0 comments

Gabungan NowSeeHeart dan Saujana Tampilkan Superband AWLA

by on December 13, 2018
 

Maulidur Rasul yang lalu menyaksikan dua kumpulan nasyid popular tanah air iaitu NowSeeHeart dan finalis Gema Gegar Vaganza, Saujana sekali lagi bergabung di dalam sebuah projek khas superband mereka. Jika sebelum ini peminat pernah diperlihatkan dengan gabungan ini menerusi album Jalan Sehala, kali ini mereka tampil di bawah satu nama baru yang dikenali sebagai AWLA.

Gabungan dua nama besar industri nasyid tanah air di dalam AWLA yang dianggotai oleh Azahari NowSeeHeart, Idzhar NowSeeHeart, Suffian Saujana, Azalinor Saujana dan Zuhaidi Saujana adalah sebuah kolaborasi untuk merakamkan lagu selawat yang berjudul Salamun Alaika. Penampilan pertama kumpulan AWLA dilihat lebih unik apabila ianya turut menampilkan penglibatan bekas peserta Gegar Vaganza 5 yang juga pelakon popular tanah air iaitu Izzue Islam dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri di kawasan Meru, Selangor iaitu YB Ustaz Mohd. Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar bersama-sama mengalunkan Salamun Alaika.

Azahari yang bertindak selaku penerbit, komposer dan penulis lirik Salamun Alaika menyifatkan gabungan AWLA dan kerjasama di antara mereka, Izzue dan YB Ustaz Mohd. Fakhrulrazi adalah amat luar biasa. Ini kerana kolaborasi sedemikian merupakan sesuatu yang julung kalinya dilakukan.

“Gabungan ini sebenarnya cuba untuk memberi mesej bahawa sesiapa sahaja tidak kira kerjaya, perlu memperbanyakkan selawat kepada baginda Rasulullah SAW,” kata beliau.


Menjelaskan lagi keunikan kolaborasi yang cuba diketengahkan oleh AWLA, Suffian Amrin mendedahkan latar belakang kerjaya anggota AWLA dan dua artis jemputan mereka yang menjadikan kolaborasi di dalam karya Salamun Alaika ini sesuatu yang istimewa.

“Saya seorang DJ Radio. Azahari adalah seorang guru. Idzhar pula seorang Perunding Latihan dan Motivasi. Azalinor seorang jurutera IT. Zuhaidi seorang usahawan. Izzue seorang pelakon dan Ustaz Fakhrulrazi adalah seorang wakil rakyat,” jelasnya lagi yang turut mengakui bahawa selawat ke atas Nabi Muhammad SAW adalah tanda cinta kita terhadap baginda.

Bagi Azalinor dan Zuhaidi, peluang begini sukar untuk ditolak. Sememangnya gabungan begini amat istimewa dan menjadi kenangan abadi buat mereka. Selama menghabiskan masa bersama di Novarts Studio di Ara Damansara, banyak perkara dikongsikan, terutamanya berkaitan kerjaya masing-masing yang jelas berbeza.

“Kami mungkin berlainan kerjaya, namun minat kami terhadap muzik dan nyanyian tetap sama,” kata mereka.

Salamun Alaika sebenarnya adalah alunan Selawat Ibrahimiah yang diriwayatkan dalam hadis sahih riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim di samping disuntik dengan lirik bahasa inggeris yang menjadikannya lebih mudah untuk diterima ramai, tidak kira di dalam negara mahupun di luar negara.

“Kami menggunakan bahasa yang universal untuk lebih mendekati semua” kata Izzue Islam yang selesa menyanyikan selawat tersebut.

Izzue Islam ketika ditanya mengenai kolaborasi ini menjelaskan bahawa beliau sememangnya sudah lama berniat untauk menyanyikan sebuah selawat.

“Saya pernah terfikir untuk mengalunkan selawat ini sejak dulu lagi, tak semena-mena abang Azahari beritahu dia ada lagu selawat dan nak ajak Izzue turut serta. Bila dah mendengar lagu itu Izzue terus setuju dan tak sabar-sabar nak rekod.,” kata Izzue Islam teruja bila diberi peluang.

“Selawat hendaklah senantiasa dialunkan oleh setiap orang yang beriman. Kita sering diingatkan untuk berselawat ke atas Nabi setiap masa dalam firman Allah dan hadis Nabi,” kata Ustaz Fakhrulrazi yang setuju untuk bekerjasama apabila ditawarkan oleh penerbit.

Kami difahamkan lagu Salamun Alaika ini juga akan diterbitkan dalam pelbagai versi bahasa dan akan dikongsikan tidak lama lagi. Keputusan untuk menerbitkan selawat tersebut dalam pelbagai versi bahasa dibuat bagi membolehkan semua orang termasuk masyarakat dunia yang berbilang bangsa ini membawakannya di dalam bahasa masing-masing seperti bahasa hindi, perancis, jerman dan lain-lain. Sudah semestinya pendekatan ini mampu mendekatkan masyarakat dari seluruh pelusuk dunia kepada baginda Nabi SAW.

“Saya sendiri menulis liriknya dalam bahasa ibunda,” kata Idzhar.

Jadi, kami menggalakkan anda semua di luar sana untuk turut sama merakam dan memuat naik di platform media sosial mengalunkan Salamun Alaika versi anda. Jom sama-sama kita berselawat!

Tajuk Lagu: Salamun Alaika
Pencipta Lagu: Azahari NSH
Penulis Lirik: Azahari NSH
Penggubah Muzik: Wan Saleh
Studio Rakaman: Novarts Studio
Penerbit Lagu: Azahari NSH
Terbitan: Novarts Production Sdn Bhd

APA KATA ANDA?

Loading Facebook Comments ...
Loading Disqus Comments ...
Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response