0 comments

Dakwaan Majlis Aqiqah dan Tahnik Tidak Ikut SOP, Ini Jawapan Siti Nurhaliza dan Respon Ustaz Azhar Idrus

by on May 3, 2021
 

Rumah sudah siap, pahat pula masih berbunyi. Begitulah peribahasa yang boleh diungkapkan bagi menggambarkan kontroversi yang melanda Penyanyi Nombor Satu Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza Tarudin berkenaan isu Majlis Tahnik anak keduanya, Muhammad Afwa Bin Khalid. Setelah lebih seminggu majlis itu disempurnakan, tiba-tiba ia menjadi panas apabila segelintir netizen yang kurang senang dan melemparkan tuduhan kononnya majlis tersebut telah melanggar Prosedur Standard Operasi atau SOP yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara berkaitan pencegahan penularan COVID-19.

Tidak mudah melatah dengan kritikan dan tuduhan yang tidak berasas, Siti pada hari ini tampil memberi kenyataan bagi menjawab tohmahan yang telah dilemparkan ke atas dirinya dan keluarga.

Berikut adalah kenyataan media yang telah dikeluarkan oleh pihak Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan keluarga:-


Assalamualaikum Warahmatullahiwabarakatuh

Berhubung isu yang sedang  tular ketika ini, kami sebagai tuan rumah, Dato Sri Khalid Mohamad Jiwa dan Dato’ Sri Siti Nurhaliza ingin memberi pencerahan mengenai majlis tahnik anak lelaki kami, Muhammad Afwa yang kami anjurkan pada 26 April lalu yang didakwa tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) termasuk berlakunya aktiviti rentas negeri.

Dakwaan ini ditimbulkan apabila kami mengundang seorang pendakwah bebas dari negeri lain sebagai tetamu. Di sini kami ingin memaklumkan tiada sebarang aktiviti rentas negeri berlaku. Sebaliknya individu itu bersetuju untuk hadir kerana kebetulan dia memang berada di Kuala Lumpur pada tarikh majlis itu diadakan.

Memandangkan acara itu dibuat ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), atur cara majlis dan bilangan tetamu yang hadir mematuhi syarat penganjuran majlis sosial Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti seperti yang tertakluk pada tempoh itu. 

Majlis juga terbahagi kepada 3 sesi dengan bilangan tetamu terhad, dihadiri keluarga terdekat serta kumpulan Mawlid untuk mengambil keberkatan fadhilat sunat mengadakan tahnik dan memberi nama kepada anak pada hari ke-7 mengikut sunnah Rasulullah.

Mengenai acara tahnik sebelah siang yang dihadiri Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, ia bukanlah majlis khas seperti yang disangka. Sebaliknya beliau hanya singgah untuk menyempurnakan bacaan doa dan tahnik sahaja sebelum terpaksa bergegas pulang untuk urusan lain.

Sebagai rakyat Malaysia yang patuh pada undang-undang dan peka dengan situasi semasa, kami tidak pernah memandang ringan mengenai hal ini dan selagi berada dalam kawalan, kami cuba untuk mematuhinya semampu mungkin.

Penjelasan ini bukanlah untuk mempertahankan diri tetapi bertujuan memberikan pencerahan terhadap beberapa perkara yang boleh menimbulkan kekeliruan dan salah faham terhadap pihak tertentu.

Kesempatan ini juga kami ingin memohon maaf jika apa yang berlaku ini menerbitkan rasa kurang senang kepada mana-mana pihak. Kami memahami, berlapang dada dengan setiap teguran yang diberikan. Kami juga bersedia untuk memberi sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa jika diperlukan.Ini merupakan kenyataan terakhir daripada kami mengenai isu ini dan berharap agar perkara ini dapat diselesaikan dan difahami dengan baik.


Diharapkan, kenyataan media ini menjawab segala persoalan yang telah ditimbulkan oleh pihak-pihak tertentu yang membangkitkan isu ini.

Perkara ini juga turut dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus menerusi satu video klip yang tersebar di media sosial pada hari ini:-

Kredit: Twitter @_rezarazali_

Menurut Ustaz Azhar Idrus, beliau telah mengenali Datuk Sri Khalid telah lama dan rumah ibu mertua Ustaz Azhar Idrus berada dikawasan kejiranan yang sama dengan rumah Datuk K. Tambahan, Ustaz Azhar Idrus turut mempunyai undangan kuliah agama di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sebelum dan selepas tarikh majlis tersebut. Justeru, tidak timbul isu beliau merentas negeri semata-mata untuk hadir ke majlis Tahnik tersebut.

Diharapkan, kepada mereka yang telah terlanjur kata dan membuat dakwaan liar ini dapat bermuhasabah dan beristighfar. Manfaatkan 10 malam terakhir Ramadan ini dengan perbanyakkan ibadah. – Munsyeed.

APA KATA ANDA?

Loading Facebook Comments ...
Loading Disqus Comments ...
Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response