0 comments

Halim Sangkal Dakwaan Guna Lagu Devotees Tarik ‘Crowd’ Ke Neurotic Studio

by on May 1, 2021
 

Bersempena bulan Ramadan yang sedang kita raikan, penyanyi solo versatil, Abd Halim Ahmad tampil dengan dua buah lagu baharu berjudul Bulan Keampunan dan MengenalMu.

Lagu Bulan Keampunan merupakan sebuah lagu yang dicipta berdasarkan doa yang pernah diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w kepada Saidatina Aisyah r.a. Dalam sebuah hadis riwayat Al-Tirmizi, baginda Rasulullah s.a.w pernah ditanya oleh Saidatina Aisyah r.a mengenai doa yang perlu dibaca sekiranya bertemu Malam Lailatul Qadar. Maka, Rasulullah s.a.w telah mengajarkan doa memohon keampunan ini. Rujuk gambar dibawah.

Sumber: Dr Ahmad Sanusi

Menerusi lagu Bulan Keampunan ini, Halim mengajak para pendengar untuk melazimi doa memohon keampunan ini yang sangat digalakkan untuk dibaca sepanjang bulan Ramadan. Lagu ciptaan sepenuhnya oleh Halim ini telah dimuatnaik di saluran YouTube Halim di Neurotic Studio.

Kolaborasi Halim bersama Datuk Dr Ustazah Norhafizah Musa

Lagu kedua, MengenalMu pula baru sahaja dilancarkan di Youtube Neurotic Studio pada 23 April lalu. Istimewanya, lagu MengenalMu ini merupakan ciptaan Datuk Dr Ustazah Norhafizah Musa dan Halim. Manakala lirik oleh Datuk Dr Ustazah Norhafizah.

Ustazah Norhafizah bukanlah nama asing dalam penciptaan lagu dan lirik. Walaupun ustazah terkenal dengan ceramah dan kuliah agama di seluruh Malaysia, Ustazah Norhafizah juga aktif menghasilkan lagu-lagu nasyid untuk dinyanyikan oleh penyanyi nasyid. Pada kali ini, Ustazah Norhafizah berkolaborasi dengan Halim dalam menghasilkan karya ini.

Maklumbalas pendengar terhadap lagu ini amat memberangsangkan. Ramai yang menyukai melodi lagu ini yang mendayu-dayu serta liriknya yang sangat menyentuh hati. Tambahan pula, Halim menyampaikan lagu ini dengan penuh penghayatan menjadikan lagu ini mudah menyentuh hati para peminat yang mendengarnya.

Halim bersama Silver Play Button yang diterima dari YouTube.

Neurotic Studio Terima Silver Play Button dari YouTube

Selain kemunculan dua lagu baharu ini, kami sempat mengucapkan tahniah kepada Halim di atas penerimaan Silver Play Button dari pihak YouTube. Penganugerahan ini merupakan satu pencapaian yang baik buat Halim dan Neurotic Studio.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Halim berkata, “Alhamdulillah, saya baru terima Silver Play Button dari YouTube. Ini (Silver Play Button) dianugerahkan kepada mereka yang (berjaya) cecah 100,000 subscribers. Saya dapati subscribers naik sewaktu saya release lagu Lembaran Juzuk Cinta nyanyian saya dan Furqan Fawwaz. Waktu itu, subscribers naik. Macam biasa bila lagu-lagu ni naik, dia bagi impak kepada subscribers. Tetapi ia bergantung kepada genre juga.”

“Sebagai contoh, nasyid. Pendengar nasyid ini, pada saya, dia tidak (terlalu) tegar sangat untuk subscribe channel YouTube berbanding dengan pendengar muzik lain. Jadi kalau dia dengar pun, dia dengar tetapi tidak subscribe. Atau dia dengar dan download kemudian tidak dengar lagi di YouTube. Jadi, tidak menyumbang sangat kepada perkembangan Youtube (untuk kandungan lagu nasyid),” ujar Halim.

“Bila saya beralih arah sikit, memandangkan usia, dulu peminat kita seusia, muda remaja, masing-masing sekarang sudah berkeluarga. So mereka punya passion untuk mendengar muzik itu berkurang sedikit. Lebih kepada mendengar zikir, selawat dan lain-lain. Jadi, saya ambil pendekatan itu untuk ubah haluan saya untuk lebih perbanyakkan content zikir, selawat, bacaan Al-Quran dan lain-lain seiring dengan usia dan permintaan pendengar. Bila saya buat macam itu, subscibers pun bertambah. Alhamdulillah, cecah 100,000 dengan cukup cepat dalam masa setahun.”

Halim Nafi Guna Lagu Devotees Tarik Peminat ke Neurotic Studio

Ketika ditanya mengenai kononnya Halim mempergunakan lagu-lagu Devotees untuk menarik subscribers ke saluran Youtube Neurotic Studio, Halim dengan tenang menafikan dakwaan liar tersebut. Menurut Halim, kedua-dua label Devotees Music Works dan Neurotic Studio tersebut adalah milik beliau dan tidak timbul isu berkenaan perkara tersebut.

“Devotees sekarang masih dibawah label Devotees Music Works (DMW) dan dia tak ada masalah pun (letak di Neurotic Studio) sebab DMW pun (daftar bawah) saya punya nama, saya sebagai owner dan Neurotic Studio pun saya sebagai owner. Jadi tiada apa-apa isu dan kami (Devotees) pun tidak ada sign apa-apa kontrak. So letak mana-mana pun kita punya content tak ada masalah.”

“Untuk channel Neurotic Studio, buat masa ini banyak content saya sebab saya yang mengendalikan seorang. Apa-apa projek ad hoc saya boleh buat terus, saya boleh upload terus tanpa perlu meeting semua. Saya sudah mula masukkan sedikit content Furqan. Tapi Furqan Fawwaz ini sedang dalam kontrak (dengan) Inteam (Records) jadi memang susah nak teruskan projek kedua. InshaAllah bila dia sudah habis kontrak nanti bolehlah banyak sedikit video dia di channel saya.

Rancang Cari Pelapis Nasyid

“Saya juga ada rancang nak ambil budak-budak baru. Kita buat macam Hijjaz buat dulu. Hijjaz dia sudah sampai satu tahap ‘sifu’, dia produce Inteam, Mestica, UNIC, Aeman semua. Jadi saya nak buat macam itu sebab kita tahu kita ni dah tak ada orang minat. Jadi kena sedar diri. Kita kena catch up dengan pendengar baru. Budak muda dia nak dengar artis muda.”

Halim juga turut berkongsi saluran YouTube peribadi beliau iaitu Halim Ahmad yang berbeza dengan Neurotic Studio. Menurut Halim, saluran Halim Ahmad lebih memberi fokus kepada kandungan-kandungan bukan muzik seperti sembang santai, info nasyid dan sebagainya.

“So far dari segi content, Neurotic Studio punya channel memang (fokus) muzik dan semua yang berkaitan muzik, zikir, selawat dan sebagainya. Sebab saya ada juga channel YouTube personal iaitu Halim Ahmad. Hari tu dia agak laju juga (kenaikan subscribers). Sudah boleh monetize, terlibat dengan partnership program. (Saluran) itu saya lebih (fokus kepada) bercerita dan content memang lain. Lebih kepada bercerita, berkongsi pengalaman, cerita pasal nasyid. Segala content selain menyanyi, kita akan letak disitu,” ulas Halim.

Kami di Munsyeed mengucapkan tahniah kepada Halim atas segala pencapaian dan usaha keras beliau selama ini. Semoga terus istiqamah mewarnai industri seni nasyid Malaysia. – Munsyeed

APA KATA ANDA?

Loading Facebook Comments ...
Loading Disqus Comments ...
Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response