0 comments

Perginya Ulama Al-Quran, Tan Sri Dato’ Haji Hassan Azhari

by on October 6, 2018
 

Sabtu, 6 Oktober 2018, negara kehilangan seorang ulama Al-Quran terkenal, Tan Sri Dato’ Haji Hassan Azhari yang meninggal dunia kira-kira jam 5 petang tadi.

Haji Hassan, 90 tahun, telah meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur setelah menjalani rawatan di hospital berkenaan sejak Ahad lalu. Allahyarham disahkan mengidap Kanser Limfoma tahap empat.

Berdasarkan laporan media tempatan, jenazah allahyarham akan disolatkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam dan akan dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam atas titah DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Tan Sri Dato’ Haji Hassan Azhari

Allahyarham merupakan Ulama Al-Quran terkenal di Malaysia. Dilahirkan di Syu’ib Amir, Mekah pada 18 Ogos 1928, allahyarham mempelajari Al-Quran sejak kecil lagi di Mekah. Sewaktu negara mengecapi kemerdekaan, allahyarham telah melaungkan azan sewaktu upacara pengisytiharan kemerdekaan di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957.

Allahyarham juga turut diberi penghormatan melaungkan azan sewaktu perasmian Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang dan Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin, Bandar Seri Begawan, Brunei.

Disamping menjadi Guru Al-Quran di RTM menerusi siri rancangan tv popular, Muqaddam, allahyarham juga terlibat sebagai Hakim Majlis Tilawah Al-Quran peringkat Antarabangsa. Allahyarham juga sering memenuhi undangan dalam dan luar negara dalam usaha memartabatkan Al-Quran.

Pada tahun 2002, allahyarham telah dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 2002, satu penghormatan yang tinggi negara atas jasa dan sumbangan tidak ternilai allahyarham terhadap negara.

Pada tahun 2009, allahyarham telah dianugerahkan Panglima Setia Mahkota (PSM) dari Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang membawa gelaran Tan Sri.

Pemergian allahyarham merupakan kehilangan yang besar buat negara. Semoga roh allahyarham ditempatkan dikalangan hamba-hambaNya yang soleh dan bertaqwa.

Baca Tan Sri hassan Azhari Terima Anugerah Tokoh Melayu Terbilang

– Munsyeed

APA KATA ANDA?

Loading Facebook Comments ...
Loading Disqus Comments ...
Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response