0 comments

“Saya pernah rasa terguris dengan…” – Suhaimi Saad

by on March 23, 2021
 

Baru sahaja muncul dengan lagu Zafeen Solawat, hasil kolaborasi bersama isteri; Ina Naim dan anak-anak, kini Suhaimi Saad sekali lagi muncul dengan lagu terbaru berjudul Aku Bukan Nabi.

Ketika dihubungi pihak Munsyeed, Suhaimi memaklumkan single Aku Bukan Nabi ini telah disiarkan secara eksklusif di Saluran Youtube beliau, MOSUS pada 22 Mac 2021.

Menurut Suhaimi, sebenarnya terdapat cerita disebalik lagu Aku Bukan Nabi ini. Umum mengetahui kontroversi-kontroversi yang melibatkan Suhaimi acapkali menjadi tular dan sohor kini di media sosial. Dari isu Belajar Dari Rumah (“home schooling”) sehinggalah ke isu vaksin, Suhaimi menerima kecaman teruk dari pihak netizen yang tidak bersetuju dengan pendapat dan pendirian beliau.

“Selepas viral demi viral, saya pernah rasa terguris dengan sebahagian netizen yang tak henti-henti mencari, menulis dan menyebarkan berita dan cerita buruk tentang diri saya dan keluarga. Seolah-olah tak ada langsung kebaikan dan jasa. Semuanya salah dan dosa.”, keluh Suhaimi.

“Bila mereka seolah-olah mengharap yang baik, yang elok, suci dan sempurna, akhirnya saya up satu status, pendek tapi sangat bermakna – Aku Bukan Nabi. Dari situ, saya dapat ilham untuk tulis lagu ini. Ia luahan hati saya. Saya fikir, kalaulah Nabi s.a.w yang mulia dan sempurna pun dikecam, diaibkan dan difitnah, siapalah saya kan (manusia biasa).”

“Jadi, lagu ini juga sebenarnya sedikit sebanyak sebagai satu bidasan saya terhadap netizen yang tidak henti-henti mengecam. Saya berharap dengan banyaknya isu dan dugaan yang sedang berlaku ini, netizen akan belajar sesuatu. Berubah dan buanglah sikap suka mencari dan menyalahkan orang lain. Sama-sama perbaiki diri sementara nyawa masih dibadan.” ujar Suhaimi.

Bercerita mengenai lagu Aku Bukan Nabi, Suhaimi memaklumkan bahawa rakaman lagu ini telah dibuat di K Seventh Studio, Kota Bahru, Kelantan. Untuk lagu Aku Bukan Nabi ini, Suhaimi menggunakan khidmat Ruby untuk susunan muzik. Manakala mixing pula dibuat oleh K Yo.

Lagu Aku Bukan Nabi buat masa ini hanya boleh didapati di saluran Youtube sahaja dan para pendengar boleh melayari saluran Youtube MOSUS untuk mendengar lagu Aku Bukan Nabi. Selain itu, lagu-lagu daripada Kumpulan Bismillah yang bakal terbit tidak lama lagi juga akan disiarkan secara eksklusif di saluran Youtube MOSUS. Oleh itu, jangan lupa klik butang ‘Subscribe’.

APA KATA ANDA?

Loading Facebook Comments ...
Loading Disqus Comments ...
Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response