0 comments

“Tolong doakan saya keluar dari dunia pelangi ini,” – Pemuda LGBT Sebak Selepas Dengar Lagu Ikhwan Fatanna

by on April 19, 2021
 

Penyanyi versatil, Ikhwan Fatanna tampil dengan sebuah lagu baharu berjudul KeampunanMu.

Lagu baharu ini adalah ciptaan sepenuhnya oleh Ikhwan Fatanna sendiri dan susunan muzik oleh Wan Saleh.

Menurut Ikhwan, beliau mendapat inspirasi untuk mencipta lagu ini berikutan penularan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

“Lagu KeampunanMu ni dicipta hasil inspirasi dari peristiwa COVID-19 yang menyerang dunia. Lagu ini menceritakan tentang penyesalan terhadap kerosakan yang telah kita lakukan sepanjang kehidupan ini dan memohon keampunan dan penyesalan dari Allah bagi kemelut wabak yang masih belum reda,” ujar Ikhwan.

Segala kesusahan dan kepayahan yang dialami merupakan ujian dari Allah swt dan kita sebagai manusia hendaklah berdoa dan memohon keampunan atas segala kesilapan dan keterlanjuran yang telah dilakukan.

Video muzik KeampunanMu telah mula disiarkan di saluran Youtube Ikhwan Fatanna sejak 15 April 2021. Rata-rata pendengar memberi respon menyukai lagu ini. Ada juga yang teruja mendengar Ikhwan menyanyikan lagu berentak ballad ini. Yang menarik perhatian ialah komen seorang pendengar yang mengakui sedang berusaha untuk keluar dari dunia LGBT.

“Ya Allah, mata aku menangis sebab aku memang tengah nak berusaha kembali kepadaMu. Doakan saya please (untuk) keluar dari dunia pelangi,” komen individu tersebut.

Melihatkan komen tersebut, Ikhwan turut mengajak pengikutnya di Instagram untuk sama-sama berdoa agar individu tersebut dapat kembali ke pangkal jalan. Menurut Ikhwan, “Pintu taubat terbuka untuk semua. Semua layak untuk berubah.”

Ikhwan juga berharap agar lagu ini dapat mengetuk pintu hati para pendengar untuk sentiasa mendekatkan diri dengan Allah swt terutama sewaktu di bulan Ramadan yang penuh berkat ini.

“Semoga lagu ini memberi keinsafan untuk kita sepanjang menjalani bulan Ramadan dengan penuh tawaduk dan pengertian,” kata Ikhwan lagi.

Lagu KeampunanMu telah mula berada di semua platform penstriman muzik digital yang sah dan di saluran YouTube Ikhwan Fatanna. Jangan lupa untuk ikut dan langgan (follow and subscribe) akaun YouTube Ikhwan Fatanna untuk jadi yang terawal mendengar dan menonton video muzik terbaharu Ikhwan Fatanna.

APA KATA ANDA?

Loading Facebook Comments ...
Loading Disqus Comments ...
Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response