0 comments

Jejak Rasul 2021 Kembali, Menyusuri Perjalanan Dakwah Islam di Tanah Melayu

by on April 17, 2021
 

TV3 kembali lagi dengan rancangan dokumentari Islam paling popular, Jejak Rasul. Berkonsepkan Al-Ulama’ Warathatul Anbiya’ (Ulama Pewaris Nabi), Jejak Rasul 2021 bersiaran pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, jam 6.30 petang bermula 9 April 2021 dengan dihoskan oleh personaliti TV popular, Ahmad Fedtri Yahya.

Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini yang mana rakaman dokumentari dibuat di luar negara terutama negara Arab, Jejak Rasul 2021 akan membawakan kesinambungan dakwah Islamiah di Tanah Melayu seawal kurun pertama Hijriah. Terletak di laluan dagang sutera laut yag menghubungkan dunia timur dan barat, pelabuhan-pelabuhan di daerah pesisir Tanah Melayu pada ketika itu dipercayai menjadi pintu masuk kepada alim ulama ke Tanah Melayu.

Krew penerbitan Jejak Rasul 2021. Kredit: Ahmad Fedtri Yahya, Penerbitan Jejak Rasul 2021.
Krew penerbitan Jejak Rasul 2021. Kredit: Ahmad Fedtri Yahya, Penerbitan Jejak Rasul 2021.

Sama ada mereka daripada golongan Sadah, Arabi Hadrami Yemeni, Baghdadi, Parsi, Pasai, Patani, Makassari atau Minangkabawi, mereka adalah alim ulama yang telah merintis laluan dakwah, membina hubungan rapat dengan kesultanan Melayu sekaligus menghubungkan jejak-jejak anbiya’ dan Rasul A.S. ke Tanah Melayu penuh hikmah dengan jayanya, dari abad ke abad bersilih ganti.

Penceritaan Jejak Rasul 2021 akan bersandarkan kepada kajian tiga orang pakar dari Pusat Kajian Bahasa Arab dan Tamadun Islam Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia. Tiga orang pakar tersebut adalah Dr Farid Mat Zain, Prof. Madya Dr. Ermy Azziaty Rozali dan Dr Izziah Suryani Arshad yang telah menghasilkan pelbagai kajian ilmiah berkaitan sejarah alim ulama di Malaysia.

Mereka juga antara ahli pasukan Pengkaji FPI UKM yang telah bekerjasama dengan Media Prima menyumbang hasil kajian semasa pembikinan siri Ulama Nusantara tajaan Khazanal Nasional yang ditayangkan di Metro TV Indonesia pada tahun 2016-2017.

Dalam rancangan Jejak Rasul 2021, pihak penerbitan telah mengenalpasti lokasi dan mendapatkan responden tempatan yang berautoriti seperti Mufti dan waris keturunan tokoh ulama silam di lapan buah negeri yang terlibat iaitu Kedah, Perak, Pahang, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan dan Melaka.

Jejak Rasul 2021. Kredit: Ahmad Fedtri Yahya, Penerbitan Jejak Rasul 2021.
Jejak Rasul 2021. Kredit: Ahmad Fedtri Yahya, Penerbitan Jejak Rasul 2021.

Dalam 3 episod awal pada minggu lepas, Jejak Rasul 2021 menyusuri sejarah kedatangan Islam dan kesinambungan dakwah yang dibawa oleh alim ulama di negeri Kedah Darul Aman, negeri tua yang kaya dengan peninggalan sejarah.

Sinematografi Jejak Rasul 2021 sangat mengagumkan dan memukau seakan kita sedang menonton dokumentari negara luar, walhal rakaman tersebut dibuat di negeri Kedah!

EPISOD 1 PENGENALAN
Adakah wujud kerajaan atau ketamadunan awal di wilayah ini? Apakah buktinya? Bilakah ajaran Islam tiba? Siapakah yang bertanggung jawab menyebarkannya dan bagaimana caranya? Apakah anutan awal masyarakat sebelum kedatangan Islam? Kerajaan manakah yang paling awal menerima Islam di Tanah Melayu dan apakah buktinya? Alim ulama mewarisi amanah anbiya. Peranan alim ulama dan istana faktor utama kejayaan penerimaan dan kesinambungan Islam di Tanah Melayu. Kebijaksanaan mereka serta keberkesanan sistem dakwah memungkinkan penyebaran Islam berlaku secara harmoni sehingga Melayu dan Islam menjadi definisi bangsa. Episod ini membawakan ringkasan pengisahan episod-episod Jejak Rasul 2021.

EPISOD 2 KEDAH 1
Apabila seorang ulama arab berjaya mengislamkan rajanya, bermulalah kesultanan melayu Islam Kedah. Kedah yang berada di pintu masuk Selat Melaka mempunyai faktor-faktor yang menarik kehadiran kapal-kapal asing untuk singgah di pelabuhannya. Kuala Kedah pernah menjadi rebutan kerana kepentingan ekonominya. Episod ini membawakan sejarah kesultanan Kedah semasa era Sultan Muhammad Jiwa Adilin Muazzam Shah II dan hubungan rapatnya dengan alim ulama. Kedah semasa era pemerintahannya menyaksikan keterlibatan alim ulama yang giat. Semasa serangan Siam ulama dan umara sama-sama berjuang mempertahankan Kedah.

EPISOD 3 KEDAH 2
Siapakah alim ulama menyebarkan ajaran Islam di wilayah ini? Apakah buktinya? Episod ini membawakan sejarah hubungan ulama dan umara khususnya pada zaman Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Kisah hubungan rapat Sultan Abdul Hamid dengan alim ulama seperti Tok Syeikh Jarum dan Syeikhul Islam Wan Sulaiman Wan Mohamed Siddik. Awal kurun ke 20 lalu menyaksikan hubungan ulama dan umara yang erat di Kedah.

Ketiga-tiga episod Jejak Rasul 2021 yang disiarkan pada minggu lepas di TV3 telah dimuatnaik dan diulangsiar di saluran YouTube TV3Malaysia Official.

Untuk minggu ini pula, 2 episod pertama masih tertumpu di negeri Kedah dimana pihak penerbitan akan membawa penonton ke tapak arkeologi Sungai Batu yang terdapat penemuan baharu yang menunjukkan kewujudan kerajaan awal serta tanda-tanda yang memungkinkan kehadiran pedagang Arab Muslim ke negeri Kedah. Juga petunjuk sejarah yang membuktikan Kedah sebagai wilayah terawal menjalin hubungan dengan dunia luar serta faktor-faktor serangan luar dan penjajahan di negeri Kedah.

Manakala untuk Episod 6, pihak penerbitan Jejak Rasul 2021 akan membawa para penonton menyusuri sejarah Islam di negeri Perak Darul Ridzuan. Bagaimana peranan ahlul bait yang dikatakan memainkan peranan penting dalam pentadbiran, hubungan baik antara ulama dan umara’ serta turut disentuh salasilah kesultanan Perak yang cukup unik.

Jadi jangan lupa untuk saksikan Jejak Rasul 2021 pada minggu ini, Jumaat hingga Ahad, jam 6.30 petang dan ikuti liputan kami mengenai Episod 4, 5 dan 6 pada minggu hadapan. – Munsyeed

APA KATA ANDA?

Loading Facebook Comments ...
Loading Disqus Comments ...
Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response