0 comments

AEYDAN Tekad Sambung Legasi Perjuangan Rabbani

by on May 1, 2021
 

Dahulunya mereka dikenali sebagai Rabbani Junior. Kini, setelah menjalani proses penjenamaan semula, 5 orang anak muda ini tampil dengan nama baharu – AEYDAN. 

AEYDAN merupakan kumpulan nasyid yang terdiri daripada 5 orang anak muda bernama Izwan Izzudin selaku ketua kumpulan, Ilham Fikri, Fardeen, Arif Haikal dan Alif Ehsan.

Rakam Semula Sebuah Lagu Nadamurni

Bernaung dibawah label Rabbani Productions, AEYDAN menghulurkan salam perkenalan kepada semua penggemar nasyid dengan merakamkan semula lagu Bulan Ramadhan Bulan Berkat nyanyian asal kumpulan Nadamurni. Lagu ini juga pernah dipopularkan oleh kumpulan Hijjaz dengan judul Ramadhan Bulan Berkat. 

Sejak dilancarkan di saluran Youtube Rabbani Productions, video muzik Ramadhan Bulan Berkat nyanyian AEYDAN mendapat maklumbalas yang cukup positif daripada para pendengar. Rata-rata memuji vokal dan penyampaian AEYDAN dalam lagu tersebut. 

Menurut AEYDAN, mereka merakamkan semula lagu ini bersempena kedatangan bulan Ramadan yang penuh berkat. 

Dari Rabbani Junior kepada AEYDAN

Kami sempat menemubual Izwan Izzudin, ketua kumpulan AEYDAN baru-baru ini. Ternyata Izwan begitu professional, tenang dan cepat mesra ketika ditemubual oleh kami. Bercerita mengenai penubuhan kumpulan AEYDAN, Izwan menjelaskan bahawa AEYDAN merupakan transformasi generasi pertama Rabbani Junior yang telah meningkat dewasa. 

“Kami merupakan 5 daripada 9 orang bekas anggota Rabbani Junior yang telah ditubuhkan pada 2010 dimana kami terdiri daripada anak anak kumpulan Rabbani sendiri. Saya anak kepada Azadan Rabbani, Ilham Fikri (anak) Almarhum Ustaz Asri Rabbani, Fardeen (anak) Rithaudeen Rabbani, Arif Haikal pula anak Rahmat Rabbani manakala Alif Ehsan adalah anak Nazrul Rabbani,” jelas Izwan.  

Dari kiri: Fardeen, Alif, Izwan, Ilham dan Haikal.
Dari kiri: Fardeen, Alif, Izwan, Ilham dan Haikal.

“Rabbani junior ditubuhkan ketika Konsert Mahabbah Gaza yang diadakan pada 10.Julai.2010 serentak dengan Hari Ulangtahun yang ke-9 IKIM.FM.”

“Kami tubuhkan kumpulan AEYDAN adalah kerana kami (ingin) membuat ‘rebranding’ nama kumpulan Rabbani Junior, selepas lahirnya generasi pertama untuk Rabbani Junior. Masing masing umur sudah meningkat (dewasa). Itu antara sebab mengapa kami mengubah nama kepada AEYDAN. Walaubagaimanapun, Rabbani Junior masih ada, tapi untuk generasi adik adik kami pada masa akan datang. Sepertimana Nadamurni melahirkan Rabbani, Hijjaz dan juga Raihan,” ujar Izwan.

Mengulas mengenai pemilihan nama AEYDAN, Izwan berkata, “Nama AEYDAN ini terhasil daripada beberapa nama yang kami sudah senaraikan. Jadi kami pilih nama ini kerana sesuai dengan semangat kami. AEYDAN yang bermaksud pemuda yang bersemangat.”

AEYDAN Penyambung Legasi Rabbani

Tambah Izwan, AEYDAN tidak gusar jika dikatakan sebagai bayangan kumpulan Rabbani atau meniru Rabbani. Malah, mereka berbangga untuk menjadi penerus legasi kumpulan Rabbani. 

“Kami akan mengekalkan konsep genre Nasyid kontemporari sepertimana Rabbani sampaikan. Cuma kami akan pelbagaikan, lebih modern dan mengikut trend sekarang. Apa yang pasti penyampaian mesej itu sampai ke hati pendengar.”

“Apa yang kami cuba sampaikan adalah dimana AEYDAN atau anak anak Rabbani ini mampu menggalas tanggungjawab menyambung legasi dan warisan ayahanda kami. Dan dalam masa yang sama, kami mensasarkan kepelbagaian dalam genre dan juga dari sudut penyampaian persembahan mengikut trend semasa. Kami anak anak Rabbani, dan kami AEYDAN – The new Future of Rabbani Legacy. Amin insyaAllah.”

“Kami berharap agar lagu Ramadhan Bulan Berkat ini sampai ke hati para pendengar, mesej yang kita cuba sampaikan mengenai kemuliaan bulan Ramadhan.”

“Insya Allah, hari raya nanti akan keluar satu lagi lagu yang berjudul Suara Takbir. Lagu yang dipopularkan seniman tanahair iaitu (Tan Sri) P. Ramlee. Rabbani juga pernah tampil (menyanyikan) lagu ini,” kata Izwan.

Untuk menghubungi AEYDAN, anda boleh menghantar email ke: [email protected] Bagi urusan persembahan dan media, boleh hubungi Izwan di 019 707 6441. Boleh ikuti perkembangan terkini AEYDAN di Instagram: @aeydanofficial_

APA KATA ANDA?

Loading Facebook Comments ...
Loading Disqus Comments ...
Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response