagi) Masjid ke Masjid (Isnin 7.30 malam), Analisis Finaz Yunus(Khamis 9 malam), Aku Ingin Sehat(Isnin 10 malam), 2 Minit Ustaz serta Panggilan Agung dan doa doa dan zikir zikir munajat sepanjang hari.

This slideshow requires JavaScript.

APA KATA ANDA?

Loading Facebook Comments ...
Loading Disqus Comments ...
Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response