0 comments

“Dengar rangkap pertama pun dah ‘menangkap’…” Ini Sebab Mengapa Anda Perlu Dengar Lagu Terbaru Isman Hijjaz

by on April 2, 2021
 

Sejak mula disiarkan di Youtube, kami tidak henti-henti mengulang dengar lagu terbaru Isman Hijjaz ini. Rangkap pertama sahaja sudah menangkap! Mungkin kerana kami membesar dengan lagu-lagu ciptaan Isman sebelum ini dan kreativiti Isman yang bijak membaca selera pendengar, maka lagu ini terasa seperti dekat dengan kami selaku pendengar.

Isman Hijjaz hari ini melancarkan lagu solo pertama beliau berjudul Ijabah. Ijabah yang bermaksud perkenankan, merupakan sebuah lagu ciptaan Isman sendiri manakala lirik dihasilkan oleh Isman dan UMI (Ustaz Izzat).

Karya terbaru Isman ini mendapat perhatian ramai kerana Isman terkenal dikalangan peminat nasyid sebagai komposer lagu nasyid hits! Hasil karyanya mudah melekat di telinga para pendengar. Lihat sahaja lagu-lagu ciptaannya seperti Kasih Kekasih dan Hanya Tuhan Yang Tahu, menjadi siulan ramai sehingga menaikkan nama kumpulan Inteam dan UNIC pada masa itu.

Akan tetapi, untuk lagu Ijabah ini, Isman tidak lagi menggunakan nama pena Manis Helma atau Manis Alia seperti kebiasaan. Beliau kini menggunakan namanya sendiri – Isman Isam.

Bercerita mengenai lagu Ijabah ini, Isman mengakui, lagu ini pada asalnya hanya lagu ‘main-main’ sahaja. Beliau mendapat ilham lagu Ijabah ini sewaktu beliau berada di Mekah.

“Saya dapat ilham melodi dengan content sewaktu saya di Mekah. Ijabah ini bermaksud perkenankanlah. Orang pergi Mekah dan Madinah untuk berdoa supaya Allah perkenankan. Sebagai seorang hamba, kita kena yakin yang kita berdoa ini, Allah akan terima. Jangan sangka buruk dengan Allah. Macam mana kita jahat pun, kita berdoa (dan) kita yakin Allah terima. Sebab Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang”, kata Isman.

Ketika ditanya mengenai jemputan persembahan kumpulan Hijjaz, Isman memaklumkan bahawa jemputan untuk membuat persembahan tidak sekerap sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu. Akan tetapi, Hijjaz masih terima undangan persembahan secara fizikal di atas pentas mahupun secara maya atau dalam talian.

“Sebenarnya PKP ini ujian Allah kepada kita. Rezeki yang tertangguh buat kita. Masa PKP bulan 3 (tahun lepas, 2020), kami (Hijjaz) ada show di Brunei, Jakarta dan Australia tetapi tertangguh semua sebab (pelaksanaan) PKP.”

“Bila longgar sedikit hari tu, ada semula show. Kemudian PKP balik, tak ada show. Tetapi tidak mengapa. Bukan kami sahaja terkesan, tetapi semua (juga turut terkesan). Dari Perdana Menteri sampailah rakyat biasa, semua terkesan dengan PKP, aktiviti terbatas. Jadi saya bersangka baik dengan Allah,” ulas Isman lagi.

Lagu Ijabah sudah mula berada di platform penstriman muzik digital bermula hari ini, jam 5.00 petang. Video muzik Ijabah juga sudah berada di laman Youtube MVM Music.

Sumber: Isman Hijjaz, Saiful Nizam.

APA KATA ANDA?

Loading Facebook Comments ...
Loading Disqus Comments ...
Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response