0 comments

Fitri Haris: Lebih baik ‘raja typo’ dari ‘raja kelentong’

by on April 2, 2018
 

Salah seorang peserta solo Gema Gegar Vaganza musim kedua (GGV2), iaitu Fitri Haris sempat ditemubual untuk mendapatkan perkembangan dan perasaan terkini beliau selepas melepasi cabaran minggu yang pertama bagi program Islamik nombor satu Malaysia tersebut. Bekas ahli kumpulan UNIC ini juga dilihat sebagai peserta kegemaran penonton apatah lagi dengan kekuatan memiliki ‘fanbase’ yang tersendiri – Fitri’s Family.

Fitri telah membawakan lagu ‘siulan’ peminat UNIC, iaitu Ainul Mardhiah pada minggu yang pertama dan mendapat komen yang positif dari juri dan peminat. Berikut merupakan antara petikan komen dari Oki Setiana Dewi.

“Lagu ini sangat sinonim dengan UNIC dan orang akan bandingkan penyanyi lagu ini. Suara anda sangat merdu terutama mengalunkan ayat Al-Quran. Persembahan pentas anda pun menarik.”

Bertanya berkenaan perasaan setelah melepasi cabaran minggu yang pertama, Fitri akui masih terasa bebannya kerana cabaran minggu kedua pula bakal menanti.

“Rasa terbeban juga sebab maklum balas buat setakat ini Alhamdulillah baik. Cumanya ada yang tidak faham dari segi penampilan. Saya ingin bawa konsep ‘story teller’ dan akan cuba kekalkan konsep ini supaya ada sesuatu yang menarik dapat dipersembahkan setiap minggu,” kata Fitri Haris sewaktu ditemu bual Munsyeed Corner. Beliau juga memberitahu kebanyakan idea merupakan hasil kata putus dan pengalaman merantau yang dikutip sendiri. Kadangkalanya beliau akan bertanyakan pendapat pengurus, keluarga dan peminat untuk menambahbaik idea tersebut.

Munsyeed Corner sempat menyelit satu soalan yang menyentuh hal yang kelakar tentang Fitri Haris. Artis nasyid bertubuh kecil ini sangat sinonim dengan tulisan ‘typo’ (salah ejaan) di media sosial sehingga beliau pernah digelar peminat-peminat dengan gelaran ‘raja typo’.

Caption saya kadang-kadang okay, kadang-kadang tidak. Ia memang tidak disengajakan. Saya menaip tengok keyboard sahaja. Apa yang keluar itulah yang ada,” kata beliau dengan nada pasrah. ‘Wabak’ typo yang melanda Fitri Haris sebaliknya menghiburkan peminat-peminat beliau di media sosial. Malahan artis-artis seperti Achey dan Encik Mimpi turut memberi reaksi komen terhadap caption ‘typo’ Fitri Haris.

“Ada (peminat) yang kata jari saya macam kuih cakoi,” kata Fitri Haris sambil tertawa.

“Kira okay lah (raja typo) dari dapat gelaran ‘Raja Kapoor’, ‘raja kelentong’,” tambahnya lagi.

Berkenaan cabaran minggu kedua yang bakal dihadapi Fitri Haris, artis yang juga sedang menyiapkan PhD dalam bidang Musicology (Islamic Music) berasa sedikit kurang yakin untuk membawa lagu tugasan yang diberikan (Malaikat) kerana tidak pernah membawanya sebelum ini.

“16 tahun bernasyid, tiba-tiba kena bawa lagu dance pula. Vokal Hazama juga sangat mantap, jadi untuk membawa versi ‘Fitri Haris’ terasa agak kurang confident. Apa pun saya akan cuba buat yang terbaik,” kata Fitri. Sedikit ucapan Fitri kepada peminat-peminat:

“Kepada semua yang kenal, baru kenal mahupun tidak kenal, terima kasih dan penghargaan buat semuanya dan doakan saya dapat sampaikan sesuatu. Allah jua yang membalasnya.”

– Munsyeed

APA KATA ANDA?

Loading Facebook Comments ...
Loading Disqus Comments ...
Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response