0 comments

“Saya pernah berdoa nak sebut nama Allah dan Rasul dalam lagu Bunkface tetapi…” – Sam Bunkface

by on April 14, 2021
 

Sewaktu kali pertama mendengar berita Inteam akan berduet dengan Sam Bunkface, kami memang terkejut. Pada kami, ini gandingan luar biasa! Masakan tidak, dua nama besar ini datangnya dari 2 genre berbeza, seorang punk rock, manakala yang satu lagi pop nasyid. Tetapi, dibawah label Smileyriver Online, tiada yang mustahil. Nah, memang menjadi!

Selepas lagu Jangan Menghina yang menggandingkan Inteam, Alif Satar dan Nocturnal Voice pada tahun 2016, Smileyriver sekali lagi memilih Inteam untuk projek kolaborasi istimewa bersama Sam Bunkface menerusi lagu Mencari Sinar.

Difahamkan, lagu Mencari Sinar ini merupakan salah sebuah karya terakhir Allahyarham Ahmadi Hassan yang belum pernah dirakamkan sebelum ini. Menariknya, lagu Mencari Sinar ini merupakan satu-satunya karya Allahyarham yang diselitkan elemen rap di dalam lagunya. Untuk mengukuhkan lagi mesej di dalam lagu ini, Sam Bunkface telah membuat beberapa improvisasi pada rangkap rap tersebut.

Lagu Mencari Sinar ini juga menampilkan Fauziah Gambus sebagai pemuzik jemputan yang turut membuat penampilan istimewa dalam video muzik lagu ini.

Kali Pertama Kolaborasi Inteam dan Sam Bunkface


Dalam pada itu Inteam menzahirkan kesyukuran di atas kemunculan lagu Mencari Sinar ini.


“Alhamdulillah, Inteam diberi kepercayaan oleh pihak Smileyriver sekali lagi berkolaborasi untuk lagu ‘Mencari Sinar’. Ini merupakan kali kedua Inteam bekerjasama dengan Smileyriver dan kali pertama digandingkan dengan Sam Bunkface,” ujar Inteam.

Tambah Inteam lagi, “Mencari Sinar ialah sebuah lagu baru yang dicipta sepenuhnya oleh Allahyarham Ahmadi Hassan. Untuk lagu ini, susunan muzik telah dibuat oleh Sam Bunkface sendiri bersama Epul Kuat.”


“Syukur, proses rakaman lagu berjalan lancar dan tidak mengambil masa yang lama. Harapan kami semoga lagu Mencari Sinar mendapat sambutan di kalangan semua pendengar baru mahupun lama,” kata Inteam.

Sam Teruja Cuba Sesuatu Yang Baharu


Ketika diminta untuk mengulas mengenai lagu Mencari Sinar ini, Sam Bunkface nyata teruja dengan projek kolaborasi ini.

“Sam pernah berdoa nak menyebut nama Allah dan Rasul dalam lagu Bunkface tapi selalu tak jadi. Allah nak makbulkan doa Sam, tiba-tiba label Smileyriver approached untuk kolaborasi lagu Mencari Sinar. Doa Sam makbul dan Sam excited nak menyanyi sesuatu yang lain dari kebiasaan,” ulas Sam.


Menurut Sam lagi, beliau bersama Epul Kuat mengambil masa lebih kurang satu minggu untuk menghasilkan arrangement yang sesuai seperti yang dibincangkan dengan pengurus dan penerbit lagu ini.

“Kemudian, kami cuma ambil masa satu hari untuk proses rakaman suara bersama abang-abang Inteam. Saya juga ada minta Fauziah Gambus untuk menyumbangkan alunan gambus dalam lagu ini,” kata Sam.


Sam Banyak Belajar Dari Inteam

“Alhamdulillah, bekerja dengan pihak Inteam sangatlah mudah dan mereka juga lebih berpengalaman daripada Sam, jadi Sam yang banyak mengambil input dan belajar daripada mereka. Ini kali pertama Sam produce lagu untuk kumpulan nasyid. Kolaborasi yang mencabar untuk Sam. Tambahan, ini kali pertama Sam berkolaborasi dengan kumpulan nasyid.”


“Harapan Sam agar pendengar muzik tempatan dapat menerima karya Sam yang mungkin kali ini sedikit berlainan bentuknya daripada lagu-lagu Sam yang lain. Yang penting, hayati mesej-mesejnya dan semoga dapat memberi sedikit inspirasi dalam hidup anda,” ujar Sam.

Lagu Mencari Sinar sudah mula berada di semua platform penstriman muzik digital yang sah bermula 9 April 2021. Video muzik Mencari Sinar juga telah berada di saluran Youtube Smileyriver Online. – Munsyeed

APA KATA ANDA?

Loading Facebook Comments ...
Loading Disqus Comments ...
Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response