0 comments

Eksklusif: Devotees Sudah Tidak Sehaluan? Ini Jawapan Halim…

by on March 29, 2021
 

Tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba wujud cakap-cakap yang mengatakan ahli kumpulan nasyid popular, Devotees kini sudah tidak sehaluan.

Difahamkan, cakap-cakap mengenai pepecahan bekas Finalis Anugerah Industri Muzik (AIM) ini muncul apabila ahli-ahli kumpulan Devotees dikatakan sudah tidak lagi aktif menyanyi dan kini sibuk dengan kerjaya masing-masing.

Menurut sumber tersebut, hantaran status terakhir di akaun Facebook rasmi Devotees juga bertarikh 11 Oktober 2020 dan sejak dari itu, Devotees memilih untuk menyepikan diri.

Enggan mempercayai khabar angin ini secara melulu, maka kami terus menghubungi Abd Halim Ahmad, salah seorang ahli kumpulan Devotees untuk mendapatkan jawapan.

Kini Hanya Bertiga

Menurut Halim, khabar angin yang mengatakan Devotees tidak sehaluan itu adalah tidak benar sama sekali. Kumpulan Devotees masih wujud.

“Devotees masih wujud. Cuma, kalau sebelum ini kami berempat, kini kami hanya bertiga. Saudara Muhammad telah mengambil keputusan untuk undurkan diri dari Devotees selepas (program realiti) Gema Gegar Vaganza (GGV) 2018.” ulas Halim.

Last program dengan dia masa kita buat gathering hari raya. Kemudian dia telah berhenti atas sebab mahu tumpukan perhatian kepada keluarga.”

Devotees di program gathering pada tahun lepas. Kredit: Facebook Haim Ahmad.

Devotees Tidak Bergaduh

Tambah Halim lagi, kesemua ahli Devotees masih baik dan tidak bergaduh. Dakwaan kononnya Devotees tidak sehaluan itu tidak benar. Cuma, mungkin masing-masing terikat dengan komitmen masing-masing.

“Kami tidak bergaduh. So far, kita baik (dengan) semua. Jadi kami kini tinggal bertiga. Adi masih di TV Alhijrah. Shauqi pula bekerja di Kementerian Pengajian Tinggi dan beliau semakin sibuk.”

“Jadi Devotees (masih) ada. Cuma (mungkin) tidak digerakkan (buat masa ini).”

“Bila kita ada material, kita akan usulkan dalam kumpulan (untuk direalisasikan). Tetapi bergantung kepada masa dan komitmen masing-masing.”

“Kadang-kadang ada yang boleh (direalisasikan), ada yang tak boleh. So, walaupun tinggal bertiga, agak sukar untuk susun jadual. Itu menyebabkan Devotees ada, tetapi macam tak ada.”

Sedap lagu terakhir Devotees ini. Erti Bahagia – Devotees.

Mahar Cinta 2021?

Apabila ditanya mengenai projek terbaru Devotees, Halim menjelaskan bahawa Devotees sebenarnya telah merakamkan semula sebuah lagu Devotees dari album pertama berjudul Mahar Cinta. Lagu tersebut telah diberi nafas baharu dan susunan muzik baharu yang lebih segar.

Actually kita ada buat remake lagu Mahar Cinta pada tahun 2018. Selepas lagu Kekasih (Halim Version) meletup pada tahun 2018, kita ada bincang dengan Devotees untuk remake lagu Mahar Cinta yang memang sound dia lain. Dah siap master semua.” (Baca: Netizen Terkesan Dengan Lakonan Halim, Ardell Aryana Dalam Video Muzik Kekasih)

“Lepas tu kita ada buat video klip simple. Tetapi saya rasa tak mencapai piawaian dan agak rushing sebab kita sendiri shoot, kita sendiri yang berlakon. Ada jalan ceritanya, ada sinematografinya. Tetapi dalam keadaan rushing dan saya tak puas hati sangat jadi saya tak release lagi.”

“Bendanya sudah siap. Cuma belum release.”

So far, itulah (terbaru mengenai Devotees). Untuk single-single lain, saya tak nampak lagi kita ada plan (ke arah itu).

Agaknya bila lagu Mahar Cinta versi baharu ini akan terbit ya? Adakah tahun ini?

Tidak mengapa, nanti kami ‘bisik-bisik’ kepada Kerabat Devotees untuk push Devotees terbitkan lagu tersebut pada tahun ini. Yang penting, pastinya ramai menarik nafas lega apabila Devotees menafikan khabar angin tersebut.

Devotees bukanlah nama kecil dalam industri. Pernah menjadi finalis Top 5 dalam AIM 18 menerusi lagu Hadirnya Cinta, Tempat Ke-3 dalam Nasyid Minggu Ini (NMI) 2006 dan finalis Anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian (ABPBH) selama dua tahun berturut-turut. Walaupun menghadapi pelbagai mehnah dan tribulasi sewaktu menghasilkan album pertama dahulu, kumpulan Devotees antara bintang yang bersinar dalam industri muzik Malaysia apabila lagu-lagunya mendapat tempat di stesen radio tempatan pada ketika itu.

Kami berharap, Devotees akan terus ‘Berjalan Tanpa Henti’, Mana tahu, Mahar Cinta 2021 boleh dicalonkan dalam Anugerah Nasyid Malaysia (ANAM) 2021. – Munsyeed

APA KATA ANDA?

Loading Facebook Comments ...
Loading Disqus Comments ...
Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response