0 comments

Zain Bhikha Lancar Sekuel Allah Made Everything

by on February 22, 2018
 

Selepas kejayaan single Allah Made Everything yang menampilkan gandingan mantap bersama pelakon dan pelawak popular Omar Regan, munsyid terkenal dari Afrika Selatan, Zain Bhikha kini hadir dengan buah tangan terbaharu bertajuk Cotton Candy Sky. Lagu ini merupakan sekuel kepada single Allah Made Everything yang telah mendapat sambutan hangat dengan menerima jumlah tontonan video menghampiri 10 juta tontonan di laman YouTube.

Sebagaimana single beliau sebelum ini, Cotton Candy Sky adalah satu lagi usaha daripada Zain Bhikha untuk mendidik generasi muda dengan penerapan nilai-nilai positif serta mesej ketuhanan yang kuat kepada golongan ini di dalam lagu. Mesej-mesej ini dihidangkan dalam bentuk paparan visual santai yang menarik dan penuh warna-warni diselang-selikan dengan reaksi lawak jenaka daripada Omar Regan bagi menceriakan suasana.

Menurut Zain Bhikha, beliau menyaksikan sendiri bagaimana kekuatan sesebuah lagu mampu memberikan kesan dan impak positif kepada golongan muda. Sehubungan dengan itu, beliau memilih formula yang sama diketengahkan pada naskhah Allah Made Everything ke dalam karya terbaru beliau. Di samping itu, beliau menggunakan kejayaan Allah Made Everything sebagai batu loncatan untuk melancarkan Cotton Candy Sky yang juga merupakan sebahagian daripada album yang bakal menghidangkan 11 trek lengkap, merangkumi lagu-lagu yang sesuai untuk semua golongan usia dan masyarakat.

ZeeBee Kids Cabang Baru Zain Bhikha Studios

Selain hadir dengan single terbaharu, Zain Bhikha turut memperkenalkan jenama ZeeBee Kids, salah sebuah cabang baru daripada Zain Bhikha Studios yang memfokuskan kepada kandungan untuk kanak-kanak dan golongan muda. Menerusi ZeeBee Kids, beliau berhasrat untuk memperluaskan lagi medium penyampaian yang tidak hanya terhad kepada lagu, tetapi juga melalui laman web kanak-kanak yang baru dan menarik; aplikasi dan siri-siri penerbitan buku.

ZeeBee Kids

Antara yang bakal muncul dengan jenama ini ialah buku pertama Zain Bhikha yang dijangka bakal hadir tidak lama lagi. Buku bahagian pertama yang diadaptasikan daripada single Allah Made Everything itu bakal diterbitkan bersama 4 lagi buah buku lain yang terdapat di dalam siri yang sama.

Single terbaharu Zain Bhikha kini sedia untuk dimuat turun dan dimainkan di semua platform digital utama seperti iTunes/Apple Music, Spotify, YouTube dan juga Deezer.

– Munsyeed

APA KATA ANDA?

Loading Facebook Comments ...
Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response