0 comments

TV Hijrah Perkenal Tiga Slot Baharu Bermula November 2018

by on November 12, 2018
 

Tirai 2018 bakal berlabuh. Namun ini tidak menjadi penghalang buat TV Hijrah untuk memperkenalkan tiga slot baharu November ini iaitu Slot Interaktif, Slot Wanita dan Slot 10 malam.

Zainal Rashid Ahmad

Pembaharuan ini dibuat sejajar dengan komitmen TV Hijrah untuk mengetengahkan elemen Rahmatan Lil ‘Alamin (pembawa rahmat ke seluruh alam) di dalam gerakan dakwah menerusi penerbitan rancangan –rancangannya.

Menurut Zainal Rashid Ahmad, Naib Presiden Kanan Kandungan dan Komersial TV Hijrah, “memberikan pemahaman kepada penonton tentang konsep dasar agama Islam iaitu konsep Rahmatan Lil ‘Alamin (pembawa rahmat ke seluruh alam) ini adalah satu tanggungjawab.

“Justeru, saya melihat bahawa pembaharuan ini wajar demi memastikan penonton mendapat intipati yang tepat menerusi slot-slot baharu yang akan dilancarkan November akan datang.” ujurnya.

“Sebagai permulaan, TV Hijrah menawarkan tiga slot baharu. Secara berperingkat, kita akan terus memberi inspirasi buat kumpulan remaja, kanak –kanak dan segenap lapisan masyarakat Malaysia.” tambahnya lagi.

SLOT INTERAKTIF

Slot Interaktif yang bersiaran bermula 1 November 2018, tepat jam 7 pagi hingga 8 pagi akan diisi dengan dua program baharu iaitu rancangan Assalamualaikum Interaktif pada setiap hari isnin hingga khamis dan Tadabbur Al-Quran pada hari jumaat.

Menerusi slot interaktif, sisi rohani penonton TV Hijrah akan diisi dengan pelbagai persoalan agama dan Al-Quran melalui perbincangan secara dua hala bersama ustaz-ustaz personaliti yang akan kekal menemani mereka sepanjang satu jam siaran.

SLOT WANITA

Rancangan Nota Az-Zahra, Dr. OZ Show Women Edition, Soal Wanita, Masam-Masam Manis adalah antara rancangan khusus buat wanita yang pernah diterbitkan di TV Hijrah dahulu.

TV Hijrah berhasrat mengembalikan memori penonton setianya dengan menghidangkan sebuah program bertajuk Pink Point. Pink Point akan bersiaran secara langsung bermula 5 November 2018 lalu, setiap hari isnin hingga jumaat, pukul 2 petang hingga 3 petang.

Pink Point adalah sebuah rancangan bual bicara separa realiti yang mengangkat dimensi kewanitaan dengan memberi ruang dan peluang kepada hos dan penonton di studio untuk membincangkan isu-isu yang memperkasakan citra wanita.

Objektif utama penerbitan rancangan ini selain daripada menyantuni penonton-penonton wanita, program Pink Point ini juga akan mencari asbab kepada perubahan struktur sosial dan impak kepada wanita masa kini.

Rancangan Pink Point meletakkan Azidah Mohamed, wajah yang tidak asing lagi di TV Hijrah sebagai pengemudi rancangan sambil ditemani panel-panel hebat seperti Dr. Fauziah Hassan (aktivis kemanusiaan), YB Yeow Bee Yin, Erma Fatimah, Amy Mastura, Erra Fazira, Siti Hanisah Sharudin (pendaki gunung Everest), YB Fahmi Fadzil dan ramai lagi.

Pink Point akan diwarnai dengan tiga segmen utama iaitu Segmen Isu Nasional, Segmen Cadangan Solusi dan Segmen Cerita Inspirasi.

SLOT 10 MALAM

Dua rancangan baharu bakal mewarnai slot 10 malam iaitu rancangan Sila Duduk Jangan Lari dan rancangan Analisis.

Rancangan Sila Duduk Jangan lari akan bersiaran setiap hari Isnin hingga khamis, manakala rancangan Analisis pula akan disiarkan pada setiap Jumaat, jam 10 malam hingga 11 malam.

Kedua-dua program bual bicara ini sedikit berbeza dengan program bual bicara yang pernah ditayangkan sebelum ini di stesen TV Hijrah.

Sila Duduk Jangan Lari memilih pendekatan santai, humor, interaktif dan provokatif dalam membicarakan isu-isu semasa negara termasuk isu agama, kekeluargaan, ekonomi, hiburan dan lain-lain.

Zainal Rashid Ahmad berkata, “untuk memastikan panel-panel jemputan yang terdiri daripada Menteri, ahli perniagaan, ahli politik, selebriti dan instafamous menjawab secara terbuka kesemua soalan-soalan cepu emas yang dilontarkan kepada mereka bukanlah satu kerja mudah.” Katanya.

“Oleh yang demikian, kami meletakkan dua hos rancangan yang terkenal dengan kebijaksanaan mengawal perbincangan secara siaran langsung iaitu Farah Adeeba dan juga Abu Talib Husin.

“Secara tertib, soalan-soalan panas akan diutarakan tanpa prejudis dengan tujuan memberi ilmu dan maklumat kepada penonton.” terangnya.

Sila Duduk Jangan Lari sedikit berbeza dengan rancangan siaran langsung Analisis.
Analisis adalah sebuah program bual bicara serius yang membincangkan isu semasa dengan lebih mendalam bersama pemikir-pemikir muda, pemimpin-pemimpin politik, ilmuan serta agamawan negara.

Syafinaz Yunus yang bertindak selaku hos rancangan akan memastikan pertukaran pendapat yang berlaku semasa bual bicara berlangsung akan memberi perspektif yang pelbagai dan nilai tambah kepada kehidupan seharian penonton.

Jadi, jangan lupa untuk terus bersama TV Hijrah pada bulan November ini. Pastinya banyak ilmu dan informasi menanti penonton semua.

APA KATA ANDA?

Loading Facebook Comments ...
Loading Disqus Comments ...
Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response