0 comments

Rindu Humaira’ Buah Tangan Terbaru Munif Hijjaz

by on March 5, 2021
 

Mungkin ramai yang mula perasan, Munif Hijjaz kini giat menerbitkan single baru. Yang terbaru, baru sahaja dilancarkan iaitu lagu berjudul Rindu Humaira’, nyanyian duet Haji Munif bersama Maliq Suhaimi. Ianya merancakkan lagi koleksi dan khazanah berharga buat peminat nasyid.

Saya kerap bersembang dan bergurau dengan Haji Munif. Orangnya nampak garang, tapi kelakar juga bila sudah kenal. Bila saya melihat video klip terbaru beliau Rindu Humaira’ itu, kedua-dua penyanyi memakai sorban sepenuhnya, saya bergurau kepadanya “persediaan zaman daulah sheikh”, dia mengiyakan sahaja. Maklumlah, dahulu semasa beliau di Nada Murni, sememangnya sorban itu pakaian rasmi yang dipakai.

Ustaz Maliq Suhaimi sahabat mutawwif saya sememangnya memiliki kekuatan vokal yang padu. Apabila berganding bersama penasyid legenda seperti Haji Munif, menjadikan kombinasi lagu ini memang terbaik, sementelahan suara Maliq Suhaimi juga persis Allahyarham Asri Rabbani.

Saya tidak berhajat untuk komen berkaitan kepaduan suara kerana sememangnya ia satu kombinasi mantap. Jika anda mahu membaca perihal komentar tentang suara, vokal, gubahan muzik, dan seumpamanya, mungkin ada pihak lain yang akan membuatnya.

Saya lebih berminat untuk menyelusuri apa mesej yang ingin disampaikan dalam lagu ini. Maksud yang lebih tepat adalah, lirik lagu ini mahu membawa mesej apa? Kita sebagai pendengar akan dapat apa hasil olahan lirik karya Ust Pahrol Md Joiu ini?

Zaman-zaman dahulu saya ini peminat rock juga. Bila mendegar lagu rock, lirik kita tak peduli, asalkan lagu tu menambat halwa telinga kita. Sedangkan banyak sahaja lagu-lagu rock tu liriknya membawa mesej yang baik dan mempunyai nilai dakwah.

Kita telusuri lirik lagu Rindu Humaira ini, peristiwa yang ingin dikaitkan adalah tika mana isteri Rasulullah Aisyah RA sedang berhadapan saat hujung nyawa baginda.

Mungkin kita ada mengetahui serba sedikit perjalanan hidup isteri nabi Aisyah ini. Apa yang dinukilkan dalam lirik lagu Rindu Humaira ini hanyalah secebis daripada sebuah perjalanan panjang Aisyah RA. Kita boleh melabelkan untuk lagu Rindu Humaira ini, penulis lirik membawa pendengar tentang peristiwa bila mana Aisyah sedang berdepan detik kewafatan Rasulullah.

Terdapat juga lagu-lagu lain yang juga membawa mesej tentang Aisyah RA. Contohnya lagu Aisyah Humaira nyanyian UNIC yang mesej utamanya menceritakan tatkala Aisyah dan Rasulullah berdepan fitnah yang menguji institusi kekeluargaan nabi.

Kita mengetahui, kisah kewafatan Rasulullah melibatkan juga watak Aisyah, yang mana pada waktu itu nabi wafat di pangkuan atau ribaan Aisyah. Aisyah merupakan saksi utama dan juga turut meriwayatkan hadis-hadis nabi. Sebagai contoh, hadis daripada Aisyah yang menyatakan apakah perkataan terakhir nabi sebelum wafat, yang mana pada waktu itu Aisyah yang paling rapat bersama nabi.

Daripada Aisyah R.anha berkata:
Maksudnya: “Adapun ucapan terakhir yang diucapkan oleh Baginda SAW: “Allahumma Rafiqul A’la” (Ya Allah, Kekasih Yang Tertinggi).” [Riwayat al-Bukhari (4463)(6348)(6509) dan Muslim (2444)]

Di dalam lirik lagu tersebut, saya memetik antaranya:

“Oh Aisyah masih lara sepuhlah air mata di usia muda”

Di dalam hadis diriwayatkan, Aisyah bernikah bersama Rasulullah ketika berumur enam atau tujuh tahun dan bersama Rasulullah di Madinah ketika usia sembilan tahun.

Diriwayatkan daripada Aisyah RA, bahawa beliau berkata:
Maksudnya: “Rasulullah SAW telah menikahiku ketika umurku enam tahun dan baginda SAW telah bersamaku ketika umurku sembilan tahun”. [Riwayat Muslim, no. Hadith 2547]

Riwayat menyatakan Rasulullah wafat semasa usia Aisyah 18 tahun. Ya, tentunya pada usia tersebut kita boleh katakan masih muda, namun dengan pengalaman dan perkongsian kehidupan Aisyah bersama Rasulullah menjadi beliau seorang yang matang dan berperanan penting dalam sejarah dunia Islam.

Bahkan Aisyah juga turut menyertai siri-siri perang bersama Rasulullah ketika itu. Mengikut sejarah, Aisyah ikut serta dalam peperangan Badar dan Uhud. Ianya memberi gambaran betapa jiwa Aisyah seorang yang tabah dan cekal bersama menegakkan Islam disamping mendokong perjuangan suaminya yang tercinta.

Lantas terdapat bait lirik dalam lagu Rindu Humaira ini yang menyebut tentang kekentalan Aisyah dalam menyertai perang:

“Terus melangkah ke jalan jihadmu, yang pergi jasad bukan cita semangatmu”.

Jika kita menyorot kisah Aisyah selepas kewafatan Rasulullah juga tidak kurang ranjau yang perlu ditempuhinya. Salah satunya kita ketahui bilamana Aisyah terlibat di dalam peperangan saudara dalam sejarah umat Islam yang dikenali dengan Perang Jamal.

Begitulah sedikit sebanyak yang boleh kita ulas perihal lagu terbaru nyanyian Munif Hijjaz dan Maliq Suhaimi ini. Bagi penggemar nasyid, pastinya karya ini menjadikan koleksi terbaru untuk diulang-ulang setiap masa.

Walau apapun, lagu Rindu Humaira’ ini bagi saya padat dengan rempah yang memikat dan diadun dengan gaya tersendiri yang menjadikan lagu ini istimewa. Adakah akan ada lagi sambungan kehidupan Aisyah pada lagu seterusnya? Mungkin ada. Kita serah pada penggiat seni kita untuk berkarya.

Dalam masa sama, kita juga boleh terus menelusuri kisah-kisah Rasulullah, isteri-isteri baginda, keluarga, sahabat-sahabat yang pastinya akan membuatkan kita kagum dengan perjuangan mereka yang terdahulu.

Tahniah buat Haji Munif, Maliq Suhaimi dan seluruh tenaga produksi Rindu Humaira atas penghasilan karya bermutu ini. Teruskan berkarya. Moga Allah merahmati atas semua usaha kita atas niat kerana Allah swt.

APA KATA ANDA?

Loading Facebook Comments ...
Loading Disqus Comments ...
Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response