0 comments

Komposer Pak Ngah Suhaimi Meninggal Dunia

by on September 26, 2018
 

Pak Ngah atau nama sebenar beliau Datuk Suhaimi Mohd Zain. Gambar kredit: Utusan/Kosmo

Komposer terkenal, Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah telah meninggal dunia di Batam, Indonesia kira-kira jam 3.02 petang, Selasa.

Allahyarham bersama dengan isteri dan anaknya berada di Batam untuk urusan kerja.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Sharifah Mahani Syed Kassim dan 2 orang anak, Siti Syafrina dan Megat Mohd Syahrani.

Difahamkan pihak keluarga dalam proses untuk membawa jenazah pulang ke Malaysia untuk urusan pengkebumian.

Pak Ngah, 60 tahun merupakan seorang komposer Irama Malaysia yang tidak asing lagi di Malaysia. Penglibatan beliau dalam menghasilkan lagu-lagu Irama Malaysia pada sekitar 1997/1998 membuahkan hasil apabila lagu Cindai nyanyian Penyanyi No. 1 Malaysia, Dato Seri Siti Nurhaliza berjaya menjuarai Anugerah Juara Lagu pada tahun 1998. Selain Cindai, lagu-lagu beliau seperti Balqis, Dondang Dendang, Hati Kama dan Ya Maulai turut menjadi hits di carta muzik radio dan berjaya mendapat tempat dan memenangi anugerah di beberapa majlis anugerah berprestij di Malaysia.

Tidak hanya terhenti disitu, Pak Ngah juga ada menghasilkan lagu-lagu raya malar segar seperti Sesuci Lebaran, Nazam Lebaran dan yang terbaru Hari Kemenangan.

Pak Ngah juga turut menghasilkan lagu Patriotik seperti Jalur Gemilang dan Keranamu Malaysia yang mewarnai sambutan Hari Kebangsaan saban tahun.

Mungkin ramai yang tidak tahu, Pak Ngah juga pernah menghasilkan beberapa lagu untuk kumpulan nasyid popular, Rabbani seperti Cari Pasangan, Doa dan Pujian. Beliau juga pernah terlibat dalam penerbitan sebuah album kumpulan Firdaus berjudul Fi Sabilillah yang memuatkan lagu popular Firdaus bertajuk Wuduk.

Munsyeed merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarham Pak Ngah. Semoga roh allahyarham ditempatkan dikalangan hamba-hambaNYA yang soleh dan bertaqwa.

– Munsyeed

 

APA KATA ANDA?

Loading Facebook Comments ...
Loading Disqus Comments ...
Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response