0 comments

Zafeen Solawat – Suhaimi Kembali Berkumpulan?

by on March 3, 2021
 

Setelah kejayaan lagu Anta Permana yang dinyanyikan Dato’ Sri Siti Nurhaliza di Anugerah Juara Lagu ke-34 tahun lepas, lagu-lagu irama Malaysia kini kembali mendapat tempat di hati pendengar. Industri kembali diwarnai dengan lagu-lagu irama tradisional yang mendapat sentuhan moden seperti Canggung nyanyian Wany Hasrita, 7 Nasihat oleh Dato Sri Siti Nurhaliza Kmy Kmo & Luca Sickta dan terbaru album Belagu dari Dayang Nurfaizah.

Tidak melepaskan peluang, Suhaimi Saad dan Ina Naim berkolaborasi bersama anak-anak mereka menerusi lagu zapin yang berjudul Zafeen Solawat.

Zafeen Solawat merupakan single pertama untuk kumpulan Bismillah yang dianggotai Suhaimi Saad, Ina Naim, Ehmad hadie Elfardie (13 tahun), Sallman Elkhoyri (11 tahun), Phyrosh Elfadwah (9 tahun) dan Nur Laila Elghufrony (7 tahun).

Menurut Ina, beliau bersyukur apabila lagu Zafeen Solawat ini mendapat respon yang menggalakkan dari peminat apabila video lirik lagu Zafeen Solawat berjaya mencapai lebih 20,000 tontotan dalam seminggu dilancarkan.

“Alhamdulillah, penerimaan terhadap lagu Zafeen Solawat ini sangat baik dari peminat-peminat dan Ina rasa ia satu permulaan yang baik untuk kumpulan Bismillah.”

Dalam pada itu, suami Ina; Suhaimi Saad menjelaskan idea lagu Zafeen Solawat ini muncul setelah melihatkan penerimaan baik para peminat terhadap lagu Zapin Zikir dari album solo pertama Suhaimi.

“Dalam album pertama dulu, saya pernah rakam lagu zapin. Ramai yang suka. Jadi, selepas 15 tahun, saya rasa nak ketengahkan semula lagu genre sebegini. Tambahan, saya memang meminati lagu asli Melayu.”

Tambah Suhaimi, pada mulanya beliau merancang untuk menyanyikan lagu ini secara duet dengan Artis No.1 Negara; Dato Sri Siti Nurhaliza. Akan tetapi, atas sebab-sebab tertentu, beliau akhirnya mendapat ilham untuk berduet dengan isteri dan anak-anaknya.

“Mula-mula saya bagi anak-anak buat back-up vocal sahaja. Tetapi bila mereka nyanyi, macam kena pula suara mereka dengan lagu ini. Setelah berbincang dengan Ina, saya buat keputusan untuk buat group baru dan semua setuju.”

Lagu Zafeen Solawat ini merupakan ciptaan sepenuhnya Suhaimi Saad. Manakala susunan muzik mendapat sentuhan arranger berpengalaman dari Indonesia, Ruby.

“InshaAllah lagu Zafeen Solawat ini akan dimuatkan dalam album pertama kumpulan Bismillah yang akan terbit pada awal Ramadhan tahun ini. Setakat ini, rakaman untuk lagu-lagu dalam album tersebut sudah 60%. Diharapkan, album ini nanti mendapat sambutan menggalakkan daripada para peminat, inshaAllah.”

– Munsyeed Dot Com.

APA KATA ANDA?

Loading Facebook Comments ...
Loading Disqus Comments ...
Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response