0 comments

JAKIM Pandang Serius Isu Iklan Promosi Judi, Gesa Umat Islam Tidak Tularkan Video Tersebut

by on April 17, 2021
 

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memandang serius dan menentang keras perbuatan mempromosi aktiviti judi di kalangan umat Islam. Iklan judi yang dibuat sempena Hari Raya Aidil Fitri tersebut dilihat seolah-olah mengajak umat Islam untuk mencuba aktiviti judi yang jelas dilarang keras di dalam Islam.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ketua Unit Komunikasi Korporat JAKIM, JAKIM menyeru agar umat Islam tidak menularkan video tersebut kerana ianya akan memberi kesan yang tidak baik kepada masyarakat. JAKIM juga turut menggesa agar pihak berkuasa mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pihak yang bertanggungjawab dengan penerbitan video tersebut.

Difahamkan, Suruhanjaya Komunikasi dan Muktimedia Malaysia (SKMM) telah mengambil tindakan pantas dengan menyekat klip video tersebut daripada terus tular di media sosial. Pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) juga telah membuka kertas siasatan berhubung perkara ini dan kes disiasat dibawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.

Berikut dimajukan Kenyataan Media yang dikeluarkan oleh JAKIM pada 16 April 2021.

Bil.10/2021

1. Pada hari ini, telah tular satu video yang dipercayai mengandungi iklan judi sempena Hari Raya Aidil Fitri. Video tersebut telah menimbulkan kegusaran dan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat khususnya umat Islam di negara ini.

2. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memandang serius dan menentang keras perbuatan seumpama ini sekiranya benar ia berlaku lebih-lebih lagi ketika umat Islam di negara ini sedang menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan yang mulia ini.

3. Justeru, JAKIM menyokong usaha pihak yang berwajib dalam mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam perkara ini mengikut lunas undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

4. JAKIM juga menyeru kepada seluruh masyarakat khususnya umat Islam agar tidak menularkan video tersebut kerana ia boleh memberikan kesan yang tidak baik. Umat Islam juga dinasihatkan agar tidak terlibat dalam apa jua aktiviti perjudian termasuklah membantu dalam mempromosikan perjudian yang jelas bertentangan dengan Hukum Syarak.

Sekian, terima kasih.

Ketua Unit Komunikasi Korporat
b.p Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
16 April 2021

APA KATA ANDA?

Loading Facebook Comments ...
Loading Disqus Comments ...
Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response