0 comments

Elite Bakal Tampil Dengan Lagu Ketuhanan Berjudul Alhamdulillah

by on April 3, 2021
 

Setelah lama menyepi, kumpulan Elite bakal membuat kemunculan semula menerusi sebuah lagu ketuhanan berjudul Alhamdulillah. Lagu Alhamdulillah ini akan diterbitkan dibawah label Imaan Music yang merupakan label rakaman untuk lagu-lagu Islamik dibawah KRU Music.

Menariknya, Elite akan menampilkan kesemua penyanyi asal kumpulan tersebut bagi projek lagu ini.

Ketika ditanya mengenai kemunculan semula Elite, salah seorang ahli kumpulan, Abby Abadi menjelaskan ini merupakan peluang keemasan untuk mereka kembali bersatu (‘reunion’) dan membuat kemunculan semula dengan lagu baharu.

“Saya anggota paling awal mengundur diri. Jadi, jika dihitung hampir 20 tahun anggota asal kumpulan Elite tidak bersatu. Selalunya (jika membuat persembahan atau reunion) pasti ada ahli yang tidak lengkap.” kata Abby.

Tambah Abby lagi, plan untuk membuat kemunculan semula ini sudah lama dirancang dan ini merupakan masa yang tepat bersempena 25 tahun Elite berada dalam industri.

“Memang agak teruja untuk kembali beraksi bersama selepas sekian lama merancang. Penyatuan semula Elite adalah masa tepat yang Tuhan sudah susun untuk kami.”

“Kami semua bersetuju untuk muncul dengan single terbaharu ini kerana (lagu) konsep Islamik dan mesej yang baik dalam lagu ini. Sesuai dengan ketibaan Ramadan tidak lama lagi, kami berharap dapat menyebarkan perkara-perkara positif kepada peminat yang sudah lama menantikan kemunculan semula Elite,” ujar Abby lagi.

Pun begitu, ini bukanlah bermakna Elite akan bertukar identiti menjadi kumpulan nasyid. Watie berkata, sungguhpun mereka tampil dengan lagu ketuhanan, tetapi identiti Elite sebagai kumpulan rap wanita masih kekal.

“Identiti setiap lagu Elite adalah rap, jadi dalam lagu Alhamdulillah ini kami masih mengekalkan konsep sama,” jawab Watie.

Ditanya mengenai cabaran merekodkan lagu Alhamdulillah ini, Watie berkata, proses rakaman berjalan lancar walaupun mereka sudah lama tidak merekodkan lagu di studio.

“Sudah lama tidak menyanyi dan masuk ke studio rakaman, agak mencabar untuk kami semua. Namun, proses rakaman dan rakaman video muzik berjalan dengan pantas. Harap peminat akan menyukai lagu terbaharu kami,” jelas Watie.

Lagu Alhamdulillah akan mula berada di semua platform penstriman muzik digital yang sah pada 19 April 2021. Jadi, buat peminat Elite, nantikan kemunculan lagu terbaru tersebut.

Sumber: Harian Metro.

APA KATA ANDA?

Loading Facebook Comments ...
Loading Disqus Comments ...
Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response