0 comments

Siapa bakal juara program realiti Pendakwah Muslimah?

by on September 21, 2018
 

Pentas Akhir Program Realiti Televisyen Pendakwah Muslimah akan disiarkan secara langsung dari Alhijrah Big Studio Cyberjaya (ABS) pada 22 September 2018, jam 9 malam hingga 11 malam.

Mengetengahkan tagline ‘Demi Ummah‘, rancangan realiti Pendakwah Muslimah ini dijangka akan mencetuskan fenomena baru terhadap penglibatan wanita sebagai sebahagian daripada komuniti yang menyumbang kepada kesejagatan Ummah.

Menerusi program realiti ini, TV Alhijrah menyasarkan peratusan tontonan tertinggi yang sudah semestinya meninggalkan impak besar buat penonton stesen ini khususnya.

Pendakwah Muslimah adalah sebuah program jalinan kerjasama di antara TV Alhijrah, Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Institut Latihan dan Dakwah Selangor (ILDAS) serta Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Rancangan ini membawakan misi pencarian pendakwah terbaik di kalangan wanita sekaligus ingin mengubah pandangan konservatif sesetengah masyarakat mengenai peranan kaum hawa dalam pembangunan Islam.

17 peserta telah disenarai pendek dan layak untuk mengikuti modul latihan peringkat pertama yang berlangsung bermula 2 September 2018 hingga 8 September 2018.

Di dalam modul permulaan ini para peserta dilatih dengan asas-asas dakwah seperti bengkel pengucapan dan penulisan, pembentukan sahsiah dan peribadi, ilmu dan amalan berdakwah serta beberapa modul lain.

Daripada kesemua 17 peserta yang beraksi di pentas Pendakwah Muslimah, hanya enam orang peserta terbaik sahaja dipilih untuk mengikuti modul perigkat kedua seterusnya berentap untuk dinobatkan sebagai juara Pendakwah Muslimah.

Berikut adalah enam finalis yang telah berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir

Azizah Binti Ahmad

Raudhatul Jannah Binti Mohd Rozli

Nurul Amirah Binti Mohd Azmi

Nora Mazwin Binti Abdul Sammad

Noor Hidayah Binti Adzman

Erny Masnita Binti Baharun

Kesemua finalis ini merupakan antara mereka yang terbaik, mampu dan berupaya menyampaikan dakwah secara lisan atau tulisan dan mempunyai daya ketahanan fizikal dan mental yang kuat.

Para finalis ini mendapat bimbingan Prof. Madya Dr. Mohd Nor Bin Mamat, Ustazah Siti Fatahiyah Binti Mahamood dan Ustazah Zawiah Hassan.

Juara Pendakwah Muslimah akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000.00, pakej Umrah serta trofi. Pemenang tempat kedua pula akan menerima wang tunai RM4,000.00, baucar penginapan bernilai RM500.00 berserta trofi. Manakala peserta yang mendapat tempat ketiga akan menerima baucar penginapan bernilai RM300.00, wang tunai RM3,000.00 dan juga trofi.

Pemenang saguhati pula akan membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM500.00 berserta trofi.

Hadiah wang tunai disumbangkan oleh Lembaga Zakat Selangor manakala trofi adalah sumbangan MBI Selangor.

Pentas akhir Pendakwah Muslimah akan dihoskan oleh pendakwah bebas, Syamsul Debat dan Farah Diana Anuar.

APA KATA ANDA?

Loading Facebook Comments ...
Loading Disqus Comments ...
Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response