0 comments

Artis Nasyid Baru Trending? The Truth Buktikan Lagu Dakwah Mampu Beri Saingan

by on July 5, 2020
 

Sering popular dengan dendangan lagu-lagu cover di laman Instagram dan YouTube, gandingan duo yang ingin dikenali sebagai The Truth kini mahu terus memperluaskan pengaruh positif kepada anak muda menerusi single terbaru berjudul Cinta Sementara.

The Truth yang dianggotai Naufal Isa dan Irwan Fariz memilih karya ciptaan Akmal Mustafa dan susunan muzik oleh Iris Tan sebagai single pertama mereka yang diterbitkan di bawah label TS Records.

Menerusi lagu Cinta Sementara, para peminat mereka bakal diperdengarkan sisi baru manifestasi muzik The Truth yang sarat dengan mesej-mesej positif berimpak.

Penggunaan lirik seperti “Tiada sempurna angan dan cinta dalam mengejar cinta sementara” dan “Tuhan saksikanlah usahaku mencari Mu” turut menyerlahkan lagi keunikan persembahan lagu The Truth di dalam Cinta Sementara.

Irwan The Truth

Menurut Irwan, single The Truth kali ini cuba menyelami realiti pilihan yang sering dihadapi manusia sepanjang kehidupan di dunia.

“Kami cuba menzahirkan perjalanan kehidupan seorang hamba sepertimana musafir yang sedang berkelana.

“Sebagai musafir, perjalanan kita pasti akan bertemu pelbagai persimpangan serta dilema yang menghantui.

“Realiti-realiti inilah yang ingin kami bawakan kepada pendengar The Truth untuk diterokai bersama sepanjang lagu ini,” jelas pemuda kelahiran Sungai Petani, Kedah ini.

Mengulas mengenai transisi mereka kepada The Truth, Naufal ketika ditemui menjelaskan persoalan ini seringkali dibangkitkan oleh peminat di awal kemunculan mereka sebagai The Truth.

Naufal The Truth

“Pada awalnya ramai juga mempersoalkan tindakan kami, tetapi setelah melihat sendiri perubahan serta pembaharuan yang kami cuba bawakan menerusi lagu-lagu cover di YouTube, rata-ratanya memberikan respon yang positif. Mereka inilah yang kini kami panggil Truthfam.

“Alhamdulillah, kami berasa amat beruntung dan bersyukur kerana memiliki peminat yang sangat mendukung tranformasi serta segala usaha yang kami lakukan sehingga ke hari ini.

Dalam perkembangan terbaru, selepas kurang dari 24 jam video muzik Cinta Sementara diterbitkan di laman YouTube, lagu nyanyian The Truth ini telah berjaya meniti tangga carta YouTube trending di Malaysia.

Semestinya ini suatu pencapaian yang baik dan petanda positif, sekaligus membuktikan lagu-lagu dakwah masih lagi diterima baik oleh masyarakat di negara ini.

“Tak dapat dinafikan yang kami berasa amat teruja bila melihat sendiri respon positif yang kami terima daripada peminat terhadap Cinta Sementara.

“Tinggi harapan kami agar pencapaian ini mampu menjadi suntikan semangat kepada pendatang baru industri yang lain untuk berani kehadapan dengan mesej dan pakej yang positif,” kata Naufal.

Cinta Sementara terbitan TS Records kini sedia dimainkan di semua platform muzik digital terkemuka termasuk Joox, Spotify dan Apple Music. Anda juga boleh menonton klip video rasmi Cinta Sementara arahan Aidil Azhar di saluran YouTube rasmi Tarbiah Sentap.

Social Media The Truth
Instagram
Twitter

LIRIK CINTA SEMENTARA

Aku musafir dunia
Berkelana bukan lama
Segala indahnya dunia telah ku amati
Pernah di persimpangan
Kabus menutupi jalan
Hingga mata tertawan pada jalan lain nan indah

Ibarat fatamorgana yang menipu mata
Tapi ku mengerti yang palsu atau benar
Hanya kerana bodohnya aku ingin nikmatinya

KORUS:
Bagaimana hati tak tergoda
Dek cela terhias seri warna
Kelabu mata terpukau jiwa
Lupa musafirku cuma sementara

Sukar aku nafi dan menipu diri sendiri
Dalihku seribu pada cinta hakiki
Hanya kerana bodohnya aku sangka Kau kasihi

KORUS:
Biar timur-barat ku kembara
Gunung lautan ku tempuh jua
Tiada sempurna angan dan cita
Dalam mengejar cinta sementara

Tuhan saksikanlah usahaku mencari-Mu
Kerana kasih-Mu abadi awal dan akhir
Mekarlah selalu agar dapat aku singkir
Cinta selain-Mu sepenuhnya dari hati

APA KATA ANDA?

Loading Facebook Comments ...
Loading Disqus Comments ...
Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response