1 comment

“Isteri Bukan Untuk Disewa” – Mufti Wilayah Persekutuan

by on November 11, 2018
 

Sebuah drama rantaian yang sedang bersiaran di Astro Ria berjudul Isteri Untuk Disewa lakonan aktor berbakat besar, Fattah Amin dan aktress Tiz Zaqyah telah menerima teguran dan nasihat daripada Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri.

Dr Zulkifli memberi teguran dan nasihat tersebut setelah menerima pertanyaan daripada seorang individu yang digelar Mustafti yang bertanyakan kepada beliau mengenai tajuk drama tersebut dan isu fiqh perkahwinan yang timbul dari drama tersebut. (Mustafti bermaksud seseorang yang bertanyakan mengenai sesuatu hukum syar’ie)

Menerusi artikel yang diterbitkan dalam ruangan Qalam Mufti, Dr Zulkifli menasihatkan bahawa judul drama Isteri Untuk Disewa  jika difahami secara literal, mempunyai implikasi hukum dan ianya bertentangan dari segi syarak mahupun secara moral kehidupan manusia.

“Tajuk drama ini; Isteri Untuk Disewa jika difahami secara zahir merupakan suatu perkara yang amat bertentangan dengan zahir nas al-Qur’an dan Sunnah. Begitu juga dengan moraliti kehidupan manusia samada Islam mahupun bukan Islam. Tanpa menafikan kebebasan berkarya dalam budaya penggiat seni, kami merasakan bahawa tajuk berkenaan adalah kurang sesuai.”

“Alasan kami jelas, isteri bukan untuk disewa. Isteri adalah akad yang sahih dan diperintahkan untuk bergaul dengan baik sebagaimana yang tertera dalam Surah al-Nisa’ ayat 19. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”

“Ibnu Kathir ketika mengulas ayat ini menegaskan bahawa ayat ini memerintahkan untuk memperperhaluskan kata-kata dan memperindahkan perilaku dan sikap, sebagaimana yang kita kehendaki daripada seorang isteri.”

“Penamaan tajuk yang provokatif dikhuatiri akan menjadi trend dalam penggiat seni sekiranya tidak diberikan penerangan jelas daripada Hukum Syarak, mengenai implikasinya dalam masyarakat.”

Tambah Dr Zulkifli lagi, dari segi implikasi hukum, isteri tidak boleh disewakan sama ada untuk waktu tertentu mahupun tempoh tertentu.

“Dalam Islam, isteri tidak boleh dikontrakkan sama ada dalam tempoh jam, hari, minggu atau bulan. Meminjam isteri bukanlah amalan dalam Islam, begitu juga menyewa isteri. Isteri adalah amanah Allah kepada suami untuk dimuliakan, dikasihi, disayangi dan diberi hak-haknya seperti termaktub dalam nas al-Qur’an, hadith dan pandangan fuqaha’.

“Kami yakin, tidak ada sekelumit niat dalam hati penulis novel dan pengarah tersebut untuk membuat sesuatu yang diluar kerangka Islam namun, sewaan isteri jelas sekali adalah sejuzuk daripada cabang mut’ah yang tidak dibenarkan dalam kalangan fuqaha’ Ahli Sunnah wal Jama’ah dan diharamkan dalam Islam. Ini sebagaimana kata Imam al-Nawawi berkata: “Nikah mut’ah tidak dibolehkan, kerana pernikahan itu pada dasarnya suatu akad yang bersifat mutlak. Maka tidak sah apabila dibataskan dengan masa.” (Lihat al-Majmu, 17/356). Antara contoh bentuk nikah mut’ah adalah perkahwinan yang dihadkan tempohnya. Contohnya, pengantin lelaki berkata dalam majlis akad nikah, “Saya hanya mahu berkahwin dengan kamu selama seminggu.” Lalu pengantin perempuan menjawab, “Saya terima.”

Rakaman skrin dari akaun Facebook Mufti Wilayah Persekutuan.

Dr Zulkifli yang turut meluangkan masa menonton drama tersebut pada juga turut memuji produksi drama tersebut atas usaha kreatif menghasilkan sesuatu karya yang diluar kebiasaan sehingga berjaya menarik jutaan penonton menonton drama tersebut.

“Secara umumnya, kami rasakan drama ini baik kerana mengenengahkan satu unsur baru dalam plot yang keluar daripada kebiasaan drama-drama lain yang bertemakan konflik keluarga dan percintaan. Kami sama sekali tidak mempunyai sikap prejudis terhadap seni dan juga anak-anak seni. Ulasan kami ini adalah berdasarkan kepada beberapa babak yang ditayangkan dan menilainya semula dari sudut hukum-hakam.”

“Syabas dan tahniah diucapkan kepada wargakerja drama Isteri Untuk Disewa atas kejayaan menarik jutaan penonton bagi menonton drama ini.”

“Kami menganggap pengarah mungkin terkhilaf dalam menentukan tajuk dan jalan cerita drama tersebut yang khabarnya diadaptasi daripada sebuah novel. Sekali lagi ditegaskan bahawa kami sama sekali tidak berhasrat untuk menyekat kebebasan dan kreativiti dalam berkarya. Namun, seeloknya biarlah ianya selari dengan agama dan budaya ketimuran kita.”

“Sepertimana yang telah kami nyatakan di hadapan para artis dan selebriti tanahair dalam program “A Night With Mufti” di Istana Budaya pada Ramadhan lalu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sentiasa membuka pintu dan ruang kerjasama dalam memartabatkan industri seni tanahair. “Dinding” antara seni dan agama wajar dipecahkan bagi mengangkat budaya dan faham seni yang berkualiti serta berdaya saing.”

Untuk membaca artikel penuh Qalam Mufti #17 Tentang Drama Isteri Untuk Disewa, anda boleh klik disini.

– Munsyeed

 

 

APA KATA ANDA?

Loading Facebook Comments ...
Loading Disqus Comments ...
Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response