0 comments

Bunga Altimet bukan sebarang bunga

by on April 3, 2018
 

Spekulasi dan kontroversi yang timbul dari kemunculan single ‘Mambang’ sehingga ianya tular dan trending di laman YouTube telah memberikan momentum yang besar buat Altimet untuk terus memperkenalkan karya-karya baharu dan berkualiti yang terkandung di dalam EP terbarunya yang berjudul ‘Air’. Berikutan kejayaan ‘Mambang’ hingga meraih perhatian masyarakat dari luar kepompong peminat genre hip hop, Altimet kini hadir dengan sebuah lagi karya yang sarat dengan mesej serta kritikan sosial kepada masyarakt menerusi ‘Bunga’.

‘Bunga’ merupakan hasil kolaborasi Omar K bersama John Jeevasingam di mana ianya dimulai dengan rentak etnik yang dipadankan bersama rentak hip-hop moden berserta kepintaran Altimet mengolah lirik yang bersahaja. Di awal pendedahannya, ramai di kalangan peminat yang menyangka single kali ini akan memperlihatkan sisi ‘Bunga di taman’ yang ada pada penyanyi rap terkenal ini. Namun setelah ‘Bunga’ mula diperkenalkan sepenuhnya, ternyata ‘Bunga’ yang cuba diketengahkan oleh Altimet bukan sebarangan.

Menjelaskan lagi maksud di sebalik single terbaharunya itu, Altimet menekankan bahawa maksud di sebalik lirik yang terkandung di dalam ‘Bunga’ membawakan pengertian yang berbeza. Hal ini terbukti menerusi permainan kata-kata di dalam lirik yang disusun kemas oleh beliau sendiri.

“Bunga memberi beberapa maksud yang berlainan, dan ketika proses penulisan lirik lagu ini, saya dan penggubah lagu ingin menekankan tentang situasi yang kini sering berlaku kepada rakyat kita zaman sekarang. Hasilnya terdapat banyak permainan kata-kata dalam lagu ini, salah satunya saya mengatakan terdapat banyak rumah yang tiada taman yang lengkap, tapi masih ada Bunga (faedah)” kata penulis lirik dan pemenang Persembahan Terbaik di Anugerah Juara Lagu-32 dengan lagunya, ‘Amboi’.

Muzik video bagi lagu ini pula telah mendapat sentuhan Fluid, di bawah arahan Muit Zulhelmi, dengan kerjasama Cha Azarikh, Muit Zulhelmi dan Afiqa Zahira. Gandingan yang sama telah menghasilkan muzik video ‘Amboi’ yang merupakan antara lagu terhangat pada tahun 2017. Di dalam klip video ini, peminat akan dapat melihat hasil gabungan unsur tradisional seperti wayang kulit dan duit bunga bersama grafik digital moden. Ketika ini klip video rasmi ‘Bunga’ sedang berada di tangga ke #32 senarai video trending di YouTube Malaysia.

Bercakap mengenai ‘Air’, EP terbaharu daripada Altimet ini telah mempertemukan beliau bersama artis serta selebriti dari dalam dan luar negara bagi menjayakan 6 buah trek lagu yang terkandung di dalamnya. Antara barisan artis yang turut terlibat ialah Baraka Blue (Amerika Syarikat), pelakon terkenal Faizal Hussein dan Pekin Ibrahim, Aina Abdul serta ramai lagi.

‘Bunga’ dan ‘Air’ kini sudah boleh didapati secara digital di iTunes dan di semua aplikasi penstriman muzik utama.

– Munsyeed

APA KATA ANDA?

Loading Facebook Comments ...
Loading Disqus Comments ...
Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response