Alhamdulillah, acara realiti tv ‘Gema Gegar Vaganza’ (GGV) musim pertama yang membarisi otai-otai nasyid dan penyanyi-penyanyi lagu religi akhirnya melabuhkan tirai. Pastinya wujud pendengar-pendengar baharu yang mula hendak berjinak-jinak dengan genre nasyid dan perlahan-perlahan membuat carian akan lagu penasyid-penasyid kegemaran yang membarisi GGV.
Untuk memastikan korang tidak tersesat dalam pencarian itu, disini inisiatif yang saya lahirkan sendiri iaitu dengan menyenaraikan dua album terbaik yang pernah dihasilkan pemenang top tiga dalam GGV – UNIC, Hijjaz, dan Mirwana.
Pendengar-pendengar baharu perlu tahu yang sebenarnya wujud album-album berkualiti yang telah dilahirkan oleh penggiat nasyid yang menyertai GGV. Kualiti yang sebenarnya bukan calang-calang! Tetapi dihasilkan dengan ‘effort’ dan ‘rasa’ yang luar biasa.
UNIC
You and I See
Tak boleh dinafikan, album pertama UNIC yang berjudul ‘You and I See’ boleh saya katakan sebagai album terbaik yang pernah dihasilkan oleh mereka. Muncul sebagai album sulung juara GGV ini, album ‘You and I See’ mencipta fenomena dengan barisan lagu-lagu hits malar segar yang menjadi siulan sehingga ke hari ini.
Lagu-lagu seperti ‘Ainul Mardhiah’, ‘Hanya Tuhan Yang Tahu’, dan ‘Jalinan’ menjadi kegilaan dalam kalangan pelajar-pelajar universiti terutamanya di institusi-institusi Islam. UNIC boleh dikatakan bertuah dek penghasilan album ‘You and I See’ kerana album ini telah bernaung dibawah usaha keras dan sumbangan kebanyakan melodi indah dari ‘abang-abang’ Hijjaz mereka termasuk sumbangan lirik yang padu-padu dan mantop dari penulis lirik nasyid prolifik Malaysia, iaitu saudara Ito Lara.
Walau dengan hanya komposisi muzik yang sederhana, album ini telah meletakkan penanda aras yang tinggi terhadap kebolehan UNIC dalam industri nasyid.
Langkah Tercipta
Awalnya saya mahu memilih album ‘See You di IPT’ sebagai album kedua terbaik bagi kumpulan nasyid ini kerana adanya lagu-lagu favourite yang bagi saya ada kualiti dan rasa seperti lagu ‘Ke Makam Bonda’, ‘Demi Cinta Suci’, dan ‘Sebuah Pertemuan’.
Tetapi rakan saya Bakhtiar selaku salah seorang peminat tegar UNIC beritahu yang album ‘Langkah Tercipta pada pandangannya adalah album terbaik pernah UNIC dihasilkan. Banyak lagu-lagu yang menarik dan UNIC juga berjaya menunjukkan kekuatan mereka dari dimensi yang berbeza. Seolah-olah ‘comeback’ katanya.
Lagu-lagu seperti ‘Lafaz Yang Tersimpan’ dan ‘Atas Nama Cinta’ telah menjenamakan UNIC di satu level yang baharu. Kekuatannya tidak lagi pada vokal semata-mata, tetapi mereka juga telah menunjukkan kekuatan harmonizing dan pemilihan genre lagu yang agak baik.
HIJJAZ
Tidak perlulah kita persoalkan lagi tentang kehebatan karya-karya yang dihasilkan oleh ‘otai’ kita yang satu ini. Semua album konsep Hijjaz mantop-mantop! Masha Allah. Dari segi rasa mahupun kualiti, Hijjaz hakikatnya ‘champion’ sebenar dalam industri nasyid. Saya yakin sehingga sekarang pun ‘effort’ Hijjaz dalam melahirkan album-album hits masih tidak terhenti.
PERMATA HIJJAZ 1431
Apa pun, saya perlu juga pilih dua album mereka yang terbaik walaupun saya rasa tak adil pada album-album yang lain. Cuma sebagai pendengar muda, saya fikir pendengar-pendengar baharu perlu dapatkan antara album terkini Hijjaz seperti ‘Permata Hijjaz 1431’ ini. Sebuah album berkonsepkan orkestra dimana terhasilnya lagu-lagu padu seperti ‘Embun Hidayah’, ‘Iman, Islam & Ihsan’ dan ‘Syukur Pada-Mu’. Saya fikir ini satu ‘attempt’ yang sangat baik dan berani oleh kumpulan Hijjaz untuk menghasilkan album yang ‘berat’ tanpa memberi apa-apa kekurangan pada sudut rasa dan kualitinya. Meremanglah senang cerita. Tahniah Hijjaz!
JANJI
Haaa! Ini merupakan antara album terbaharu Hijjaz yang saya sangat suka. Album ini kedengaran sedikit ‘rock’ pada kebanyakan komposisi muziknya tetapi imej dan ‘lenggok’ Hijjaz masih dikekalkan. Itu yang membuatkan album kumpulan legend ini akan sentiasa relevan dan ever green untuk dilayan dengar.
Sekali lagi Hijjaz sangat teliti dari sudut pemilihan dan penciptaan lagu sehingga terhasilnya lagi karya-karya berat seperti ‘Kau Pemilik Cinta’, ‘Janji Khalifah’, dan ‘Hanyalah Iman’. Kemudian terdapat banyak ‘line’ yang dibahagi-bahagi tidak pada solo utama (Ustaz Munif) sahaja, tetapi turut diambil oleh Ustaz Isman, Ustaz Arifin, dan Ustaz Faizal. Saya fikir ini perkembangan yang bagus untuk menonjolkan ahli-ahli Hijjaz yang lain.
Tahniah Hijjaz kerana sering berani mencabar kemampuan diri untuk menghasilkan karya-karya terbaik dan muzik yang fresh untuk pendengar semasa. Long live legend!
MIRWANA
Mirwana merupakan ‘vocal harmony group’ yang telah membina empayar dan kumpulan peminat tersendiri. Selesai GGV, ramai yang telah kembali membuka mata terhadap kebolehan dan versatiliti Mirwana dalam industri. Peminat-peminat Mirwana menyifatkan kumpulan ini sebagai ‘Boyz II Men versi Nasyid’ atau dalam kata lain, kumpulan yang sangat ‘anchor’ dalam persembahan berharmoni disamping turut mempunyai kekuatan vokal pada setiap ahlinya.
Saya fikir Mirwana yang sekarang adalah sebuah kumpulan kombinasi vokal yang ‘hampir sempurna’ dengan paduan level suara yang unik oleh setiap ahli – Hafiz, Along, Ikram, Naim, Faiz, dan Akmal.
Fakta menarik; Mirwana merupakan kumpulan vokal yang tidak menjadikan nyanyian sebagai kerjaya utama tetapi sangat menyerlah penglibatannya dalam industri.
HIKMAH KEMBARA
Bermodalkan album ‘Hikmah Kembara’ ini, Mirwana telah memenangi pelbagai anugerah tidak kira di peringkat nasyid mahupun arus perdana. Dengan album inilah kita dapat melihat wajah ‘familiar’ seperti Faizal Tahir dan Izzat Mahadi, iaitu antara pemilik suara awal yang telah mengangkat kumpulan Mirwana ke tahap yang amat membanggakan.
‘Hikmah Kembara’ merupakan batu loncatan yang penting buat Mirwana. Lagu-lagu hits seperti ‘Aku Tanpa CintaMu’ (ft. Jay Jay), ‘Hikmah Kembara’, ‘Permataku’ dan banyak lagi telah menjadi siulan pendengar-pendengar muda yang kebanyakannya mencari ‘angin baharu’ dalam industri nasyid.
Paduan vokal dan ‘harmonizing’ beserta pemilihan dan penghasilan lagu yang ada ‘class’ telah mencipta jenama ‘Mirwana’ yang kuat dan mampu pergi lebih jauh.
BUMI AKHIR USIA
Album ‘Bumi Akhir Usia’ diterbitkan pada tahun 2010 dan boleh saya katakan sebagai album ‘comeback’ buat Mirwana. Saya fikir menghasilkan album konsep dengan 10 buah lagu bukanlah satu keputusan yang mudah dengan kuasa pembeli kini yang tidak lagi menyebelahi. Namun Mirwana pada tahun tersebut berjaya menghasilkan album ‘Bumi Akhir Usia’ yang sangat ‘boom’ dan menyerlah dari sudut konsep album dan pemilihan lagu.
‘Bumi Akhir Asia’ menyaksikan rebranding Mirwana dengan pertaruhan lagu-lagu ‘killer’ seperti ‘Tika Masanya’ (ft. Hujan), ‘Andaiku Pergi’ dan ‘Jauh’. Lagu-lagu lain yang tersenarai turut menyaksikan usaha Mirwana bereksperimentasi dengan muzik dan genre yang pelbagai. Album mesti dengar lah senang cerita! Nak dengar paduan suara dan harmoni yang mantap, maka inilah album yang anda perlu dapatkan.
Sekian senarai dua album terbaik oleh pemenang top tiga dalam acara Gema Gegar Vaganza musim pertama. Korang pun mesti ada pendapat masing-masing kan terhadap album yang mana paling menyerlah? Apa lagi, kongsikan dengan kami!