0 comments

Siti Nurhaliza Seronok Rakam Lagu Kanak-Kanak, Teringat Kenangan Sewaktu Kecil

by on March 22, 2021
 

Jika anda baca artikel kami sebelum ini (Baca: Selepas Comel Pipi Merah, Siti Nurhaliza Bakal Tampil Single Terbaru Lagu Kanak-kanak), ternyata telahan kami jauh tersasar apabila Dato’ Sri Siti Nurhaliza sebenarnya melancarkan single terbaru yang merupakan medley lagu-lagu klasik kanak-kanak berjudul Medley Klasik Siti (1).

Medley Klasik Siti (1) ini terdiri daripada lagu-lagu klasik kanak-kanak yang malar segar seperti Buai Laju-Laju, Tepuk Amai-Amai, Suriram dan Bunga Matahari. Untuk lagu ini, Siti memberikan kepercayaan penuh kepada penerbit muda yang berbakat besar, Pown Hasril. Untuk rekod, Siti pernah bekerjasama dengan Pown Hasril sewaktu persembahan dalam talian #MuzikDariRumah sempena PKP 2020 untuk lagu Cindai dan Aku Cinta Padamu.

Sewaktu ditemui media di Majlis Pelancaran Single Medley Klasik Siti (1), Siti menyatakan bahawa lagu Medley Klasik Siti (1) ini bakal dimuatkan dalam album kanak-kanak berjudul Legasi yang bakal berada di pasaran bermula 1 April 2021.

Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan Siti Aafiyah sewaktu di Majlis Pelancaran Single Medley Klasik Siti. Kredit: Siti Nurhaliza Productions.

Warisan Lagu Klasik Kanak-Kanak Buat Generasi Baru

Menurut Siti, penerbitan single dan album kanak-kanak ini merupakan usaha beliau bagi melestarikan lagu kanak-kanak klasik supaya terus diingati dan menjadi warisan generasi akan datang.

Selain itu, sebagai penyanyi yang telah bergelar ibu, Siti berpendapat lagu atau muzik kanak-kanak mempunyai impak positif bagi membantu proses perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak. berdasarkan pemerhatian, kanak-kanak dilihat lebih cepat dan peka mempelajari bahasa, kreativiti, motivasi dan tunjuk ajar.

“Apa yang penting adalah mesej yang kita sampaikan di dalam sesebuah lagu. Anak-anak ini akan cepat belajar dan memahami (menerusi lagu), justeru dalam lirik lagu kanak-kanak termasuk olahan lirik terbaharu, saya memberikan mesej yang baik serta berguna.” ujar Siti yang anggun berpakaian sedondon dengan Siti Aafiyah pada majlis tersebut.

Nostalgia Lagu Yang Sering Dinyanyikan Siti Sewaktu Kecil

Single Medley Klasik Siti (1) merupakan lagu kanak-kanak yang sering dinyanyikan oleh Siti dan rakan-rakan sewaktu tinggal di berek polis di Kuala Lipis suatu ketika dahulu.

Nostalgia puluhan tahun lalu diabadikan oleh beliau di dalam sebuah lagu dan beliau berharap agar Siti Aafiyah dapat mendengar dan menikmati lagu kanak-kanak tersebut.

Lebih istimewa, single terbaharu Siti mendapat kerjasama dan tajaan video muzik bagi memperkenalkan produk terbaharu keluaran Beausiti dan Wonderlab iaitu Beaukids. Beaukids adalah rangkaian produk minuman terbaharu iaitu Minuman Jeli Aafiyah yang diperbuat dari puri buah strawberi.

Pra-Tempah CD Legasi di SNP On Pay

Menyentuh mengenai album Legasi yang bakal berada di pasaran pada 1 April 2021 nanti, Siti menjelaskan penjualan pra-tempah CD fizikal dan ‘boxset‘ telahpun dibuka bermula 18 Mac 2021 di SNP On Pay iaitu platform perniagaan dalam talian Siti Nurhaliza Productions. CD yang ditempah di platform SNP On Pay akan mula diedarkan kepada para pembeli bermula 1 April 2021.

Disamping itu, album Legasi ini juga akan turut berada di platform penstriman muzik digital yang sah bermula 1 April 2021 dengan kerjasama Siti Nurhaliza Productions dan Universal Music Sdn Bhd selaku pengedar yang dilantik oleh pihak SNP.

Siti ‘Enjoy‘ Sewaktu Merakamkan Album Legasi di Studio

Ujar Siti, beliau berharap agar album Legasi ini tidak disamakan dengan album komersil beliau yang lain. Penerbitan sebuah album komersil pasti tidak sama dengan album kanak-kanak yang lebih bersifat santai dan berbeza dalam banyak aspek serta pemilihan. Pun begitu, ia tidak bermakna Siti mengenepikan faktor kualiti dalam penerbitan album kanak-kanak ini.

“Saya tetap mengutamakan kualiti muzik, bunyi dan gubahan yang baik dalam sesebuah lagu. Album Legasi ini mempunyai keseronokan tersendiri bagi saya sewaktu di dalam studio. Apa yang penting, saya sangat berpuas hati dengan hasil kerja dan usaha yang dibuat oleh Pown Hasril selaku penerbit bersama pasukan kerjanya.”

Tidak dinafikan, apabila mendengar lagu Medley Klasik Siti (1) ini, pendengar akan terbuai dengan alunan lagu klasik kanak-kanak yang disampaikan oleh Siti dengan santai dan ceria. Kita dapat rasa betapa ‘enjoy‘ nya Siti dalam menyampaikan lagu kanak-kanak tersebut.

Medley Klasik Siti – Dato’ Sri Siti Nurhaliza. Kredit: SNP.

Album Legasi mengandungi 9 buah track termasuk intro dodoian atau lullaby. Selain lagu Comel Pipi Merah yang dicipta khas buat Siti Aafiyah, Siti turut memuatkan sebuah lagu istimewa untuk anak yang bakal dilahirkan yang diberi judul Anakanda.

Lagu-lagu lain yang bakal dimuatkan dalam album Legasi ini adalah Anakku Sayangku (lagu asal Anakku Sazali), Medley Klasik Siti (2), Bintang Kecil dan Burung Kakak Tua.

APA KATA ANDA?

Loading Facebook Comments ...
Loading Disqus Comments ...
Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response