0 comments

“Saya bukan Nabi, bukan wali, tak terlepas melakukan dosa…” – Dai Syed

by on March 31, 2021
 

Walaupun namanya tidak sunyi dari kontroversi, namun ia tidak menjadi batu penghalang buat Dai Syed untuk terus melangkah kehadapan, memperbaiki diri dan membina kerjaya seninya.

Selepas lagu Albi Nadak dan Ya Aghmal Eyoun meraih jutaan tontonan di Youtube, kini Dai Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Bin Syed Mohd Saiful Jamalullail muncul dengan single terbaru berjudul Ya Habib.

Lagu Ya Habib telah dilancarkan pada 5 Mac lalu di semua platform penstriman muzik digital termasuk Youtube. Menerusi lagu Ya Habib, Dai Syed cuba untuk berkongsi perasaan dan pengalaman beliau sepanjang ditahan ekoran tuduhan jenayah yang dialaminya.

Gangguan emosi yang mendalam diterjemahkan dalam video klip lagu ini yang kini sudah mencecah lebih 700,000 tontonan di Youtube.

Respon yang diterima juga amat memberangsangkan apabila ramai pendengar yang menyukai lagu ini. Tidak kurang juga yang berkongsikan kata-kata semangat supaya Dai Syed bersabar dalam menghadapi ujian hidup.

Isu Dakwaan ‘Menunggang Agama’

Sewaktu pelancaran jenama biskut Asyedap baru-baru ini di Bangi, Selangor, Dai Syed turut memberi respon mengenai tuduhan kononnya beliau mempergunakan agama untuk mengaut keuntungan dalam bisnes yang beliau ceburi.

“Saya bukan nabi, bukan juga seorang wali, tetap melakukan dosa dan sebagainya. Tetapi tetap ada cita-cita untuk memberikan kebaikan kepada orang.”

“Kalau orang tengok kita salah sikit, terus dilabel tunggang agama. Walhal apa yang saya katakan itu datang dari diri untuk menyebarkan elemen positif.”

Tambah Dai Syed lagi, setiap orang mempunyai peranan yang tersendiri untuk berdakwah dan menyebarkan kebaikan melalui medium dan tugas masing-masing.

“Wartawan, penyanyi, peniaga dan semua orang ternyata mempunyai cara tersendiri untuk berdakwah. Peranan tersebut bukan hanya terhad dengan tazkirah dan ceramah semata-mata sebaliknya disebarkan menerusi kebaikan”, ulas beliau lagi.

Biskut Asyedap Hasil Air Tangan Ibu Dai Syed

Bercerita mengenai bisnes biskut jenama Asyedap, Dai Syed menjelaskan bahawa beliau mula menjual biskut yang dibuat oleh ibunya sejak 2017 lagi. Hasil tinjauan kami ke Facebook Dai Syed juga menunjukkan perniagaan biskut ini telah mula diwar-warkan sejak 2017.

Tangkap layar dari Facebook Dai Syed menunjukkan beliau telah mula menjual biskut buatan ibunya sejak 2017.

“Sejak tahun 2017 lagi saya sudah mula meniaga biskut yang dibuat oleh mama. Ketika hadir memberi ceramah dan sebagainya, saya bawa bersama. Alhamdulillah, sebelum pelancaran sudah 12,000 unit terjual.”

Menurut Dai Syed, beliau menyimpan hasrat untuk meluaskan jaringan perniagaan Asyedap ini ke negara jiran cuma semuanya masih dalam perancangan.

“Saya juga mempunyai perancangan untuk melebarkan sayap ke Singapura, Brunei dan Thailand namun perlu melalui beberapa prosedur dahulu. Buat masa ini, ejen dan stokis ada di seluruh negeri bagi memudahkan urusan perniagaan Asyedap,” kata Syed.

Kami juga sempat menonton video klip khas yang dimuatnaik Dai Syed dimana beliau mendedikasikan bisnes biskut Asyedap ini khas untuk ibunya.

Tahniah Dai Syed di atas kemunculan lagu Ya Habib dan produk biskut jenama Asyedap. Semoga setiap jasa dan usaha Dai Syed memuliakan ibunya membuka seribu kebaikan buat dirinya dan keluarga, inshaAllah.

Sumber: Kosmo! Dai Syed Iqmal, Aizat Jaafar.

APA KATA ANDA?

Loading Facebook Comments ...
Loading Disqus Comments ...
Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response